Kerajaan kagumi Brooke Dockyard
Diyakini mampu menjadi agensi utama industri minyak dan gas Sarawak
// Oleh Patricia Gari //
KUCHING: Kerajaan ne-geri akan membantu Brooke Dockyard And Engineering Works Corporation (Brooke Dockyard) menjadi agensi utama dalam industri minyak dan gas di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata kerajaan negeri percaya Brooke Dockyard boleh menerajui industri tersebut kerana mempunyai pengalaman serta kepakaran yang beratus tahun sebagai pemaju lapangan dan limbungan fabrikasi minyak dan gas negara.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada Brooke Dockyard menjadi syarikat terkemuka dalam industri minyak dan gas di Sarawak khasnya dan Malaysia.
“Kerajaan negeri amat kagum dengan Brooke Dockyard kerana ia adalah syarikat tertua di negara ini yang melakukan infrastruktur fabrikasi untuk industri minyak dan gas negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat pencapaian Brooke Dockyard sempena lawatan kerjanya ke Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation di Sejingkat dekat sini semalam.
Masing juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dalam pada itu menuntut komitmen tinggi daripada Brooke Dockyard apabila diberi peluang dan cabaran menerajui industri itu nanti.
Menurut beliau industri minyak dan gas di Sarawak sangat menarik kerana sumber semula jadi itu adalah milik negeri ini tetapi dimajukan oleh syarikat dari luar Sarawak.
“Petronas menggunakan minyak diekstrak dari laut kita, dari Sarawak tetapi mereka menggunakan kemudahan fabrikasi dari luar Sarawak.
“Secara lojiknya Brooke Dockyard tidak hanya mempunyai hak melakukan kerja lapangan atau fabrikasi tetapi mengekstraknya sendiri sedangkan minyak itu kita punya,” tegasnya.
Justeru beliau berpendapat Petronas harus membenarkan Sarawak menerusi Brooke Dockyard melakukan sepenuhnya kerja-kerja cari gali minyak di perairan negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Brooke Dockyard Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg memberi jaminan syarikat itu tidak akan mempersia-siakan kepercayaan diberikan diberikan itu.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini dan kepakaran yang kami miliki sekarang, kami akan melakukan terbaik,” ujarnya.
Abang Abdul Karim berkata Brooke Dockyard pada awal penubuhannya memfokus kepada kerja pembinaan kapal dan mula menceburi industri minyak dan gas kira-kira 20 tahun lalu selepas menyedari potensinya.
Syarikat itu katanya terus menempa nama dalam industri minyak dan gas sebagai pemaju pelantar minyak bagi beberapa syarikat cari gali minyak negara antaranya Petronas dan Murphy Oil Corporation.
Terbaharu syarikat itu menyiapkan limbungan fabrikasi minyak dan gas berkapasiti 1,100 tan metrik EPCC (Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan) bagi pelantar bahagian atas (topsides) untuk Murphy Oil Corporation Sarawak di kira-kira 40 km luar pesisir Bintulu.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/28XqFu4
Post a Comment