Penjawat awam dipercayai mangsa langgar lari parah
KUCHING: Seorang lelaki ditemui berlumuran darah dan tidak sedarkan diri berdekatan jejambat di Jalan Lapangan Terbang, di sini dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.
Menurut sumber, mangsa berusia 36 tahun dan berasal dari negeri Pahang itu dikatakan ditemui oleh orang awam terlantar di atas jalan raya, sekitar jam 10 pagi.
Difahamkan mangsa penjawat awam kemudian dibantu orang ramai sementara menunggu ketibaan anggota paramedik di tempat kejadian.
“Berdasarkan kecederaan mangsa, kemungkinan dia mangsa langgar lari dan dipercayai berjalan kaki kerana tiada kenderaan miliknya ditemui di tempat kejadian,” kata sumber.
Mangsa dikejarkan ke HUS mengguna ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilapor masih belum sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS.
Sementara dalam kejadian berasingan, seorang anggota tentera parah selepas motosikal ditunggangnya berlanggar sebuah kereta di Jalan Muara Tuang, semalam.
Difahamkan, kemalangan berlaku sekitar jam 10 pagi apabila mangsa berusia 30-an bersama rakan seangkatannya dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa berlanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva menyebabkan dia tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.
“Ekoran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.
Rakan mangsa juga berusia 30-an dan pemandu serta penumpang Viva tersebut dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/28RG3qJ
Post a Comment