Mana perginya derma untuk bebaskan 4 tebusan?
PETALING JAYA: Keluarga mangsa yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk memberitahu di mana wang hasil sumbangan orang ramai bagi membantu membebaskan empat tebusan dari Sarawak itu.
Ipar seorang daripada mangsa culik itu, Johnny Lau Jung Hien, 21, yang dipetik China Press berkata, mereka dalam keadaan tertekan kerana ada ramai orang yang menghubungi mereka untuk mengetahui apa yang sudah berlaku kepada wang kutipan, selepas polis menafikan menyerah wang tebusan untuk membebaskan empat mangsa.
Jelasnya, mereka memahami perasaan penderma dan mereka akan memberi penjelasan kepada orang ramai kemudian kerana semua orang tua dalam empat keluarga itu telah pergi ke Sabah.
Menurutnya, kebanyakan penderma datang dari Sibu tetapi ada juga rakyat dari negeri lain di seluruh negara, malah dari China dan negara lain yang turut menyumbang wang kepada mereka.
Sehubungan itu, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua penderma dan berharap mereka diberikan masa untuk membuat penjelasan.
Kelmarin, nenek dan datuk adik-beradik dua tebusan itu, Wong Teck Kang, 31, serta Wong Teck Chi, 29, bersama ipar Johnny memberitahu telah menyerahkan semua derma itu kepada pihak polis dan kerajaan.
Seorang pegawai Filipina kelmarin memberitahu walaupun ada laporan media mengatakan wang tebusan yang diminta kumpulan penculik adalah 300 juta peso (RM30 juta), tetapi mereka kemudiannya mengurangkan jumlah itu kepada 180 juta peso (RM18 juta).
Pihak Filipina bagaimanapun tidak jelas mengenai jumlah wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan penculik.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata, tiada sebarang wang tebusan dibayar kepada kumpulan penculik untuk membebaskan empat rakyat Sarawak itu.
Ketika ditanya wang yang dikumpulan ahli keluarga mangsa culik sebelum ini, Khalid menjawab: “Mana saya tahu?”
Teck Kang, 31, dan Teck Chi, 29, bersama sepupu mereka, Johnny dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan, Sabah pada 1 April lalu.
Sebaik sahaja dibebaskan pada malam Selasa lalu, empat tebusan itu menaiki bot selama lapan jam dari Jolo ke Sandakan.
Menurut laporan media pada 25 April lalu, isteri Johnny memaklumkan syarikat kapal tunda mangsa sudi memberi 2 juta peso (kira-kira RM176,000), manakala ahli keluarga mereka juga sedia menjual tiga rumah untuk mengumpul dana secukupnya.
Ketika itu, keluarga mangsa berjaya mengumpul RM336,000 dan selepas itu mereka tidak lagi memberitahu jumlah kutipan yang berjaya diperolehi mereka.
Penculik sebelum ini dilaporkan mengancam akan memenggal kepala empat pemuda itu jika wang tebusan RM30 juta tidak dibayar pada 30 April lalu.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1PNzXJe
Post a Comment