Semangat kental puasa 23 jam
PETALING JAYA: Ramadan tahun ini diraikan kira-kira 22% masyarakat dunia atau 1.6 bilion umat Islam.
Tidak seperti di Malaysia yang waktu siangnya hanya kira-kira 12-13 jam sehari, umat Islam di benua lain terutama yang tinggal di Garisan Artik menghadapi keadaan paling mencabar apabila matahari di sana tidak terbenam.
Sebagai contoh, matahari di Finland dan Sweden tidak terbenam langsung atau hanya terbenam seketika pada musim panas ketika ini.
Mohammed yang menetap di utara Finland berkata mereka mula berpuasa jam 1.35 pagi dan berbuka 23 jam 5 minit selepas itu kerana matahari hanya terbenam untuk 55 minit.
“Kawan dan saudara mara yang tinggal di Bangladesh tidak percaya kami mampu mengharungi Ramadan atau berpuasa lebih 20 jam.
“Tidak tahu bagaimana, tapi Alhamdulillah kami menjalani Ramadan dengan baik,” katanya dipetik daripada The Independent.
Katanya, umat Islam di negara berjiran mengalami keadaan yang sama dan mencari pelbagai cara untuk mengharunginya.
“Ada umat Islam yang tinggal di Lapland, kebanyakan mereka ikut jadual Timur Tengah, kerana mereka mengikut negara Islam terhampir, Turki,” katanya.
Pensyarah kanan Fakulti Filem Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara, Norlela Ismail yang kini melanjutkan pelajaran doktor falsafah (PhD) di Universiti Leiden Belanda berkata cuaca panas dan kering menambah lagi kesukaran berpuasa tahun ini yang berlanjutan lebih 19 jam.
“Makan seringkasnya pada waktu berbuka dan terus menunaikan solat maghrib. Biasanya, saya akan membaca Al-Quran sehingga masuk waktu isyak dan terus menunaikan solat isyak dan tarawih di rumah.
“Aktiviti ini perlu dilakukan secara berterusan kerana bimbang akan tertidur sampai ke pagi,” katanya kepada Utusan Online.
Bagaimanapun, katanya anak-anak paling terkesan dengan waktu puasa panjang itu.
“Biasanya, saya menasihatkan anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti fizikal dan memaklumkan kepada cikgu mereka sedang berpuasa. Anak saya ke sekolah menunggang basikal kira-kira 15 minit dan mereka akan mengadu kehausan.
“Mereka tidak kisah lapar tetapi sangat haus dan kering tekak. Adakalanya, anak terpaksa mengikuti aktiviti sekolah yang tidak membolehkan mereka berpuasa, jadi saya izinkan mereka tidak berpuasa dan menggantikannya di lain waktu,” katanya.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1PNBqzv
Post a Comment