Hi! Welcome Back and Stay Tune! Tak kira bangsa, peguam agih juadah berbuka percuma - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Tak kira bangsa, peguam agih juadah berbuka percuma

Datuk Syed Azimal Amir (tengah) bersama sukarelawan dalam kempen ’Oh Yes, It’s a free ramadhan food’ sejak Selasa lalu.— Foto ihsan Facebook/Shamsul Bahar Mohd ZainKUANTAN, 10 Jun — Rutin harian Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar sebagai peguam cukup padat di mahkamah dan di pejabat, namun semenjak hari pertama Ramadan, beliau sedaya upaya meluangkan masa petangnya. 

Waktu petang menjadi masa yang dinanti-nanti kerana bermula pukul 5 petang, kelibatnya yang masih mengenakan pakaian kerja bersama-sama sukarelawan memakai baju kemeja-T tertera ‘Oh Yes, It’s a free ramadhan food’ dilihat di Taman Esplanade di sini, mengagihkan makanan percuma kepada mereka yang sudi menerimanya. 

Syed Azimal Amir, 51, berkata pemberian aneka juadah seperti nasi kerabu, nasi berlauk, nasi minyak, pelbagai masakan mi atau bihun bersama-sama kuih dan air itu dilakukan atas niat bersedekah dan akan diteruskan sehingga hari ke-25 puasa. 

“Saya rasa puas dan senang hati mengetahui sekurang-kurangnya mereka mempunyai makanan yang lengkap untuk berbuka walaupun menu sekadar yang termampu diberikan,” katanya semasa ditemui di sini, semalam. 

Syed Azimal Amir menambah idea berkongsi rezeki tercetus apabila beliau melihat ramai yang memberi makanan percuma semasa menunaikan haji pada tahun 2014 dan dimaklumkan bahawa perkara itu adalah ‘normal’ bagi masyarakat di sana.

Justeru, Syed Azimal Amir mempraktikkan konsep sama pada Ramadan tahun lalu, dan amat gembira apabila usaha murni itu mendapat sambutan cukup menggalakkan sehingga ada yang beratur menunggu sebelum beliau dan rakan-rakan membawa makanan mahupun semasa hujan lebat.

Katanya, tiada promosi khusus dalam ‘mencanang’ pemberian makanan itu, sebaliknya hanya memuat naik di laman sosial Facebook dan selebihnya adalah menerusi ‘kempen mulut ke mulut’ oleh mereka yang pernah mengambil makanan tersebut.  

Syed Azimal Amir menambah beliau tidak mengehadkan pemberian makanan itu kepada orang Islam semata-mata, kerana baginya ‘perut yang lapar tidak mengira bangsa dan agama’. 

“Saya pernah susah. Pernah tahu bagaimana rasanya tidak mampu untuk membeli makanan. Jadi saya tidak mahu ada orang mengalami perasaan yang sama,” katanya yang kehilangan ayah pada usia 12 tahun. 

Syed Azimal Amir menambah selepas ayahnya meninggal dunia, beliau bersama-sama enam abang dan kakak dibawa pulang ke kampung di Linggi, Negri Sembilan yang mana ibunya hanya bergantung kepada wang pencen ayahnya untuk menyara keluarga. 

Mengulas mengenai pemberian makanan percuma itu, Syed Azimal Amir berkata beliau memperuntukkan sekitar RM500 sehari dan selain ‘kocek sendiri’, wang itu juga diberi oleh rakan dan individu yang mahu bersedekah, termasuk mereka berlainan agama dan bangsa. 

Beliau juga mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu turut menyumbang sama ada dalam bentuk makanan atau wang ringgit. 

Walaupun usaha murni itu mendapat sambutan baik masyarakat, Syed Azimal Amir mengakui timbul ‘cakap-cakap’ segelintir orang, khususnya peniaga makanan yang menganggap beliau ‘menganggu rezeki mereka’ menerusi pemberian makanan percuma.  “Kalau dilihat, kedudukan tempat saya memberi makanan adalah jauh dari tapak bazar Ramadan supaya tidak wujud persaingan. 

“Makanan yang diberikan juga dibeli daripada peniaga sekitar Kuantan termasuk bekalan kuih diperoleh daripada golongan ibu tunggal sebagai menyokong usaha mereka berdikari,” katanya.— Bernama



from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1XJYW3l

via Mukah Pages

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.