Penembak ikrar taat setia kepada ISIS ketika serang kelab malam
PETALING JAYA: Penembak warga Amerika yang menembak mati 50 pengunjung di sebuah kelab malam homoseksual di Orlando pada awal pagi Ahad pernah berikrar taat setia kepada ISIS.
CNN memetik seorang pegawai Amerika Syarikat sebagai berkata, Omar Mir Seddique Mateen, 29, menghubungi talian kecemasan 911 ketika melancarkan serangan itu dan berikrar taat setia kepada ISIS, selain turut menyebut nama pengebom yang terbabit dalam serangan ke atas larian Maraton Boston.
Setakat ini, tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu di forum-forum jihad, tetapi pesimpati ISIS memuji serangan itu di forum-forum pro-IS.
CNN memetik pembantu ejen khas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Ronald Hopper sebagai berkata, biro itu pernah menyoal siasat Omar pada 2013 dan 2014, selepas dia menyuarakan rasa simpati terhadap seorang pengebom berani mati.
Omar yang dilahirkan di New York pada 1986 akhirnya didapati bukan satu ancaman kerana soal siasat itu tidak muktamad.
Ibu bapa Omar yang berasal dari Afghanistan berkata, anak mereka berang selepas melihat dua lelaki bercium di Miami tetapi mereka tidak menganggap dia seorang yang warak dan tidak tahu jika dia mempunyai sebarang kaitan dengan ISIS.
Omar berkahwin dengan seorang wanita dari Uzbekistan sebelum dia memfailkan perceraian pada 2011.
Bekas isterinya, Sitora Yusufiy memberitahu CNN, Omar pada mulanya adalah seorang suami normal sebelum mula menderanya beberapa bulan kemudian.
Wanita itu mendakwa Omar menghidap penyakit bipolar tetapi dia tidak pernah disahkan oleh doktor.
Sitora turut mendakwa bekas suaminya pernah mengambil steroid dan seorang yang warak, namun dia tidak fikir agamanya adalah punca suspek melancarkan serangan itu.
Sejak 2007, Omar bekerja sebagai pegawai keselamatan di G4S Secure Solutions, sebuah daripada syarikat keselamatan swasta terbesar di dunia.
Kes tembakan rambang di kelab malam Pulse berlaku kira-kira jam 2 pagi Ahad dan menyebabkan 50 maut dengan sekurang-kurangnya 53 lagi cedera.
Omar kemudiannya ditembak mati oleh pasukan polis yang merempuh ke dalam kelab itu dengan sebuah kenderaan berperisai.
Ini adalah kejadian tembakan rambang terburuk dalam sejarah Amerika dan serangan keganasan terburuk di negara itu sejak 11 September 2001.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1sBv0ZR
Post a Comment