Rafizi ugut bom Najib, 4 ‘orang Kuale’ buat laporan polis
KUALA KANGSAR: Sekumpulan empat individu membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang didakwa mengugut untuk ‘mengebom Parlimen’ dalam satu ceramahnya di sini.
Mendakwa diri sebagai penduduk tempatan Kuala Kangsar, mereka berempat datang ke pusat media untuk mengadakan sidang media berhubung perkara itu.
Mohamad Halim Mohamad Ali, 37, berkata kenyataan Rafizi itu boleh mengancam ketenteraman yang dinikmati penduduk Kuala Kangsar.
“Tak kira dari parti mana, hal bom bakar orang ini tak harus disebut. Saya minta Rafizi beri penjelasan dan jangan buat lagi,” katanya.
Beliau yang tinggal di Liman Kati, Kuala Kangsar memberitahu empat laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu.
Halim yang bukan pengundi di kawasan itu berkata, beliau membuat laporan polis sebagai penduduk yang prihatin.
Menurut laporan polis itu, Rafizi berkata ‘mahu meletakkan bom kasi hancur Najib kalau calon Amanah menang di Kuala Kangsar’, dalam satu ceramah di Manong, 9 Jun lalu.
Ucapan Rafizi itu dipercayai merujuk kepada calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi Ramli yang berkhidmat sebagai pensyarah fizik nuklear di Universiti Teknologi Malaysia sebelum bersara.
Rafizi dalam reaksinya berhubung laporan tersebut hanya mengetepikannya dan menganggap ia sebagai sesuatu yang kelakar.
“Saya baru dimaklumkan satu laporan polis dibuat di Kuala Kangsar terhadap saya kerana saya mengugut mahu mengebom @NajibRazak #lawakgiler,” katanya di twitter.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1PnRfHB
Post a Comment