Polis Sabah belum terima laporan 4 rakyat Malaysia diculik
KOTA KINABALU: Polis Sabah belum mendapat pengesahan laporan kononnya empat warga Malaysia menjadi mangsa penculikan terbaru kumpulan pengganas di selatan Filipina, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, pihak berkuasa di negeri itu belum menerima laporan berhubung dakwaan penculikan seperti yang dilaporkan beberapa media Filipina.
Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang menunggu pengesahan pihak berkuasa Filipina berhubung kejadian itu seperti yang dilaporkan media negara itu.
“Setakat ini, polis negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai kes penculikan oleh kumpulan pengganas di kawasan perairan Sabah,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan lembu dan kuih raya sempena Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.
Sebuah laporan media Filipina memetik Ketua Polis Tawi-tawi, S/Supt Joselito Salido sebagai berkata, sekumpulan suspek tidak dikenali didakwa membawa tebusan rakyat Malaysia itu ke pantai Sitankai, Tawi-tawi sebelum memindahkan mereka ke Sulu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina mengenai laporan media negara itu.
Beliau berkata demikian dalam catatan Twitter terbaharunya hari ini.
Empat rakyat Malaysia dari Sarawak yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf dari perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lalu ketika belayar menggunakan kapal tunda dari Manila ke Sabah, selamat dibebaskan pada 8 Jun lalu.
– BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1ZTkyaK
Post a Comment