Imej Gambaran Untuk Jam Tangan Pintar Android Wear Daripada Google Diperlihatkan
Pada minggu lepas, kita telah mendengar mengenai laporan mengatakan Google sedang membangunkan dua jam tangan pintar Android Wear tersendiri yang mungkin diperkenalkan dibawah jenama Nexus – dan dijangka dilancarkan selepas pengenalan telefon Nexus 2016 baru kelak.
Terkini, gambar baru hadir ke arena web hasil daripada Android Police – memberikan gambaran secara kasar bagaimana kedua-dua jam tangan pintar Android Wear daripada Google ini akan kelihatan.
Dua jam tangan pintar yang diperlihatkan, masing-masing dikenali dengan nama kod Angelfish dan juga Swordfish.
Angelfish menawarkan saiz skrin yang lebih besar, selain butang utama yang bersaiz sedikit besar serta dilengkapi dua lagi butang tambahan pada bahagian atas dan juga bawah. Imej gambaran ini juga turut memperlihatkan penggunaan muka jam baru melalui Android Wear 2.0. Angelfish dengan saiz lebih besar turut dijangka akan menawarkan sokongan rangkaian LTE, GPS dan juga sensor untuk denyutan nadi. Ia dijangka boleh beroperasi bebas tanpa memerlukan telefon pintar.
Swordfish pula merupakan jam tangan pintar yang lebih kompak dan nipis. Ia menawarkan sokongan asas jam tangan pintar Android Wear dan memerlukan jam tangan pintar untuk beroperasi sepenuhnya.
Kedua-dua imej ini masih dilabelkan sebagai gambaran sahaja buat masa ini, dan versi akhir kelak mungkin sedikit berbeza atau sama dengan apa yang diperlihatkan.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/29RUXQs
Post a Comment