Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan HTC 10 – Phoenix Hampir Bangkit Dari Abu - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan HTC 10 – Phoenix Hampir Bangkit Dari Abu

HTC 10 pic 20160720_140029-001Di dalam pertarungan peranti utama tahun lalu HTC One M9 gagal mengalahkan iPhone 6 dan Samsung Galaxy S6. Di Malaysia peranti ini langsung tidak dijual dan sebaliknya HTC One M9+ dibawa masuk dengan beberapa pembaharuan tetapi pemproses Snapdragon 810 digantikan dengan Helio X10. Faktor utama kegagalan One M9 dan M9+ ialah kelemahan kamera yang tidak boleh dimaafkan. Sungguhpun menggunakan sensor lebih besar berbanding iPhone 6 dan Galaxy S6, kualiti gambar kamera 20 Megapixel One M9+ adalah amat mengecewakan.

Dengan HTC 10, HTC melakukan sesuatu yang baru. Peranti tidak dilancarkan di MWC sebaliknya beberapa bulan selepas peranti pesaing Galaxy S7 dan LG G5 diperlihatkan. Berdasarkan dua pesaing ini HTC 10 dihasilkan bagi memastikan peranti tahun ini tidak akan mempunyai spesifikasi yang lebih mampu bersaing.

Spesifikasi

HTC 10
Skrin 5.2″ Super LCD5 QHD (565 ppi)
Chipset Qualcomm Snapdragon 820
CPU 2.16 GHz Kryo Dua Teras

1.6 GHz Kryo Dua Teras

GPU Adreno 530
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB)
Kamera Utama 12 Ultrapixel OIS f/1.8,OIS
Kamera Depan 5 Megapixel OIS f/1.8, OIS
Bateri 3000 mAh (Tidak boleh taggal)
SIM  1x Nano SIM
Jalur LTE 1, 2, 3, 4, 5, 7, 12, 13, 17, 20, 28, 29, 30
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2799

HTC 10 akhirnya tiba di pasaran Malaysia hari ini dengan harga jualan RM2799. Ini meletakkannya lebih murah berbanding S7 Edge dan iPhone 6S yang boleh dikatakan peranti utama yang paling mendapat sambutan di pasaran sekarang.

Skrin masih lagi sebesar 5.2″ dan bukannya 5.5″ seperti kebanyakan peranti utama pesaing. Panel Super LCD5 digunakan dengan resolusi QHD. Tahun lalu M9 hanya dilengkapi skrin HD Penuh. Ia diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan dalaman 32 Gigabyte. Tiada model dengan saiz storan lebih besar akan dibawa masuk oleh HTC. Kepada yang mahu menambah storan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong. Ini bukannya sebuah typo tetapi HTC sejak dahulu lagi menyokong saiz MikroSD yang lebih besar dari pesaing bagi membuatkannya “kalis masa hadapan”.

Seterusnya kita bergerak ke kemampuan optik. Kamera 12 Ultrapixel digunakan dengan lensa f/1.8, sokongan OIS dan sistem pemfokusan laser. Sistem Ultrapixel yang tidak digunakan sejak One M8 kembali lagi dengan beberapa pembaharuan. Kamera selfie hadapan pula sebesar 4 Megapixel dengan lensa f/1.8 dan buat pertama kali dalam sejarah peranti turut menyokong sistem OIS.

Seterusnya bateri sebesar 3000 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Ini dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian bawah peranti. Tidak seperti One M9+, tiada sokongan pemancar infra merah disertakan kali ini. Sungguhpun begitu sokongan NFC masih lagi dikekalkan. Di atas kertas HTC 10 adalah setanding dengan peranti-peranti utama pesaing yang wujud di pasaran. Bagaimana pula dengan rekaannya?

Rekaan

Panel hadapan HTC 10 berkongsi banyak persamaan dengan One A9. Tiada lagi sistem pembesar suara stereo pada bahagian hadapan seperti pada model HTC One sebelum ini. Sebaliknya terdapat satu pembesar suara pada bahagian hadapan dan satu pembesar suara untuk saluran bass pada bahagian bawah. Sebagai peminat sistem audio stereo pada bahagian hadapan, pilihan HTC untuk menggunakan konfigurasi baru ini agak mengecewakan. Kami merasakan sistem audio stereo BoomSound yang diperlihatkan pada One M7 masih antara yang terbaik pernah kami dengari walaupun sudah berusia tiga tahun. Keperluan meletakkan pengimbas jari pada panel hadapan memaksa sistem stereo ini dimansuhkan.

Pengimbas cap jari terletak pada bahagian dagu. Ia turut mempunyai fungsi sekunder sebagai butang home fizikal. Di sini perbezaan dengan One A9 mula kelihatan. Butang navigasi back dan multitasking kini dalam bentuk fizikal menghimpit pengimbas jari. HTC tidak lagi menggunakan sistem butang di atas skrin seperti pada peranti mereka sebelum ini. Rekaan butang navigasi fizikal ini membuatkan HTC One menggunakan sistem yang kali terakhir dilihat pada HTC One M7. Kedua-dua butang navigasi kapasitif ini berlampu bagi memudahkan penggunaan di dalam gelap.

HTC 10 pic 20160720_140051-002 HTC 10 pic 20160720_140532-007 HTC 10 pic 20160720_140154-004 HTC 10 pic 20160720_140117-003 HTC 10 pic 20160720_140254-005

Kaca hadapan 2.5D yang melengkung memudahkan pergerakan jari ke bahagian sisi peranti. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Pada butang kuasa terdapat rekaan bergerigi bagi memudahkan pengguna membezakannya dari butang suara. Kedua-dua butang diperbuat daripada logam dan amat selesa digunakan. Talam satu SIM bersaiz nano turut terletak pada sisi kanan. Ya ini adalah antara sebilangan kecil peranti utama yang hanya menyokong penggunaan satu SIM.

Bergerak ke sisi kiri pula terdapat talam untuk kad MikroSD. Seperti talam SIM, talam ini adalah dari jenis yang memerlukan sebuah jarum untuk membukanya keluar. Sebuah bicu audio 3.5mm terletak pada bahagian atas dan pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C serta pembesar suara bass.

Dengan ketebalan 9 mm, HTC Ten adalah lebih “gemuk” jika dibandingkan dengan peranti lain. Sebagai perbandingan Samsung Galaxy S7 Edge mempunyai ketebalan 7.7mm dan iPhone 6S pula 7.1mm. Tetapi pengguna tidak perlu risau kerana panel belakang HTC 10 melengkung dan semakin nipis pada bahagian sisi. Rekaan melengkung ini membuatkannya amat selesa dipegang di dalam tangan. Secara peribadi kami merasakan ia lebih selesa dipegang dari S7 Edge dan iPhone 6S yang kami miliki.

Tetapi rekaan ini masih kurang sempurna. Walaupun mempunyai tubuh yang 2 mm lebih tebal berbanding pesaing, HTC 10 lensa kamera belakang masih terkeluar dari tubuh. Ini membuatkan peranti tidak duduk rata apabila diletakkan di atas meja. Sekiranya kerangka tidak dibeli kami yakin lensa kamera akan tercalar dengan mudah. Bonggol kamera pada HTC 10 juga lebih tinggi berbanding yang ditemui pada S7 Edge. Pada peranti “kurus” seperti S7 Edge dan iPhone 6S kami faham mengapa bonjol ini wujud. HTC 10 mempunyai ruang cukup untuk memastikan bonjol tidak wujud.

Kami belum menyentuh tentang tubuh HTC 10 yang diperbuat sepenuhnya daripada logam. DNA asal One M7 masih boleh dilihat kerana penggunaan garis antena yang sama pada bahagian atas peranti. Kemasan panel belakang ini tidak licin dan masalah memerangkap cap jari tidak wujud. Ini berbeza dengan One M7 yang memerangkap cap jari dengan mudah sekali. Rekaan sisi chamfered memberikan ilusi peranti kelihatan lebih kecil dari saiz sebenar. Tidak dapat dinafikan peranti ini adalah antara yang mempunyai rekaan menarik dan selesa di pasaran sekarang.

HTC Sense 8

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar Sense8. Sekilas pandang perubahan yang dilakukan tidak begitu ketara pengguna set ikon yang sama. Perubahan banyak dilakukan dengan membuang aplikasi gendut berganda. Aplikasi Android Stock digunakan dan menggantikan aplikasi rekaan HTC. Tiada lagi aplikasi Gallery sebaliknya Google Photos digunakan. Penggunaan aplikasi stock ini diharap akan mengurangkan penggunaan ruang, aplikasi berganda yang membuatkan peranti berfungsi lebih pantas. Talam notifikasi dan skrin multitasking juga kini mengambil terus dari Android Stock.

HTC-10-UI-1 HTC-10-UI-2 HTC-10-UI-3

Motion Launch – Dari skrin tertutup lima aksi dapat dilakukan

  1. Dwi-Tap – Menyahkunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali
  2. Tatalan ke atas – Menyahkunci peranti walaupun skrin tertutup.
  3. Tatalan ke bawah dua kali dengan pantas – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas
  4. Tatalan ke kanan – Melancarkan skrin BlinkFeed
  5. Tatalan ke kiri – Menyahkunci terus ke skrin home

BlinkFeed – Senarai lengkap berita dan status media sosial terkini dari satu hab khas.

Themes – Terdapat pelbagai pilihan tema dan setiap tema mempunyai dua rekaan berbeza iaiatu Classic Layout dan Freestyle Layout.

  1. Classic Layout – Ikon dan elemen antaramuka disusun rapi menggunakan sistem grid. Ikon aplikasi menggunakan ikon biasa yang anda lihat pada peranti Android lain.
  2. Freestyle Layout – Rekaan lebih bebas dan abstrak. Ikon aplikasi digantikan dengan pelekat pelbagai bentuk yang boleh diletakkan sesuka hati. Tiada sistem grid. Antaramuka kelihatan seperti gambar.

HTC-10-UI-4

Kamera

Kamera utama 12 Ultrapixel f/1.8 dengan OIS dan laser dipadankan dengan kamera selfie 5 Megapixel f/1.8 yang turut mempunyai sokongan OIS. HTC 10 ialah peranti pertama yang meletakkan sistem penstabilan optik pada kamera hadapan seperti ini. Pada resolusi tertinggi 12 Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar bernisbah 16:9, resolusi perlu diturunkan ke 9 Megapixel. Resolusi rakaman video tertinggi pula ialah 4K. Antaramuka adalah mudah difahami dan kemas. Tidak banyak pratetapan kamera disertakan. Untuk mengambil gambar hanya terdapat Zoe Camera, Panorama dan Pro. Di dalam mod pro ia menyokong rakaman secara RAW. Pratetapan video pula hanya terdapat Hyperlapse dan Slow Motion.


HTC-10-Camera-UI

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang ditangkap menggunakan kamera utama HTC 10. Secara keseluruhan gambar yang diambil kelihatan terang dan tajam walaupun ketika pencahayaan yang kurang memuaskan. Penghasilan warna juga baik dan kelihatan semula jadi. Masalah dedahan berlebihan yang dilaporkan pada ulasan-ulasan awal yang kami temui nampaknya telah diselesaikan dengan kemas kini perisian. Bagaimanakah kualiti gambar jika dibandingkan S7 Edge yang kami rasakan sebagai peranti dengan kamera terbaik?

Kami masih merasakan S7 Edge mempunyai kamera yang lebih baik. Kelebihan adalah dari segi ketajaman gambar dan kepantasan kamera. Apabila mod Auto HDR diaktifkan pada HTC 10, pengguna perlu menunggu seketika sebelum gambar seterusnya boleh diambil. Sistem pemfokusan laser HTC 10 juga tidak sepantas Duo-Pixel S7 Edge. Kualiti gambar juga sedikit di belakang Huawei P9. Sungguhpun begitu kualiti gambar HTC 10 masih lagi antara yang terbaik untuk peranti mudah alih yang kami ulas tahun ini.

HTC 10IMAG0053-003HTC 10001

HTC 10IMAG0004-002 HTC 10IMAG0008-001 HTC 10 picIMAG0101-003 HTC 10 picIMAG0113-002

Penanda Aras

Pemproses Qualcomm Snapdragon 820 yang digunakan ialah antara pemproses paling terkini. Sungguhpun kepada kepada empat teras anda boleh dengan jelas ia mempunyai kemampuan memproses yang tinggi. Ia terletak di tangga kedua di dalam senarai pemproses paling berkuasa yang pernah kami uji. Markah yang dicatatkan adalah 42969 markah pada Quadrant, 112111 markah pada Antutu dan 27679 markah pada Futuremark. Tidak banyak bezanya dengan Exynos 8890 yang digunakan pada Samsung Galaxy S7 Edge.

Bagaimana pula dengan penggunaan di dunia sebenar? Markah berpadanan dengan kemampuannya di dunia sebenar. Antaramuka tidak mempunyai sebarang sela masa ataupun gagal berfungsi secara tiba-tiba. Penukaran aplikasi berlaku sekelip mata. Tiada aplikasi gagal berfungsi dan paling penting sekali tiada masalah pemanasan melampau seperti yang kami alami ketika menggunakan HTC One M9+.

HTC-10-Bench-1


Bateri

Setiap peranti mempunyai kelemahan. Setakat ini kami masih belum menemui peranti yang sempurna dan kelemahan paling ketara HTC 10 terletak pada ketahanan bateri. Bateri 3000 mAH adalah kecil jika dibandingkan dengan 3600 mAh pada S7 Edge tetapi setanding dengan Xiaomi Mi 5 dan Huawei P9. Kombinasi pemproses yang berkuasa dan skrin QHD nampaknya menyebabkannya hayat baterinya tidak setanding dengan peranti utama lain di pasaran.

Pada penggunaan paling santai kami ia tidak mampu bertahan melebihi 24 Jam. Jangka hayat terbaik pada penggunaan ringan ialah hanya 22 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam. Pada penggunaan paling berat HTC 10 bertahan hampir 12 jam dengan skrin terpasang selama empat jam setengah. Ini adalah rendah sedikit jika dibandingkan dengan S7 Edge dan P9. Sehingga kini hayat peranti terbaik masih dipegang Xiaomi Redmi Note dengan bateri bertahan selama 31 jam pada pengguna sederhana berat dan skrin terpasang hampir 9 jam!


Pesaing

Kami membandingkan HTC 10 dengan Samsung Galaxy S7 dan Huawei P9. Kedua-dua peranti ini dipilih kerana sudah diulas di laman ini terlebih dahulu. Kami yakin mungkin ramai yang mahukan perbandingan dengan Xiaomi Mi 5. Memandangkan kami baru menerima Mi 5 dan ia belum diulas dengan penuh kami menyimpan perbandingannya dengan HTC 10 untuk ulasan di masa hadapan.

Peranti Pesaing
HTC 10 Samsung Galaxy S7 Huawei P9
5.2″ Super LCD5 QHD (565 PPI) 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI) 5.2″ IPS NEO FHD (423 PPI)
2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 2.3 x 4 + 1.6 x 4 GHz Exynos 8890 2.5 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 955
Adreno 530 Mali-T880 MP12 Mali-T880 MP4
4 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (2 TB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 12Ultrapixel f/1.8,OIS, Laser Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.7, OIS, Duo-Pixel Kamera Utama Dwi 12 Megapixel f/2.2, PDAF
Kamera Hadapan5 Megapixel f/1.8, OIS Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/1.7 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4
3000 mAH (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 2799 RM 2699 RM 2099

Kesimpulan

HTC 10 hadir di pasaran Malaysia sedikit lewat dari pesaingnya. Pasaran peranti utama sekarang sudah dipenuhi pelbagai peranti yang baik seperti Samsung Galaxy S7 Edge dan Huawei P9. Kelebihan utama HTC 10 berbanding dua peranti ini ialah rekaan yang terasa lebih premium dan selesa dipegang. Ia mungkin sedikit “gemuk” tetapi kegemukan ini digabungkan dengan panel belakang melengkung yang membuatkannya mengikut kontur telapak tangan dengan sempurna. Rekaan butang suara dan kuasa yang mempunyai tekstur berbeza juga memudahkan penggunaan pada waktu malam. Jika ada komen negatif yang boleh diberikan ialah lensa kamera yang terkeluar dari tubuh serta tiada lagi sistem pembesar suara stereo pada panel belakang.

HTC 10 pic 20160720_140019-008

Jika anda mahukan peranti berkuasa, HTC 10 memenuhi kriteria ini dengan cukup mudah. Pemproses Snapdragon 820 yang digunakan meletakkan HTC 10 sebagai peranti kedua paling berkuasa yang pernah diulas di makmal Amanz. Paling penting sekali peranti ini tidak mengalami masalah pemanasan melampau seperti HTC One M9+. Kesemua aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan lancar. Tiada sela masa ditemui dan jangka hayat bateri juga agak baik.

Dari segi kemampuan kamera kami merasakan kualiti gambar yang diambil adalah baik tetapi masih belum menandingi kemampuan S7 Edge ataupun P9. Penghasilan semula warna adalah baik dengan ketajamanan yang memuaskan. Kualiti gambar diambil pada waktu malam juga baik. Kekurangan yang ditemui ialah gambar sedikit gelap (underexposed). Masalah dedahan berlebihan yang kami baca pada ulasan awal HTC 10 nampaknya sudah diselesaikan setibanya ia di pasaran Malaysia.

Pada harga RM2799, HTC 10 ialah antara peranti yang kurang mampu bilik di pasaran. Sekiranya anda mahukan peranti dengan binaan premium dan selesa inilah peranti yang dinantikan. Kesilapan yang dilakukan pada HTC One M9+ diperbaiki sepenuhnya. Ia masih antara peranti utama terbaik di pasaran sekarang walaupun terdapat beberapa kekurangan. Diharap apabila HTC menghasilkan Nexus Sailfish kelak kesemua kebaikan akan dikekalkan dan kekurangan akan dapat diperbaiki.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan amat premium dan menarik. Sungguhpun sedikit tebal, panel belakang yang melengkung amat selesa dipegang.
  • Spesifikasi yang tinggi dengan pemproses Snapdragon 820 yang cukup berkuasa.
  • Antaramuka lancar dan hampir menyerupai Android Stock. Tiada aplikasi gendut kerana menggunakan aplikasi Google hampir sepenuhnya.
  • Kamera yang baik dengan sokongan OIS pada kamera hadapan dan belakang.
  • Lensa kamera terkeluar dari panel belakang. Peranti ini cukup tebal untuk memuatkannya ke dalam. Meningkatkan potensi lensa tercalar.
  • Tiada lagi pembesar suara stereo. Identiti HTC One  tidak lagi diteruskan.
  • Ketahanan bateri baik tetapi tidak menyaingi peranti utama lain di pasaran.

Skor-HTC-10

 






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2ayLMF2

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.