Chong Wei, anda tetap hero kami, rakyat Malaysia
PUTRAJAYA: Walaupun tewas pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei telah menunjukkan permainan yang membanggakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya percaya rakyat Malaysia dapat merasakan kebanggaan ini seperti apa yang saya rasai,” kata Perdana Menteri, yang menyaksikan perlawanan itu di layar gergasi di Dataran Putrajaya di sini, malam ini.
Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menonton perlawanan antara Chong Wei dengan pemain China, Chen Long, yang menyaksikan jaguh badminton negara itu tewas 18-21, 18-21.
Najib berkata walaupun tewas, Chong Wei telah mengharumkan nama negara.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sedar kesedihan Chong Wei selepas tewas di tangan Chen Long ketika merebut pingat emas, malam tadi.
“Berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul harapan negara selama sepuluh tahun lebih.
“Saya tahu Lee Chong Wei sangat sedih dengan keputusan perlawanan akhir. Kepada Chong Wei, anda tetap kebangaan negara. Anda tetap hero kami, rakyat Malaysia.
“Anda mendapat penghormatan setiap seorang rakyat Malaysia. Terima kasih kerana berjuang habis-habisan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata Chong Wei telah melakukan yang terbaik, namun kekalahan itu harus diterima.
“Tidak apa (kalah). Kadang kala dalam hidup ini bukan semua yang kita hendak akan dapat. Tapi, saya rasa Chong Wei telah main yang terbaik.
“Saya akan hubunginya selepas ini untuk mengucapkan tahniah,” katanya. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment