Kutipan hanya RM1.47 juta: Pengorbanan pasukan keselamatan mudah dilupakan
KUALA LUMPUR: Kutipan Tabung Pahlawan tahun ini hanya RM1.47 juta.
Lebih mendukacitakan hanya tujuh syarikat daripada ribuan yang ada sudi menghulurkan derma menggambarkan pengorbanan anggota tentera bagai tidak mendapat penghargaan dan sokongan.
Jadi, tidak hairanlah apabila Sultan Pertak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita baginda dengan jumlah sumbangan itu dan sikap syarikat swasta di negara ini.
Titah baginda, jumlah derma yang diterima tabung berkenaan daripada individu dan syarikat di negara ini, membuktikan bahawa tahap apresiasi masyarakat terhadap anggota keselamatan adalah amat rendah.
Baginda bertitah pada upacara perbarisan pertauliahan pegawai kadet pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-35 di Universiti Malaya di sini, semalam.
Seramai 1,675 pegawai kadet Pelapes dari universiti awam ditauliahkan dalam majlis berkenaan.
Untuk itu, titah baginda, satu gerakan bagi menyedarkan masyarakat untuk menghargai pengorbanan anggota tentera perlu dilakukan sejak di bangku sekolah lagi.
Titah baginda: “Amatlah penting masyarakat disedarkan agar memberikan apresiasi yang lebih bermakna terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang membolehkan keamanan negara dicapai dan kemakmuran negara dapat dinikmati.”
“Ramai anggota tentera yang terkorban atas nama negara, telah disemadikan di pusara yang tidak bernama, malah tangisan anak-anak mereka yang begitu awal menjadi anak yatim, hilang bagaikan dibawa angin, sebaik sahaja tetuang selesai meniupkan The Last Post,” titah Sultan Nazrin. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment