Pekerja ladang guna 25 alat pemadam api kawal kebakaran di Ladang Trusan
LAWAS: Tindakan pantas kakitangan sebuah syarikat perladangan di sini berjaya menyelamatkan ladang tersebut daripada mengalami kerugian besar setelah blok kediaman pekerjanya musnah dijilat api.
Dalam kejadian sekitar 12.20 tengah hari di Ladang Trusan milik syarikat Jati Emas Sdn Bhd itu, api berjaya dikawal oleh para pekerja dengan menggunakan 25 alat pemadam api.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.24 tengah hari semalam dan sebuah jentera serta sebuah lori tangki dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi 17 minit kemudian, didapati berlaku kebakaran di blok kediaman pekerja yang berstruktur konkrit.
“Kebakaran meliputi 70 peratus kawasan yang seluas 12 kaki persegi.
Meski api sudah merebak ke siling katanya, ia berjaya dipadamkan oleh pekerja ladang dengan menggunakan pemadam api.
“Pasukan hanya memadamkan sisa-sisa api menggunakan saluran bantu mula air dari tangki jentera selain melakukan kerja-kerja penyejukan.”
Kata Farhan, pihaknya mengucapkan syabas kepada pengurusan ladang kerana mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan alat pemadam api tersebut, serta melatih pekerja ladang menggunakannya.
“Ia amat membantu dalam situasi kecemasan seperti ini, dan mengelakkan api daripada merebak lebih ganas.
“Ia bertepatan dengan pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal forensik mendapati api mula marak dari ruangan bilik tidur, sebelum merebak ke bahagian siling dan atap.
Tiada mangsa terlibat dalam kes ini. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment