Rakyat tetap bersama SPRM, kata Pas
KUALA LUMPUR: Pas menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus melakukan serbuan, tanpa peduli walaupun Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan pegawai yang ditangkap seorang yang dedikasi terhadap tugas.
Naib Presiden Pas Idris Ahmad dalam satu kenyataan berkata, rakyat tetap bersama SPRM, walaupun mereka sedar SPRM mempunyai kekangan kuasa.
“Kita mengharapkan supaya akan terdedah pula siapa bapa jerung di belakang mereka. Adakah mereka berani berbuat demikian?,” ujarnya.
Minggu lalu, SPRM telah menangkap tiga orang pegawai kanan, dua daripadanya bergelaran Datuk Seri dan Datuk, masing-masingnya di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.
“Berapa juta ketirisan wang negara hilang akibat perbuatan ini. Apakah banyak lagi habuan yang diperoleh oleh orang lain. Semuanya akan terjawab apabila dibicarakan nanti,” tambah Idris lagi.
Menurut Idris, beliau pernah menyebut di dalam parlimen, supaya pegawai mesti ada keberanian untuk tidak mengikut arahan daripada mana-mana orang atasan, kecuali dengan bertulis.
“Kerana banyak sejarah penangkapan rasuah yang terlibat hanya pegawai.
Mungkin kerana takut, atau hendak mengampu atau hendak naik pangkat. Apabila jadi seperti begini siapa yang akan menanggung akibat. Maruah kelurga, masyarakat akan ingat sampai mati,” katanya.
“Lebih malang lagi kebanyakan yang sudah masuk umur pencen, sudah tua. Nikmat hidup pun sudah tidak seberapa. Apakah berbaloi dengan pengakhiran hayat begitu rupa. Makanlah apa yang ada, jangan tamak. Yang paling penting rasuah dan penerima rasuah tempatnya di dalam neraka,” katanya.
Indeks rasuah negara yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2015 masih teruk daripada kedudukan 50 tahun 2014 kepada kedudukan yang ke-54. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment