Anwar tidak pernah bersikap kuku besi seperti Mahathir, kata Musa Hitam
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata, beliau tidak meragui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi menjadi Perdana Menteri yang berjaya.
Kalaulah menjadi Perdana Menteri, Anwar katanya, dapat membawa negara ini menjadi lebih toleran dan demokratik
“Anwar cukup bijak dan cukup antarabangsa dan berorientasikan Barat,” katanya dalam autobiografi Frankly Speaking, dan menambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu rapat dengan Parti Demokrat Amerika Syarikat, Australia dan Britain.
“Beliau tentu dapat menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Lagipun, beliau punya sokongan kuat daripada elit politik di Indonesia, selain negara Timur Tengah,” tambahnya.
Namun, Anwar yang dipercayai ramai berpotensi menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipecat daripada jawatannya pada 1998 dalam satu krisis politik yang meruncing.
Susulan pemecatan itu, berlakunya gelombang reformasi dan tentangan jalanan yang luar biasa.
Sekitar 50,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur mendesak Dr Mahathir berundur.
Penyokong Anwar memberi pelbagai gelaran jelek terhadap pemimpin itu, termasuk maha zalim.
Beberapa hari lalu, kedua-dua pemimpin itu berjabat tangan, bersapa dan berbincang untuk pertama kali selepas 18 tahun berseteru.
Ada yang mentafsir pertemuan tersebut sebagai langkah pertama untuk kerjasama yang lebih bermakna dalam politik bagi kedua-dua pemimpin itu dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun, kata Musa, ketika itu, masalah utama bagi Anwar ialah orientasi seksnya.
“Ia mungkin bukan masalah bagi setiap orang, tetapi ia merupakan hambatan utama bagi seseorang yang mahu menjadi perdana menteri di Malaysia,” tulisnya lagi.
Dakwaan terhadap kes liwat telah menyebabkan beliau didapati bersalah dan kemudiannya disumbat ke dalam penjara tidak lama selepas dipecat.
Pada 2016, Anwar sekali lagi terpaksa meringkuk di sebalik tirai besi apabila mahkamah menolak rayuannya dalam kes liwat kedua. Dengan itu, beliau tidak layak bertanding dalam PRU akan datang.
“Anwar tidak pernah bersikap kuku besi seperti Mahathir, tetapi suluhan media selalu terhadapnya, dan ini tentu menyebabkan yang lain dalam parti tidak menonjol,” kata Musa lagi dalam Frankly Speaking yang sudah beredar di pasaran. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment