Peguam Anwar sedia bekerjasama dengan peguam Dr M
PETALING JAYA: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad mengarah anak guamnya membantu mereka mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Peguam N. Surendran menyifatkan tindakan Dr Mahathir melalui peguamnya, Haniff Khatri Abdulla untuk menyokong dan bekerjasama dalam hal berkenaan sebagai satu perkembangan positif arena politik negara.
“Saya rasa ia satu perkembangan yang amat positif untuk politik negara khususnya dalam keadaan politik semasa negara.
“Ia juga perkembangan yang amat baik bagi rakyat. Kita mengalukan kerjasama ini dan yakin bantuan yang dihulurkan oleh Dr Mahathir dalam mencabar Akta MKN adalah telus,” katanya kepada FMT.
Sebaik pertemuan antara Dr Mahathir dan Anwar di mahkamah kelmarin, Haniff menerima arahan untuk mengusahakan satu pertemuan dengan peguam Anwar.
Haniff pula akui sedang merancang pertemuan yang dijangka dibuat sebelum minggu depan.
Ahli Parlimen Padang Serai menambah, beliau dan barisan peguam Anwar yang lain iaitu Eric Paulsen dan Latheefa Koya akan duduk semeja bersama peguam Dr Mahathir untuk berbincang.
Malah, N Surendran juga tidak menafikan bantuan daripada Dr Mahathir akan memudahkan lagi urusan ketua pembangkang itu mencabar Akta MKN.
Pada 2 Ogos lalu Anwar memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan MKN melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon pengisytiharan Perkara 66 (4) dan 66 4(A) yang membenarkan penguatkuasaan undang-undang itu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak sah serta terbatal selain memohon injunksi untuk menyekat Majlis Keselamatan Negara mengambil tindakan di bawah Akta MKN sehingga tuntutan mahkamah itu selesai.
Terdahulu, Dr Mahathir memohon maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.
Beliau juga menafikan tanggapan MKN sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang pernah digunakannya dulu.
Bukan seperti MKN yang mengenepikan suara Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata ISA mendapat keizinan Agong.
Pautan:
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today
Post a Comment