Duterte isytihar darurat, 5,000 penduduk kampung selamatkan diri
BANDAR DAVAO: Selepas kumpulan Abu Sayyaf meledakkan bom yang mengorbankan 14 nyawa dan mengakibatkan 70 yang lain tercedera, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan darurat di negara itu.
Duterte berkata, perisytiharan itu tidak bermakna undang-undang tentera dilaksanakan; sebaliknya bagi membolehkan anggota tentera diletakkan di pusat bandar untuk membantu polis dalam menubuhkan pusat pemeriksaan dan meningkatkan rondaan.
Sebelum ini Pejabat Presiden memberikan pengesahan ia tindakan kumpulan Abu Sayyaf.
“Ini adalah satu saat yang luar biasa dan saya berkuasa membolehkan pasukan keselamatan negara ini melakukan usaha memburu,” katanya kepada wartawan di lokasi serangan sambil meminta penduduk berwaspada seperti dipetik CNN.
Menurut laporan CNN, Kumpulan Abu Sayyaf mengaku bertanggungjawab ke atas letupan berkenaan.
Namun, Duterte dipetik sebagai berkata, penyiasat masih menjejaki suspek lain, termasuk sindiket dadah, kerana sebelum ini beliau menyasarkan sindiket itu dalam tindakan keras membanteras gejala berkenaan.
Lebih daripada 2,000 orang telah ditembak mati oleh pihak berkuasa sejak Duterte mengambil alih pemerintahan pada 30 Jun lalu. Sementara itu, ketika asakan tentera menggempur kubu militan Abu Sayyaf di wilayah Sulu mereda Jumaat, jumlah penduduk kampung yang meninggalkan rumah mereka semakin meningkat dalam usaha keluarga terbabit menyelamatkan diri.
Para pegawai yang dipetik Manila Times berkata, sekurang-kurangnya 5,000 orang, kebanyakannya dari bandar Patikul telah melarikan diri dan berlindung di kawasan lain, bagi mengelakkan keganasan.
Gabenor Sulu, Totoh Tan, yang mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Krisis telah mengarahkan pekerja sosial untuk memberi perhatian terhadap kebajikan orang awam dari segi keperluan makanan, perubatan dan sebagainya.
Kira-kira 8,000 anggota tentera telah dihantar ke Sulu bagi membantu pasukan tempatan menggempur kubu Abu Sayyaf, yang aktif menculik dan melancarkan keganasan.
Minggu lalu, Presiden Duterte telah mengarahkan agar serangan tentera besar-besaran dilancarkan ke atas kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, kira-kira 900 kilometer dari Davao.
Tentangan sengit menyaksikan 15 anggota tentera terkorban pada Isnin. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment