Pelabur China intai peluang terokai projek pelancongan di Sarawak
SIBU: Pelabur sektor pelancongan utama dari China sedang mencari peluang untuk menerokai projek pelancongan di negeri ini dan menjadikan sektor swasta tempatan sebagai rakan kongsi mereka.
Menurut Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, untuk kawasan Sibu, pelabur terbabit mengkaji beberapa pilihan, termasuk resort di pesisir pantai Tanjung Manis, Pulau Kerto dan resort hutan yang dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King.
“Mereka mungkin ada idea bernas mereka sendiri. Jadi kami masih belum mengetahui perancangan mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, tambahnya, perbincangan lebih lanjut dengan delegasi berkenaan akan diadakan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada delegasi Beijing, China diketuai Pengerusi Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Liu Ning yang mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Pengerusi MPS di sini, semalam.
Khamis lalu, delegasi berkenaan juga membuat kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Kuching.
Rombongan terbabit dalam rangka lawatan tujuh hari di negeri ini, termasuk ke Kuching, Sibu dan Miri, bermula dari 31 Ogos hingga 7 September.
Kunjungan itu, antara lain adalah untuk menerokai peluang perniagaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti serta infrastruktur di negeri ini. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment