Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ekonomi: Jawapan Menteri kepada kritikan Tokoh Wartawan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ekonomi: Jawapan Menteri kepada kritikan Tokoh Wartawan

KUALA LUMPUR: Perancangan ketumbuhan ekonomi Malaysia adalah selari dengan hasrat yang diimpikan oleh kepemimpinan terdahulu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, kata Menteri Kewangan II.

Kata Datuk Johari Abdul Ghani,  pada tahun 1998 KDNK negara kita hanya berada pada tahap RM288 bilion. Pada 2008 ia telah meningkat  kepada RM924 billion dan pada 2015 KDNK kita telah meningkat kepada RM1.15 trilion.

“Kesemua fakta yang saya tulis itu adalah fakta yang diterbitkan oleh laporan rasmi ekonomi negara dan juga Bank Negara Malaysia. Fakta-fakta ini juga yang diguna pakai oleh pelabur-pelabur luar negara serta agensi penarafan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menjawab tulisan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam kolum yang disiarkan dalam Sinar Harian yang menjadi viral di alam maya.

Katanya lagi: “Inilah juga fakta-fakta  yang diguna pakai oleh masyarakat dunia untuk menilai pencapaian pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Jadi adakah salah saya mengguna fakta-fakta ini untuk menjawap persoalan pelabur tersebut? Terus terang  bagaimana lagi yang perlu saya jawab kepada pelabur tersebut?”

Dalam kolum itu, Kadir  menyatakan bahawa kenyataan saya bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.1% bagi separuh tahun pertama 2016 adalah antara yang terbaik di Asean adalah – “tidak tepat dan boleh dipertikaikan”.

Johari menyatakan bahawa jawapannya yang diviralkan  itu sebenarnya ialah petikan daripada jawapan kepada seorang kenalannya yang juga pelabur dari negara jiran Singapura.

Kenalannya itu telah menghantar kepada beliau artikel melalui Whatsapp mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang beliau terima yang menyatakan ekonomi negara Malaysia akan muflis dalam jangka masa enam bulan, nilai ringgit kita akan jatuh ke tahap RM5 berbanding satu dollar Amerika,dan rizab bank negara tidak sampai RM100 bilion.

Tulisan yang dihantar itu juga mengatakan kedudukan  ekonomi negara mengalami pertumbuhan yang negatif, hutang negara yang tinggi mendadak, sistem perbankan yang sangat rapuh dan ekonomi negara  yang hanya bergantung pada hasil minyak dan dengan kejatuhan harga minyak negara akan muflis.

Johari menjelaskan bahawa perbandingan yang dibuatnya antara Malaysia dengan  Singapura dan tidak dengan Filipina, Vietnam atau  Indonesia seperti yg disarankan beliau adalah kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara kita adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan KDNK ketiga-tiga negara tersebut.

Malaysia mempunyai KDNK sebanyak US$9,700 per kapita berbanding dengan jumlah KDNK  Filipina sebanyak US$2,900 per kapita.

Indonesia pula mempunyai KDNK US$3,300 per kapita dan Vietnam pula mempunyai KDNK US$2,100 per kapita.

“Sebab itu saya tidak mahu membandingkan negara kita dengan ketiga-tiga negara tersebut. Ia juga bersesuaian dgn  hujah Datuk Kadir bahawa –  “lagi maju sesebuah ekonomi, lagi sukar menjana kadar pertumbuhan yang tinggi” –  maka dalam konteks ini tidak salah kalau saya menggunakan Singapura sebagai perbandingan,” ujarnya.

Pada 1998 sewaktu berlaku Asian Financial Crisis, menurut beliau, KDNK negara telah menguncup sebanyak negatif 7%, manakala pada tahun 2008 sewaktu Global Financial Crisis KDNK kita telah menguncup sebanyak negatif 1.5%.

Pada 2015/2016 walaupun Malaysia berdepan dengan krisis kejatuhan harga komoditi minyak yang begitu mendadak dan menyebabkan kerajaan kehilangan lebih daripada RM30 bilion pendapatan tetapi negara masih merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif iaitu 6% – 2014, 5%  – 2015 dan 4.1% – 2016 (6 bulan).

Kadir juga berkata bahawa negara maju memang lebih banyak hutang sebab pemberi pinjaman – “percaya kepada mereka dan mereka mampu bayar balik”.

Kata Johari: “Ini juga suatu kenyataan tidak tepat kerana ada juga negara maju yang kadar keberhutangannya tinggi yang akhirnya tidak dapat mengekalkan pembiayaan hutang negara mereka dan penyebabkan perkembangan negara mereka terbantut dan menjadi negatif.”

Sebagai contoh, katanya, negara-negera Eropah seperti Itali, Spain, Portugal dan Ireland merupakan negara maju yang mempunyai penarafan ekonomi yang tinggi tetapi mengalami pertumbuhan ekonomi yang terbantut sejak 2009 disebabkan kadar keberhutangan yang tinggi (90% hingga 130% daripada KDNK).

Permasalahan ini juga antara sebab mengapa negara-negara tersebut tidak benar-benar pulih daripada European Debt Crisis sejak 2009.

Maka itulah sebabnya, jelas beliau, Malaysia sentiasa mengambil langkah untuk cuba mengekalkan kadar hutang negara pada kadar tidak lebih 55% kerana kita tidak mahu berada dalam keadaan tidak boleh membayar hutang.

Menurut Johari, dengan komitmen kerajaan membina pasarana pengangkutan awam yang efisyen untuk generasi akan datang seperti LRT, MRT, Keretapi Laju KL – Singapura dan East Coast Rail Link sudah tentu bebanan hutang ini akan lebih kritikal untuk di uruskan dengan lebih berhati hati.

“Sememangnya saya amat komited untuk berkhidmat kepada negara dan Kerajaan Barisan Nasional.  Saya rasa tidak salah kalau kita cuba perbetulkan kesilapan yang ada, memperbaiki perkara yang boleh diperbaiki dan mengambil pengajaran terhadap sesuatu kegagalan,” katanya lagi.

“Ibu saya sentiasa berpesan kepada saya jika marah bagaimanapun kita kepada seseorang itu janganlah sampai ke tahap ysng digambarkan oleh  peribahasa Melayu “marahkan nyamuk kelambu dibakar” dan janganlah kita  bertelagah sesama kita sehingga “yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu”. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.