Kisah Puteri Anwar Yang Selalu ‘Terpisah’
Menggamit semula memori ketika papanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ditangkap pada 20 September 1998 di rumah mereka, puteri keempat Anwar, Nurul Ilham menceritakan bagaimana dia sering tertinggal tatkala kejadian penting berlaku ke atas ayahnya itu.
Berkongsi kisah itu di Forum Detik Reformasi semalam, Nuha berkata, kejadian pertama adalah ketika tarikh itu,dia tertinggal untuk mengikuti keluarganya menaiki sebuah van yang dibawa polis untuk membawa Anwar ke Balai Polis Bukit Aman.
“Saya selalu tertinggal iaitu ketika 1998….,masa papa dibebaskan pada 2004 dan pada kes 2008, pada 1998 saya tertinggal apabila saya turun sahaja keluar daripada rumah ayah sudah dibawa, pada 2004 saya sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM, dan pada 2008 saya berada di luar negara (menyambung pelajaran),” katanya.
Anwar ditangkap pada 20 September 1998, dan pada tahun 1999 beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.
Pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan telah menggugurkan sabitan kesalahan liwat kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku, oleh itu beliau telah dibebaskan.
Pada Julai 2008, beliau telah ditahan sekali lagi atas tuduhan dakwaan bahawa beliau telah meliwat pembantu peribadinya iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mana akhirnya pada 10 Februari 2015 lalu Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan tersebut.
Bercerita lanjut ketika kejadian pada 20 September 1998, Nuha yang ketika itu baru menginjak usia 11 tahun berkata, pada tarikh itu dia lihat mamanya (Wan Azizah) begitu tertekan.
“Saya tak pernah tengok muka mama sebegitu, saya tanya mama…papa nak pergi mana?, selepas itu kami hanya dapat berjumpa papa selepas dua minggu dia ditangkap,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: 20 September tarikh penting buat Nuha]
Katanya ketika pertemuan itu, dia menangis kerana melihat mata papanya lebam.
“Saya menangis, saya tanya apa jadi pada papa….papa hanya kata jangan menangis, papa ok sahaja sambil mengelap air mata saya,” katanya.
Sementara itu ketika menyentuh mengenai gelombang reformasi selepas kejadian yang menimpa Anwar itu, Ilham berkata, ayahnya hanya menjadi pencetus kepada gelombang tersebut.
“Selepas itu rakyat mula bangkit…rakyat mula berubah ada satu anjakan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2cELkBy
Post a Comment