Apabila pelakon berlagak diva!
Tugas di belakang tabir sebagai pengurus produksi atau PM, pasti banyak suka dan dukanya.
Apatah lagi, pekerjaan ini tidak hanya berdepan dengan orang biasa, tetapi juga dengan orang terkenal seperti pelakon.
Dalam sesebuah produksi tanggungjawab sebagai PM sangat besar kerana mereka tidak hanya diamanahkan untuk memegang bajet tertentu perbelanjaan sepanjang penggambaran, tetapi juga perlu berdepan dengan kerenah ramai orang setiap hari.
Malah ada berpendapat mereka yang menjadi PM juga boleh trauma. BLING! minggu ini menemu bual beberapa PM bagi berkongsi pengalaman mereka.
Jamal Mohd Salleh
“Sebelum terbabit sebagai PM, saya bekerja sebagai pegawai bank dan pastinya ia satu kejutan buat saya kerana daripada bekerja pada waktu pejabat bertukar kepada tidak tentu masa.
Namun yang membuatkan saya menyukai kerja PM kerana suka berjalan dan ‘travel’ ke merata tempat.
Pastinya masalah tetap ada di mana saja kita bekerja. Bagi saya masalah dan cabaran dalam kerja ini apabila mencari lokasi penggambaran terbaik mengikut bajet.
Dekat atau jauh lokasi yang dicari, saya tidak boleh mengeluh dan bersungut kerana itu adalah tanggungjawab saya.
Berdepan dengan sikap pelakon yang tidak menepati masa juga adalah salah satu punca jadi ‘stres’. Apabila mereka tidak menepati masa, ia turut memberi kesan kepada jadual penggambaran dan kru yang terbabit.
Namun bagi saya, apabila kita sudah suka sesuatu pekerjaan tiada istilah trauma atau serik kerana kita akan mempelajari banyak perkara.”
Zahari Shaari (Arie Zaharie)
“Saya sudah terbabit dalam bidang ini, hampir 24 tahun lamanya. Niat sekadar suka-suka ikut kawan melihat penggambaran sebuah drama membawa saya terbabit sebagai seorang kru.
“Kini selain berperanan sebagai seorang PM, saya juga mencuba menjadi produser bagi mencabar diri.
“Pada saya trauma itu tidak pernah ada dalam kamus hidup, namun pengalaman berdepan dengan orang kaya yang suka memandang rendah terhadap kerja PM ini kadang kala menguji kesabaran juga.
Apabila mencari rumah yang sesuai seperti dikehendaki pengarah, saya perlu beranikan diri mengetuk rumah orang kaya untuk dijadikan lokasi.
Sering juga saya dipandang rendah sehingga ada yang menyangka saya pencuri dengan niat hendak merompak rumah mereka!
Dilemparkan kata-kata sinis dan negatif itu sudah menjadi perkara biasa buat saya. Namun yang membuatkan saya mampu bertahan sehingga hari ini apabila kerja saya terhadap sesebuah drama itu membuahkan hasil dan menang anugerah.
Pastinya ia satu kepuasan yang tidak ternilai buat kami sebagai satu pasukan.
Berurusan dengan artis juga kadangkala menjadi susah apabila mereka juga ada pengurus. Urusan menjadi terlewat apabila mereka perlu menunggu jawapan daripada pengurus masing-masing.
“Namun saya anggap semua itu adalah asam garam seorang PM. Berpuluh tahun bekerja dalam bidang ini saya tidak pernah terniat untuk berhenti, malah akan terus berkhidmat.”
Kamisah Abd Manap (Kam)
“Minat menjadi kru produksi mula timbul selepas saya menyedari diri seorang yang sukakan hiburan. Saya suka melihat persembahan artis.
Mungkin sudah rezeki apabila sering mengikuti beberapa rakan artis, saya diberi tanggungjawab sehingga menjadi PM.
Ia satu tanggungjawab yang besar kerana sebagai PM, saya memegang amanah tidak hanya daripada segi kewangan, tetapi perlu memastikan kru dan artis dapat menjalankan kerja masing-masing dengan terbaik.
Saya perlu jujur dan ikhlas terhadap kerja yang dilakukan supaya artis selesa untuk terus bekerjasama dengan produksi yang saya sertai.
Tidak saya nafikan pernah berdepan dengan pelakon yang berlagak diva sehingga produser dan pengarah sendiri tidak dapat mengawalnya!
Namun apabila berdepan keadaan itu saya tetap bertenang. Saya cuba fahami dan dalami karakter artis yang bermasalah itu.
Produser tidak mahu tahu apa masalah pelakon diva itu kerana apa yang lebih penting bagi mereka, penggambaran mesti selesai ikut perancangan.
Di sinilah perlunya saya memujuk dan bercakap dengan baik dengan mereka.
Selama 15 tahun terbabit dalam bidang ini, tiada istilah serik atau trauma kerana saya semakin suka bidang ini.
“Walaupun ada yang berpendapat kerja ini tiada kehidupan normal dari sudut waktu, keluarga saya sudah lama memahaminya.”
The post Apabila pelakon berlagak diva! appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2o9Ncbv✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment