Hi! Welcome Back and Stay Tune! Mizz Nina tak lupa seni - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Mizz Nina tak lupa seni

Meskipun memutuskan untuk kembali ke cara hidup Islam, aura seni dalam diri Mizz Nina, 37, tidak pernah pudar. Sebaliknya, bekas penyanyi pop itu terus mencipta ruang dan peluang sendiri untuk pastikan namanya tetap relevan sehingga kini.

Mizz Nina atau Shazrina Azman tidak saja giat mencipta puisi, malah aktif dalam bidang fesyen dan penerbitan program majalah keagamaan untuk siaran dalam talian dan stesen TV tempatan.

Katanya, ini adalah kehidupannya sekarang dan semuanya atas perancangan Allah dan dia hanya ikut ke mana Allah bawa dirinya.

“Saya tidak sepatutnya berhenti tetapi perlu meneruskan kehidupan dalam bidang ini dengan cuba menjadi lebih baik,” katanya.

Sikap terbukanya berkaitan kehidupan lalu terserlah apabila tidak sedikit pun melatah sekiranya video muzik atau lagu lama dendangannya masih ditonton dan didengari.

Pendapatnya, ia membantu peminat baru dan lama lihat sendiri perubahan yang dilaluinya kini. Tambah pula dia tidak mampu menghalang mereka untuk terus menonton dan berkongsi.

Isteri penyanyi dan komposer Noh Salleh ini berkata, bagi menjadi Muslim sejati, dia perlu reda dan bersikap positif untuk membentuk keperibadian yang lebih baik pada masa depan.

“Tiada istilah menyesal dengan kehidupan lalu kerana ia membantu saya jadi lebih baik. Saya masih menjadikan laman sosial sebagai pentas menyampaikan dakwah dan mengambil peluang itu untuk menarik lebih ramai pengikut mendekatkan diri dengan Islam,” katanya.

Mizz Nina juga akui tiada istilah terlambat mengenal Allah dan memulakan kehidupan baru yang lebih bermanfaat.

Malah, pada usia 30 tahun dia kembali mengenali muqadam dan al-Quran dan bersyukur sejak itu, dia bertambah baik.

“Apa yang penting, jangan malu atau berputus asa mahupun rasa terlambat untuk memulakan sesuatu,” katanya.

Pernah mengacara beberapa program bual bicara seperti Into Taqwa, Beyond Translation dan Always A Traveller, terbaru Mizz Nina akan muncul melalui program bual bicara, The Mizz Nina Show yang dijangka bersiaran menerusi saluran Astro pada Ramadan ini.

Program 10 episod itu adalah terbitan syarikatnya, DOPs TV dan menampilkan ramai tetamu termasuk suami dan bapanya, Tan Sri Azman Hashim.

Katanya, program itu memperkatakan pelbagai aspek termasuk menyentuh hati, seni reka dalaman dan sebagainya. Asasnya ia adalah program gaya hidup, tidak terlalu berat tapi tetap ada pengisian tersendiri.

“Apa yang menarik, ada satu episod saya perlu temuramah bapa saya dan ia adalah detik yang sangat unik bagi saya. Ada juga satu episod mengenai MH17,” katanya.

Melalui DOPs TV juga, Mizz Nina turut mewujudkan saluran TV dalam talian melalui YouTube dengan berkongsi pelbagai kandungan cara hidup Islam secara santai.

Katanya, pengacaraan adalah bidang yang tidak disangka-sangka terutama selepas muncul dalam Into Taqwa siaran TV AlHijrah tahun lalu yang banyak mendapat maklum balas positif.

“Saya masih baru dalam bidang ini. Apabila ada yang mendekati dan tawarkan jadi pengacara, saya fikir, kenapa tidak cuba dan keluar dari zon selesa?

“Sekarang saya lebih yakin kerana ada keluarga dan rakan-rakan yang banyak menyokong,” katanya.

Selain itu, Mizz Nina juga akan menjalani penggambaran program travelog kerohanian bulan ini dan akan terbang ke Australia.

Katanya, dia lebih bersifat kerohanian dan berasakan sangat penting untuk menghasilkan lebih banyak program berinspirasi.

“Apabila saya tengok sesuatu, ia membuatkan saya mahu jadi lebih baik. Jadi, saya mahu kongsi kebaikan ini dengan lebih ramai orang.

“Pada usia ini, saya perlu berkongsi hal-hal yang bagus dan dapat memberi manfaat,” katanya.

Terharu dipilih ikon fesyen Islam

Penampilan sederhana Mizz Nina yang berhijab dan berjubah tetap menarik perhatian ramai. Tidak hairanlah dia dipilih ikon berpengaruh fesyen untuk Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW2017).

Pemilihannya berdasarkan status sebagai Ikon Malaysia atas usaha dakwah termasuk usahanya memperkenalkan fesyen Islam di samping kerja-kerja kebajikan yang sering dilakukan.

“Sebenarnya saya tidak pernah anggap diri sebagai ikon fesyen tetapi saya bersyukur apabila orang suka dengan apa yang saya pakai. Bagi saya sangat positif.

“Saya lihat pentas ini bagus untuk pereka fesyen ringkas dan mempunyai bakat dalam ketengahkan fesyen Islamik. Acara ini tidak saja mengenai fesyen, juga menggabungkan kepercayaan dan kecantikan umat Islam kepada dunia melalui cara berpakaian,” katanya.

Sebelum ini, jenamanya pernah menyertai pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFM), Festival Fesyen Islam (IFF) dan banyak lagi.

Katanya, Malaysia sudah mula terbuka dengan me­ngadakan banyak persembahan berkaitan fesyen cuma yang membezakan penyertaan kali ini ialah ia pentas antarabangsa.

Ditambah pula dengan isu Islamofobia, acara yang bakal berlangsung nanti dapat membantu masyarakat dunia lebih mengenali Islam.

“Fesyen ‘modest’ sudah berjaya tembusi New York Fashion Week (NYFW) malah sudah ada pereka yang berani menonjolkan model berhijab.

“Untuk AIFW2017, saya akan keluarkan koleksi raya melalui jenama sendiri, Sawdaa by Black Label. Ia lebih menjurus rekaan tradisional seperti baju kurung dengan sentuhan etnik dan sulaman,” katanya.

Akui teruja AIFW 2017, Mizz Nina lihat ia sebagai acara dagangan mempersembahkan gabungan kesantunan fesyen dengan gaya terkini dalam konteks Islam.

“Mengangkat tema Memperkenalkan Asia Sebagai Pusat Global Fesyen Islam, AIFW 2017 diharap menjadi ruang pasaran bagi fesyen dan gaya hidup Islamik di Asia.

“Acara ini bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 30 Mac hingga 2 April depan,” katanya.

Walaupun mempunyai jenama pakaian sendiri, Mizz Nina tidak pernah menolak untuk memakai busana Muslimah oleh pereka lain.

“Saya tidak lihat ia sebagai persaingan sebaliknya lebih pada menyokong antara satu sama lain. Apa sahaja yang selesa dipakai dan mematuhi syarak, saya akan pakai. Saya akan pakai label sendiri apabila perlu.

“Jika saya ingin memakai satu-satu jenama, saya secara tidak langsung bertanggungjawab secara penuh dengan jenama itu kerana ia turut menonjolkan keperibadian saya yang sebenar.

“Saya juga sangat selektif dengan siapa saya bekerja kerana percaya ia cerminan terhadap diri saya,” katanya.

The post Mizz Nina tak lupa seni appeared first on Berita Viral.

Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2op5hBW

✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral


(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.