Jika Dapat Banggakan Negara, Ada Sedikit Ganjaran - TMJ
KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersikap realistik dengan kemampuan dan persediaan skuad bawah 22 tahun negara walaupun tetap mahukan mereka memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Ke-29 bulan ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau juga tidak akan cepat menghukum terutamanya ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee sekiranya pasukan itu gagal mencapai sasaran tetapi berharap mereka berusaha sedaya upaya memanfaatkan peluang keemasan bermain sebagai tuan rumah.
“Bola sepak mengajar saya (supaya bersikap) realistik. Biarlah kita sasarkan yang tertinggi hingga ke bintang kerana kalau jatuh pun, sekurang-kurangnya (masih) di bulan. Bagi saya 50 peratus itu lebih baik daripada 100 peratus tiada apa-apa langsung.
“Sudah tentu ada KPI (indeks prestasi utama) dalam Sukan SEA ini dan sebagai tuan rumah, kita pastinya tidak mahu tersingkir awal tetapi saya tidak akan hukum (pasukan) terlalu awal. (Kontrak jurulatih berdasarkan keputusan temasya itu) pun bukan isunya.
“Jika pasukan dapat membanggakan negara dan tunjukkan permainan bagus, adalah sedikit ganjaran untuk mereka. Harap-harapnya pihak lain pun berilah sedikit,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Sebelum itu Tunku Mahkota Johor itu memberikan kata-kata perangsang kepada keempat-empat skuad Sukan SEA termasuk wanita dan futsal dalam pertemuan di sebuah hotel.
“Peluang bukanlah beban tetapi itu rezeki. Berbanggalah dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan. Ini satu penghormatan tinggi dan cita-cita semua rakyat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara.
“Anda ada peluang cerah sebagai tuan rumah untuk mendapatkan pingat emas kerana pencapaian ini bakal selama-lamanya berada dalam ingatan anda sebagai individu yang membanggakan keluarga hingga kepada anak cucu anda,” katanya kepada pemain keempat-empat skuad berkenaan.
Tunku Ismail menegaskan, sebagai manusia, setiap pemain tidak perlu takut sekiranya melakukan kesilapan ketika berjuang tetapi apa yang penting ialah mereka berusaha 100 peratus untuk negara.
“Berikanlah yang terbaik demi bendera dan lambang di dada anda. Saya akan sentiasa menyokong anda dan marilah bersama-sama kita mencipta sejarah. Selamat berjaya,” katanya.
Tunku Ismail turut menyentuh isu kepadatan jadual Liga Malaysia (Liga Super dan Piala Malaysia) sehingga mengakibatkan beberapa pasukan enggan melepaskan pemain ke Kelayakan Bawah 23 Tahun AFC di Bangkok bulan lalu, termasuk kelab miliknya Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya jujur mengakui ada pasukan termasuk pasukan saya yang tidak dapat melepaskan pemain (ketika Kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC, bulan lalu) tetapi saya ada alasan kuat mengenainya.
“Kita kena kaji balik jadual liga kita yang terlalu banyak cuti. Kita satu-satunya negara di dunia yang menghentikan liga kerana pertandingan belia (Sukan SEA). Di negara-negara Arab dalam Ramadan pun mereka masih teruskan liga.
“Kadang-kadang pintu perpindahan kita pun tidak selari dengan liga Eropah atau Amerika Selatan (jadi) bila nak tukar pemain yang berkualiti pun tiada banyak pilihan yang tinggal di sana. Kita tidak mahu perkara sebegini berulang pada masa depan,” katanya.
Mengenai sama ada keutamaan FAM hanya kepada Sukan SEA dan bukannya Kejohanan Bawah 23 AFC katanya: “Semua pertandingan yang kita sertai itu penting tetapi sekarang kita fokus segenap tenaga kepada Sukan SEA dan apabila tiba masanya (pusingan akhir) AFC di China (2018), kita buat satu persatu pada satu-satu masa.”-Utusan Malaysia
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2fkREUU
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment