Hi! Welcome Back and Stay Tune! Tinggalkan Malaysia demi masa depan anak dan keluarga - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Tinggalkan Malaysia demi masa depan anak dan keluarga

Kami tinggalkan Malaysia demi masa depan anak dan keluarga
Diyana Ibrahim, Melati A. Jalil
Diterbitkan pada 6 Aug 2017 7:00AM
Pendidikan berkualiti yang murah dan percuma ialah faktor utama penghijrahan ramai rakyat Malaysia ke Australia. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2017.

LEBIH 20,000 rakyat Malaysia berhijrah ke Australia antara 2010 hingga 2015, dan biarpun mereka tidak perlu secara rasmi menyatakan sebabnya, pendidikan yang lebih baik untuk anak serta hidup berkeluarga yang berkualiti dipetik sebagai alasan utama.

Inilah juga alasan yang diberikan suri rumah Lynn, 39, yang berhijrah ke Perth pada 2012 dan sejak itu bermastautin di sana.

Pendidikan berkualiti di Malaysia terlalu mahal, katanya, dan mereka juga tidak akan ada masa untuk bersama keluarga.

“Kami mahu pastikan dua perkara, untuk saya sebagai ibu supaya boleh bersama anak waktu mereka membesar dan bukannya serahkan kepada pembantu rumah, dan untuk ayahnya supaya boleh balik ke rumah pukul 6.30 atau 7 petang untuk makan malam dan menghabiskan masa dengan anak.

“Dua hal itu sangat susah hendak dibuat di Kuala Lumpur kerana kos sara hidup yang tinggi. Perlu ada dua pendapatan. Jadual kerja juga sibuk. Suami saya akauntan, biasa bekerja sampai 8-9 malam dan selepas redah jalan raya sesak, sampai rumah sudah 9-10 malam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suami Lynnn memegang kad penduduk tetap Australia sebagai pendatang berkemahiran manakala beliau memiliki visa pasangan. Katanya mereka tentu tidak akan berhijrah sekiranya keadaan di Malaysia lebih baik untuk mereka membesarkan anak.

“Kami seronok di Malaysia, masa itu kami berdua, dua-dua ada kerja yang stabil, ada rumah dan kawan rapat.

“Keadaan sekarang jauh daripada sempurna kerana jauh daripada kawan dan keluarga, tidak ada kerja dan tidak bebas dari segi kewangan, jaga anak dan buat kerja rumah sehari suntuk dan tidak dapat menikmati hal yang biasa seperti pergi berjalan setahun sekali dan iyalah, rindu tanah air.

“Tetapi pada peringkat ini, kami gembira kerana buat keputusan berhijrah terutamanya apabila tengok anak kami seronok di sekolah dan dia tidak sabar hendak ke sekolah setiap hari,” katanya merujuk kepada anak lelakinya yang berumur empat tahun.

Isu anak satu hal, pencemaran udara dan politik satu hal lain pula

Walaupun penduduk tetap Australia bukan warganegara, mereka tinggal, bekerja, belajar dan mendidik anak tanpa sebarang sekatan, kata Pengurus Khidmat Klien dari Australia Migration Agents di Malaysia, Paula Rajaratnam.

“Anda masih pegang pasport Malaysia tetapi anda jadi PR Australia. Jarang mereka yang berhijrah dapat kerakyatan,” katanya.

Menurut statistik Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, 4,290 rakyat Malaysia didaftarkan di bawah kategori penduduk tetap pada 2014-2015, iaitu mereka yang baru tiba untuk menetap di Australia dan mendapat status PR.

Angka tersebut, seperti yang ditunjukkan pada laman web jabatan itu, bagaimanapun paling rendah sejak 2008 ketika mana jumlah rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia meningkat. Sejak itu, rakyat Malaysia yang diberikan status PR mendatar pada sekitar 5,000 orang setahun. Ia meningkat sedikit kepada 5,906 pada 2012-2013, menurun kepada 4,666 antara 2013 dan 2014.

Menurut Paula mereka yang berhijrah tidak perlu mendedahkan alasan tetapi kebanyakan mereka yang berurusan dengannya mengatakan mahu memulakan hidup baru di Australia.

“Pasangan dengan anak kecil berhijrah kerana pendidikan. Mereka fikir pendidikan di sana lebih baik, dan kebanyakannya berhijrah demi masa depan anak.

“Di Australia, apabila dapat PR, anda akan dapat sama ada pendidikan percuma atau yang diberi subsidi dan pendidikan di sekolah awamnya bagus, tidak perlu hantar anak ke sekolah swasta,” katanya, dan menambah ada juga orang yang menggunakan keadaan politik dan ekonomi sebagai alasan berhijrah.

Sesetengah mereka mahu lari daripada cuaca panas dan jerebu yang berulang setiap tahun. “Kami dapat pertanyaan yang banyak pada waktu itu (ketika jerebu begitu buruk).”

Syarat lebih ketat

Australia, bagaimanapun, kini mengenakan tapisan lebih ketat terhadap pemohon yang masuk sebagai pekerja mahir, kata bekas ketua imigresen di Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Grant Colbron.

Australia mengurangkan jenis pekerjaan yang terbuka kepada pendatang tetapi perubahan ini tidak memberikan kesan besar kepada pemohon dari Malaysia kerana pekerjaan tradisi dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan perakaunan masih diterima, katanya lagi.

“Malaysia selama ini jadi negara asal pendatang ke Australia utama dan trend itu berterusan. Hubung kait antara pendidikan dan penghijrahan itu tetap utuh,” katanya, merujuk kepada mereka yang belajar dan kemudian bekerja dan seterusnya mendapat PR di Australia.

Menurut data di laman web Suruhanjaya Tinggi Australia, Australia dianggap negara barat yang paling dekat dengan Malaysia dan mempunyai lebih kurang 20,000 rakyat Malaysia menuntut di sana pada pelbagai peringkat pendidikan baik di institusi awam, vokasional mahupun swasta.
Selain Australia, United Kingdom juga menjadi pilihan ramai untuk berhijrah.– Gambar EPA, 6 Ogos, 2017.

Bagi Danny Lee, seorang jurutera penyelenggaraan yang tidak sabar mahu bersama-sama keluarganya di Australia, mendapat kerja yang baik tidak begitu mustahak.

“Saya sebatang kara di Malaysia kerana adik beradik dan keluarga semuanya di Australia. Abang nombor dua saya rakyat sana dan abang yang sulung baru berhijrah dua tahun lalu. Adik perempuan paling kecil sekarang belajar di Australia. Ayah dan emak juga sekarang tinggal di sana,” kata anak muda 33 tahun itu ketika ditemui pada sebuah seminar tentang penghijrahan anjuran kerajaan South Australia di Kuala Lumpur pada 30 Julai lalu.

Beliau mengaku sudah semakin sukar untuk berhijrah ke negara itu kerana kerajaan Australia memperketatkan syaratnya. Namun beliau berharap akan dapat kerja dalam bidang teknikal kerana pengalaman kerjanya di Malaysia ialah dalam jentera.

Seorang lagi warga Malaysia yang ditemui pada seminar sama, yang hanya mahu dikenali sebagai Brandon, berkata beliau hanya mahu mengumpulkan maklumat pada masa ini dan merancang berhijrah dalam masa dua tahun lagi.

“Semuanya kerana pendidikan dan Australia yang paling dekat dengan negara ini,” katanya.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan beberapa agen lain yang menguruskan penghijrahan ke negara lain namun mereka enggan bekerjasama.

Pengurus besar syarikat pindah barang AGS Malaysia, Cyril Quenneville berkata kebanyakan rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhijrah sama ada ke Australia atau United Kingdom.

Syarikatnya menguruskan anggaran 1,000 perpindahan setahun, dengan 60 peratus daripada melibatkan destinasi luar Malaysia.

“Musim puncak ialah pada musim panas kerana cuti sekolah. Pada Jun dan Julai, kami biasanya memindahkan 15 keluarga sehari tetapi pada Mac hanya dalam dua keluarga sehari,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan pelanggannya itu sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan Malaysia tidak ada angka rasmi rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia atau negara lain.

“Kita tidak ada maklumat dan mereka pun tidak beritahu melainkan jika mereka serah kerakyatan Malaysia. Itupun mereka tidak beritahu juga.

“Mereka tidak beritahu kerana mereka mahu manfaat seperti dwikerakyatan, pendidikan percuma untuk anak atau membeli hartanah dengan diskaun.” – 6 Ogos, 2017.


✍ Sumber Pautan : ☕ mountdweller88

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2fiS1zz

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.