“Kantin caj mahal, kebanyakan pelajar bawa bekal dari rumah”
ISU makanan mahal yang dijual di kantin sekolah bukan isu baharu kerana saban tahun ia menjadi subjek bualan sama ada ibu bapa mahu pun guru.
Pengusaha kantin didakwa meletakkan harga di luar kemampuan murid serta pelajar sehingga memaksa ibu bapa menambah wang perbelanjaan sekolah kepada anak-anak mereka.
Lebih mengecewakan apabila ada pengusaha kantin mengenakan harga mahal, namun kuantiti makanan dijual sedikit, bersaiz kecil dan tidak berbaloi dengan harga dibayar.
Tidak setakat itu, makanan segera yang tidak sihat juga dijual oleh segelintir pengusaha kantin dan ia amat meresahkan ibu bapa.
Justeru, ikuti tinjauan wartawan NOR AZIHAN MD GHAZALI, HIDAYAH HAIROM, NORAFIZA JAAFAR, ARZIANA MOHMAD AZAMAN, NURUL FIRDAUS KHAIRI, MOHD RIDZUAN ABU HASSAN, AHMAD ISMADI ISMAIL dan MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR di beberapa kantin sekolah di sekitar Lembah Klang dan Selangor berhubung isu ini.
KUALA LANGAT – Tindakan segelintir pengusaha kantin mengenakan caj makanan yang mahal dianggap tidak wajar lebih-lebih lagi pelanggan mereka adalah golongan murid dan pelajar sekolah.
Lebih menggusarkan ibu bapa apabila anak-anak mereka disajikan dengan menu makan tidak sihat.
Pembantu pengusaha kantin yang hanya ingin dikenali sebagai Marzia, 40, ketika ditemui mengakui isu sebegini sememangnya ada berlaku di kantin sekolah.
Dia yang pernah menjadi pembantu di tiga kantin sekolah di sekitar Kuala Langat memberitahu, pernah satu masa majikannya meletakkan harga 50 sen untuk seketul kuih sedangkan saiz kuih terlalu kecil dan tidak mengikut cita rasa murid-murid.
“Bila kantin caj mahal, kebanyakan pelajar bawa bekal dari rumah. Akibatnya makanan di kantin tak habis dijual. Saya fikir keadaan itu berlaku kerana harga semasa sebiji kuih di luar mencecah 50 sen. Tapi bagi saya, harga makanan kantin sekolah sangat tak sesuai ikut harga di pasaran luar,” katanya.
Katanya, dia menyedari kenaikan harga barang dalam keadaan ekonomi kini memaksa harga makanan dinaikkan, tapi sebagai pengusaha kantin sekolah perlu bijak cari idea menarik minat murid-murid dengan menawarkan harga murah tetapi sedap.
Sementara itu, seorang pengusaha kantin, Dalila Bidin yang baru tahun ini menceburi bidang ini memberitahu, dia ada menerima pelbagai komen dan keluhan ibu bapa mengenai harga makanan di kantin sekolah.
“Dengan kenaikan harga barang memang perlu naikkan sedikit harga makanan. Tapi jangan terlalu beza dengan harga tahun sebelumnya. Mengenai menu sihat di kantin memang boleh buat tapi, harganya tak menentu. Jika ibu bapa sanggup keluar belanja lebih untuk anak-anak tak mustahil semua pengusaha kantin boleh sediakan menu makanan sihat di sekolah,” katanya yang berpeluang mengusahakan kantin di Sekolah Kafa As Syarif Telok Datok.
Tambahnya, sebagai pengusaha kantin dia mencuba kelainan menu di kantin contohnya menyediakan makanan masa kini yang menjadi kegemaran pelajar termasuk bihun sup, kuetiau tomyam, pasta, roti John dan sebagainya dengan campuran sayur-sayuran di dalam menu tersebut.
Katanya, secara tidak langsung unsur menu sihat ada di situ.
Bagi Pengerusi Pentadbiran Kafa As-Syarif, Zawalajam Mashod berkata, beliau sedia maklum kebanyakan harga makanan di kantin sekolah sangat tinggi.
“Tapi Alhamdulillah, pengusaha kantin di Kafa As Syarif sedia maklum akan keadaan ini. Pengusaha baru ini, bukan sahaja sediakan makanan berkualiti malah ada pelbagai menu menarik dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya.
Dalam pada itu seorang suri rumah, Ruziana Ismail, 34, berkata, menu sihat atau tidak sihat itu sebenarnya bergantung kepada pengusaha kantin yang menyediakan makanan.
Menurutnya jika hanya ingin kaut keuntungan semata-mata sudah tentu penyediaan makanan tidak lengkap seperti tiada sayur, tiada sumber protein dalam makanan dan sebagainya.
“Kadang-kadang pengusaha kantin tak dapat sediakan makanan yang sihat disebabkan kos tinggi namun. Tapi bagi saya tak salah sediakan harga yang murah walaupun kuantiti sedikit tapi makanan seimbang.
“Sebagai ibu bapa tentulah kami nak tengok anak-anak makan makanan sihat macam di rumah. Jadi memang harap sangat di sekolah pun sediakan makanan yang sihat,” katanya yang memberi wang belanja RM3 berbanding RM2 tahun lalu kepada anaknya.
Ruziana berkata, tidak dinafikan makanan seperti sosej dijual di mana-mana kantin sekolah dan dilabel sebagai makanan tidak sihat tetapi baginya itulah makanan kegemaran anak-anak hari ini.
Katanya, mungkin pemantauan perlu dilakukan supaya tidak jual setiap hari sebaliknya berkala seperti seminggu sekali supaya anak-anak lebih menumpukan makanan menyihatkan.
Sumber “Kantin caj mahal, kebanyakan pelajar bawa bekal dari rumah”
✍ Sumber Pautan : ☕ Macam Macam hal laaaa... Anda patut tahu!!!
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2DC7XEn
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment