Patin celup jejas nama Temerloh
(Ubah saiz teks)
TEMERLOH - Saiznya dikatakan lebih besar selain rasanya didakwa tidak seenak ikan patin yang membesar dan diternak di Sungai Pahang, Temerloh.
Itu situasi yang didakwa berlaku sejak beberapa tahun lalu apabila ‘patin celup’ menerjah ke pasaran di daerah ini.
Keadaan itu sudah pastinya menimbulkan keresahan terutama buat pengusaha ikan sangkar dan peraih serta peniaga sekali gus boleh mencemarkan nama Temerloh yang terkenal dengan industri patin selama ini.
Ikan-ikan tersebut dikatakan dibawa dari luar Temerloh yang didakwa diberikan pelbagai makanan antaranya perut ayam berbeza penggunaan palet yang digunakan oleh pengusaha ikan sangkar di daerah itu.
Malah ada segelintir peniaga menjual ikan terbabit dengan harga sama yang dijual bagi ikan patin Temerloh.
Patin luar dibawa masuk
Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh Pahang (PPPISTP) Khaidir Ahmad berkata, situasi itu berlaku berikutan kekurangan bekalan dalam memenuhi keperluan yang tinggi terhadap patin.
Menurutnya, ia menyebabkan ada sesetengah peniaga yang mendapatkan ikan-ikan dari luar Temerloh.
“Perkara ini dah berlaku lama dan memang ia menjejaskan peniaga yang menjual ikan patin original dari Temerloh.
“Rasanya sangat berbeza tak sedap macam yang diusahakan dan diternak di Sungai Pahang.
Menurutnya situasi itu sudah pastinya mengundang kerugian buat pembeli terutamanya dari luar yang sanggup datang jauh semata-mata untuk menikmati patin Temerloh
“Nak bezakan selain saiznya, lemaknya berwarna kuning kerana guna perut ayam berbanding patin original Temerloh, lemaknya putih kerana kita guna palet sebagai makanan,” jelasnya.
Khaidir memberitahu, beberapa faktor menyebabkan kekurangan bekalan seperti pencemaran selain masalah cuaca tidak menentu.
“Kita berharap kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk membantu mengatasi masalah ini sebelum industri patin yang selama ini menaikkan nama Temerloh dan Pahang lenyap,” katanya.
Jelas Khaidir lagi, beliau juga mengharapkan semua peniaga dan pengusaha ikan sangkar bersatu untuk mengatasi masalah tersebut.
“Kita ada fikirkan beberapa cara antaranya mengeluarkan sijil pengesahan yang ikan dijual adalah dari sangkar dari Temerloh untuk membuktikan dan jaminan kepada pelanggan,” katanya.
Peniaga tetap jaga kualiti
Sementara itu seorang peraih dan peniaga ikan patin dari Kampung Bangau, Hairudin Abdullah, 45, mengakui telah banyak menerima rungutan pelanggan mendakwa tertipu membeli 'patin celup' tersebut.
“Kesian terutamanya mereka yang datang dari luar Pahang merungut kerana rasa ikan dibeli tidak seenak yang dikatakan.
“Saya akui memang ada sesetengah peniaga yang tetap menjual patin celup ini kerana bekalan tidak mencukupi.
“Tapi saya dan enam peraih di sini jaga kualiti itu dan hanya mendapatkan patin dari sangkar penduduk yang ada di kampung ini,” katanya kadang kala sanggup menutup kedai kerana ketiadaan bekalan.
Tegasnya, ia demi menjaga kualiti dan nama baik kampung tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai dan penggemar patin.
Seorang penggemar ikan tersebut, Rosli Nordin, 54, mengakui pernah merasa ikan tersebut yang didakwa tidak seenak seperti biasa.
Menurutnya, jika dibiarkan berterusan, nama daerah itu yang dikenali dengan keenakan rasa patin terjejas.
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2KJfBn6
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment