PIBG sambut baik pelajar pakai kasut hitam
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Kebanyakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyambut baik peraturan baharu berkaitan pemakaian kasut hitam di kalangan pelajar sekolah mulai tahun depan.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, peraturan baharu itu tidak membebankan ibu bapa selain tempoh diberikan adalah munasabah.
Katanya, pemakaian kasut hitam di kalangan pelajar itu dilihat bersifat mesra alam dan keluarga, serta tidak membebankan pelajar.
"Cuma kita cadangkan supaya kasut hitam yang dipakai pelajar adalah dari jenis kain kanvas standard, bukan kulit atau jenis kasut yang berlainan.
"Namun kita harap pelajar basuh juga kasut mereka untuk jaga kebersihan diri dan penampilan. Jangan malas hendak basuh kasut sebab kasut tukar warna hitam," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas tentang peraturan baharu pelajar memakai kasut hitam bermula tahun depan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sekolah pakai kasut hitam tahun depan]
Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pada sesi persekolahan tahun depan, pelajar tidak lagi memakai kasut putih, sebaliknya ditukar kepada warna hitam.
Dalam pada itu, Mohamad Ali turut mencadangkan supaya PIBG, koperasi dan alumni sekolah terlibat boleh mengambil inisiatif menjual kasut berkenaan di sekolah dengan harga berpatutan bagi memudahkan ibu bapa dan pelajar mendapatkan kelengkapan tersebut.
"Manakala mereka yang berkemampuan pula boleh membantu membiayai golongan kurang berkemampuan," katanya.
Bagi Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 di sini, Suzana Ahmad, pihaknya memberi sokongan 100 peratus dengan peraturan baharu kasut hitam tersebut.
"Kami cadangkan supaya baucar RM5 diberikan kepada setiap pelajar bagi pembelian kasut ini memandangkan ada ibu bapa yang sudah membeli kasut sejak pertengahan tahun lagi, sekali gus membantu meringankan ibu bapa," katanya.
Selain itu, Suzana turut meminta kerajaan untuk mengkaji semula pakaian sekolah putih dan menggantikannya dengan warna lain terutama bagi pelajar sekolah menengah.
"Baju putih kelihatan agak jarang dan ada isu berkaitan aurat, sedangkan anak-anak remaja sedang dalam tempoh membesar.
"Mereka juga kadang kala terpaksa pakai baju berlapis-lapis bagi mengelak baju jarang. Ia tidak sesuai dipakai dalam cuaca panas hari ini di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Sumun Perak, Mawaridi Abdullah berkata, peraturan baharu itu menggembirakan hati kebanyakan ibu bapa dan murid-murid.
"Rata-rata golongan ibu mengucap syukur dengan peraturan ini dan berterima kasih pada menteri, manakala murid-murid pula boleh datang ke sekolah dengan penuh yakin sebab kadang kala ada kes ejekan daripada rakan pasal kasut sekolah.
"Walaupun kasutnya sudah dibasuh, tetapi disebabkan kasut lama, ia kelihatan kusam. Jadi akan datang tiadalah masalah kasut ini berlaku," katanya.
Sinar Harian
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2uUv3CK
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment