Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan: Honor 5X – Peranti Kelas Pertengahan Dengan Rekaan Menawan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan: Honor 5X – Peranti Kelas Pertengahan Dengan Rekaan Menawan

Honor 5X Top

Huawei Honor 5X
Chipset Qualcomm MSM8939 Snapdragon 615
CPU 1.5 GHz Cortex-A53 empat-teras
1.2 GHz Cortex-A53 empat-teras
GPU Adreno 405
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 5MP, f/2.4, rakaman 720p
Skrin 5.5-inci IPS, 1920×1080 piksel, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Android 5.1.1 Lollipop + EMUI 3.1
Bateri 3000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 158g, 8.2mm

Akhir-akhir ini, banyak pengeluar menghadirkan peranti kelas pertengahan yang membawakan spesifikasi dan fungsi menarik pada harga sekitar ratusan ringgit. Jika dilihat dari apa yang ditawarkan, mereka menyajikan kita beberapa ramuan utama seperti skrin 5.5-inci, pengimbas cap jari, kamera 13/16MP, dan semestinya rekaan berasaskan logam. Apa yang menarik, kesemua peranti ini dijual pada harga di bawah RM900 yang menawarkan tawaran hebat tanpa perlu membayar lebih.

Ini boleh dilihat melalui Xiaomi yang terkenal dengan Redmi Note 3 mereka melalui penawaran cip pemprosesan berprestasi flagship iaitu Snapdragon 650. Ia hadir dengan skrin sebesar 5.5-inci dan menjadi peranti pertama daripada Xiaomi yang hadir dengan pengimbas cap jari. Menariknya, ia ditawarkan pada harga di bawah RM749 yang telah menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkannya.

Begitu juga dengan Meizu yang menawakan kepada kita sebuah M3 Note dengan penawaran yang serupa seperti Xiaomi. Ia juga hadir dengan sebuah pakej menarik iaitu saiz skrin 5.5-inci, cip pemprosesan MediaTek Helio P10, pengimbas cap jari, dan bateri sebesar 4100 mAh. Dengan rekaan utama yang juga berasaskan logam, Meizu juga bakal dapat bersaing dengan cemerlang dalam menakluki citarasa pengguna.

Di sinilah Huawei mempertaruhkan Honor 5X yang sedia beraksi untuk gelanggang peranti kelas pertengahan. Seperti kebanyakan peranti sekelasnya, ia hadir dengan tiga ramuan standard seperti skrin 5.5-inci, rekaan logam, dan pengimbas cap jari. Jadi dengan lambakan banyak telefon kelas pertengahan yang ditawarkan, mampukah Honor 5X menawarkan pembelian yang berbaloi untuk pengguna?


Rekabentuk

Pertama sekali kita lihat adalah dari segi rekabentuk peranti ini yang membawakan binaan berasaskan logam seperti Redmi Note 3 dan Meizu M3 Note. Jika dibandingkan dengan peranti lain, bagi saya Honor 5X kelihatan lebih menawan terutama apabila diteliti pada rekaan di bahagian belakang. Secara peribadi, saya sangat suka dengan rekaan brushed aluminum dan kilauan bingkai di sisi kamera yang tidak lepas mencuri perhatian daripada pandangan orang di sekeliling saya. Ada yang menegur saya kerana ingin mengetahui apakah peranti yang sedang saya guna. Malah ada yang menjangkakan peranti ini dijual pada harga ribuan ringgit atas rekaannya yang hampir menyamai sebuah peranti berkelas flagship.

Huawei Honor 5X - backDari segi paparan pula, bagi saya skrin IPS LCD 5.5-inci pada resolusi 1080p tidak memberikan sebarang masalah apabila menggunakan peranti ini. Warna yang dipersembahkan bagi saya agak terang dan dari segi darjah pandangannya juga amat baik jika dilihat daripada pandangan berbeza. Mungkin ini dibantu dengan ketumpatan piksel yang agak tinggi iaitu 401 ppi. Cuma apabila bercakap mengenai perkara yang kurang saya gemari, saya tidak menyukai bezel hitam yang hadir pada bahagian sisi panel skrin ini. Ia membuatkan penampilan telefon pada bahagian hadapan kurang menarik terutama pada model dengan warna Daybreak Silver dan Sunset Gold (yang digunakan dalam ulasan ini).

Bercakap mengenai storan dalaman, Honor 5X dilihat hanya menawarkan storan 16GB — tidak seperti pesaing lain dengan pilihan storan 32GB (bersama memori 3GB RAM). Walaupun hadir dengan storan dalaman yang boleh dikatakan agak tidak mencukupi pada penggunaan masa kini, ia masih boleh dipertingkatkan melalui penambahan kad microSD sehingga 128GB. Menariknya, sokongan ini hadir dengan slot tersendiri yang semestinya tidak ditawarkan pada Redmi Note 3 dan M3 Note. Dengan slot storan tambahan dan slot dwi-sim yang didatangkan dalam pakej berasingan, ia membolehkan pengguna menggunakan dua sim berbeza sepenuhnya tanpa perlu dikongsi dengan kad microSD.

Pengimbas Cap Jari

Antara yang menjadi fokus pada peranti ini adalah kehadiran pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti. Saya tidak mempunyai masalah dengan kedudukan pengimbas ini kerana jari saya sering berada pada bahagian ini. Menyahkunci peranti ini juga mudah yang mana tidak memerlukan pengguna menghidupkan peranti terlebih dahulu. Dengan hanya meletakkan jari di atas pengimbas jari, peranti akan dinyahaktifkan dengan serta-merta.

IMG_0114

Saya suka dengan penambahan fungsi pengimbas cap jari daripada Huawei ini yang membolehkan pengguna membuka aplikasi dengan menggunakan jari tertentu. Sebagai contoh, sekiranya anda menggunakan jari telunjuk dan anda telah set kan untuk membuka Instagram, ia akan membawa anda ke aplikasi tersebut selepas anda mengimbas jari telunjuk anda pada peranti ini.

Anda juga boleh menggunakan apa jua jari (walaupun yang tidak set kan) untuk melakukan gesture seperti menurunkan talam notifikasi apabila anda swipe ke bawah jari anda pada pengimbas cap jari. Ia juga membolehkan anda mengambil selfie apabila anda hold jari pada pengimbas cap jari untuk seketika. Selain itu, pengimbas cap jari ini juga diintegrasikan dengan fungsi File Safe, App Lock, dan Visitor Mode dalam memastikan fail dan aplikasi peribadi pengguna hanya boleh diakses selepas mengimbas jari pengguna.

Sistem

Meneroka ke dalam sistem pula, Honor 5X dijana dengan antaramuka EMUI 3.1 yang dibina berasaskan Android 5.1.1 Lollipop. Secara peribadi, apabila menerima sebarang peranti Huawei, satu perkara yang saya tidak beberapa suka ialah launcher yang hadir pada antaramuka ini. Ia kelihatan tidak kemas atas rekabentuk ikonnya tidak konsisten yang mana sesetengah aplikasi yang tidak menyokong tema terbina, ia akan memaparkan rekabentuk ikon berbentuk bulat. Namun dengan pelbagai pilihan launcher yang boleh dimuat-turun, ia bukan lah suatu isu yang besar apabila memakai peranti ini.

Honor 5X Screenshot 1

Namun antaramuka keseluruhan seperti talam notifikasi dilihat baik yang mana dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Notifications dan Shortcuts. Sebarang notifikasi yang hadir dilihat lebih tersusun pada satu paparan tanpa perlu disatukan dengan sebarang butang shortcuts. Antaramuka aplikasi terbina seperti Gallery, Music, Weather dan Calendar juga membawakan rekaan menarik dengan gaya moden dan minimalis.

Honor 5X Screenshot 2

EMUI 3.1 masih dilihat mengandungi beberapa fungsi menarik antaranya Phone Manager yang merupakan tempat sehenti untuk mengurus telefon anda. Ia hadir dengan fungsi Phone Accelerator dan Storage Cleaner yang mampu mengawal penggunaan memori sekaligus melancarkan peranti. Ia juga didadatangkan dengan Harrasment Filter yang boleh menghalang senarai nombor telefon yang mengganggu anda pada mesej dan panggilan. Selain itu, fungsi Traffic Manager juga berguna untuk membenarkan aplikasi yang terpilih sahaja untuk menggunakan data.

Prestasi

Bercakap mengenai prestasi, Honor 5X dijana dengan cip Snapdragon 615 lapan teras bersama memori 2GB RAM. Melalui pengalaman menggunakan peranti Snapdragon 615 sebelum ini, bagi saya ia sebuah cip pemprosesan yang amat baik dari segi prestasi dan jangka hayat bateri. Namun apabila menggunakan peranti ini, saya dapati ada beberapa masalah hiccup dan isu frames drop berlaku apabila meneroka keseluruhan antaramuka dan aplikasi. Membuka paparan multitasking serta menatal Twitter dan Instagram dilihat tidak begitu lancar yang mungkin dibebankan oleh antaramuka EMUI 3.1 ini.

Huawei Honor 5X - performanceBegitu juga dengan ujian benchmark, ia mencatatkan markah yang agak rendah jika dibandingkan dengan peranti Snapdragon 615 yang lain. Beberapa ujian peranti Snapdragon 615 telah dilakukan seperti Oppo R7 lite telah mencatatkan mata sekitar 41705. Namun pada Honor 5X, AnTuTu telah mencatatkan mata sedikit rendah iaitu 36688.

Apabila menggunakannya di dunia sebenar, memainkan permainan seperti Modern Combat 5 dengan grafik sederhana telah mencatatkan bacaan frames rate yang tidak begitu konsisten. Ia boleh dimainkan, cuma pengalaman meneroka dunia pertempuran tidak begitu mengujakan atas prestasi permainan yang tidak memuaskan. Dari segi prestasi multitasking, menukar aplikasi ke aplikasi lain juga dilihat sering kali diundang dengan masalah reload walaupun menukar kurang daripada 3 aplikasi. Ia seolah-olah menggunakan peranti dengan 1GB RAM walaupun sebenarnya memori 2GB RAM mampu ‘menahan’ aplikasi daripada direload lebih dari itu.

Masalah prestasi yang dilihat bersama antaramuka EMUI 3.1 ini mungkin boleh diatasi sekiranya anda mahir dengan pemasangan custom ROM. Menariknya, Huawei telah menyediakan Honor 5X dengan kebolehan bootloader yang boleh diunlock sekaligus memudahkan pemasangan ROM lain seperti CyanogenMod. Dengan penggunaan antaramuka stock yang hadir pada ROM seperti ini, saya pasti Honor 5X mampu berprestasi lancar jika dibandingkan dengan penggunaan rom asal EMUI 3.1 ini. Sekiranya custom ROM bukan pilihan untuk anda, Huawei telah mengumumkan kemaskini Android 6.0 Marshmallow bersama antaramuka EMUI 4.0 untuk peranti ini yang mungkin membantu dalam mengurangkan isu yang berkaitan dengan prestasi.

Kamera

Honor 5X didatangkan dengan kamera 13MP f/2.0 pada bahagian belakang yang mana memberikan prestasi yang agak baik pada penggambaran yang mempunyai lebihan sumber cahaya. Dari segi kawalan warna, bagi saya ia tidak memberikan masalah oversaturated seperti mana Huawei P8 lite yang pernah saya ulas sebelum ini. Di sinilah SmartImage 3.0 menjalankan tugas dengan cemerlang apabila tampil dengan hasil warna gambar yang lebih tepat dan lebih natural terutama apabila mengambil gambar pada waktu siang. Cuma penggambaran pada lokasi kurang cahaya memberikan hasil gambar yang soft serta dipenuhi dengan noise digital. Mengambil gambar objek seperti bangunan dihadirkan dengan noise pada kawasan yang gelap. Dengan peranti harga di bawah RM900, semestinya ia tidak hadir dengan sebarang Optical Image Stabilization (OIS) yang dilihat mampu menstabilkan gambar dan video daripada sebarang gegaran.

Kamera hadapan 5MP f2/.4 pada peranti ini juga bagi saya ia cukup terang dan amat baik untuk penggambaran selfie. Ia hadir dengan algoritma pencatikkan wajah terbina dalam memastikan selfie yang diambil lebih cerah tanpa penampakkan cela pada wajah. Sekiranya anda gemar mengambil selfie secara beramai-ramai, lensa kamera hadapan dengan saiz piksel sebesar 1.4-mikron ini juga mampu mengambil gambar panorama selfie sehingga 88-darjah.

Huawei juga turut membawakan Ultra Snapshot pada Honor 5X ini membolehkan anda mengambil gambar pantas apabila menekan butang volume down sebanyak dua kali walaupun peranti dalam mod standby. Ia juga hadir dengan fungsi pengambilan gambar dengan kawalan audio yang membolehkan pengguna menyebut “cheese” untuk mengambil gambar. Fungsi Captures Smiles pula membolehkan peranti mengambil gambar secara automatik apabila kamera mengesan sebarang senyuman. Satu lagi fungsi ‘pelik’ yang bagi saya agak menarik ialah Food Mode yang mampu mencerahkan lagi kejituan dan perwarnaan gambar makanan yang diambil. Beberapa fungsi standard seperti Panorama, HDR, dan Time-lapse juga turut hadir dalam membantu pengguna menggunakan fungsi penggambaran pada peranti ini.

Dari segi video pula, Honor 5X dilihat mampu merakam video setinggi 1080p pada kadar 30 frames per second (fps). Bagi saya kualiti videonya juga mempunyai kawalan warna yang baik bersama rakaman audio yang cukup jelas dan jitu. Merakam video showcase pelancaran album Hujan “Jika Sempat” dan konsert Lentera Muzika Hujan 1 Dekad sememangnya tidak menjadi masalah apabila dirakam menggunakan peranti ini. Cuma ia memerlukan ketahanan tangan yang benar-benar stabil untuk mendapatkan rakaman video berkualiti akibat ketiadaan fungsi OIS pada peranti ini. Sekiranya anda gemar mengambil slow-motion, ia juga hadir dengan mod video gerak perlahan pada kadar 120 fps seperti yang hadir pada iPhone 5s.

Honor 5X BatteryBateri

Menggunakan Honor 5X ini saya cukup berpuas hati dengan prestasi baterinya. Ia didatangkan dengan bateri sebesar 3000 mAh yang dilihat lebih sedikit berbanding Xiaomi Redmi Note 3 yang didatangkan dengan 4000 mAh. Menggunakannya sepanjang hari, peranti ini mampu menawarkan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 12 minit. Bagi saya, ia suatu bacaan yang sangat baik kerana rata-rata peranti pada kelas ini hanya mampu memberikan bacaan sekitar 3 hingga 4 jam SoT. Sekiranya anda cermat menggunakan peranti ini, ia juga mampu bertahan sehingga 2 hari sebelum ia perlu dicas semula. Perkara ini semestinya dijayakan dengan SmartPower 3.0 daripada Huawei dan penggunaan cip Snapdragon 615 yang terkenal dengan penjimatan tenaga.

Walau bagaimanapun, Honor 5X tidak didatangkan dengan sebarang fungsi pengecasan pantas seperti Redmi Note 3 yang hadir dengan Quick Charge generasi pertama. Namun menurut Huawei, ia menyokong pengecas (tablet) 5V/2A secara rasmi yang membolehkan peranti dicas pada kadar waktu yang lebih singkat.

Rumusan

Secara jujurnya, sukar untuk saya mengesyorkan peranti ini selepas melihat saingan terdekat seperti Redmi Note 3 yang menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi pada harga yang lebih rendah. Dengan harga RM749, Redmi Note 3 lebih menawarkan nilai terutama penggunaan cip Snapdragon 650 yang memberikan prestasi yang hampir setanding dengan cip flagship Snapdragon 801. Dari segi fungsinya juga, Redmi Note 3 telah didatangkan dengan fungsi tambahan IR Blaster yang tidak terdapat pada Honor 5X.

Namun, Honor 5X masih menawarkan sebuah peranti yang cukup berkualiti apabila dinilai dari sudut kameranya walaupun hadir dengan sensor 13MP berbanding 16MP pada Redmi Note 3. Bagi saya, Honor 5X menawarkan gambar yang lebih menyerlah dan lebih jitu dari segi kualiti dan kawalan warnanya. Fungsi kameranya juga cukup padat dengan fungsi-fungsi menarik seperti Ultra-Snapshot yang berupaya mengambil gambar pantas tanpa perlu membuka aplikasi kamera.

Honor 5X Konsert Hujan

Honor 5X juga dilihat lebih tampil kehadapan apabila dinilai dari segi rekaan peranti ini. Ia lebih menawarkan citarasa ‘premium’ melalui rekaan brushed aluminum pada bahagian belakang. Rekaan besi pada sisi kameranya juga tampak lebih elegan walaupun hadir dengan rekaan sedikit terkeluar seperti pada peranti-peranti flagship utama.

Honor 5X VerticalSekiranya anda seorang penggemar peranti dwi-sim, peranti ini juga memastikan anda benar-benar dapat menggunakan fungsi dwi-sim secara sepenuhnya. Tidak seperti Redmi Note 3 yang menggunakan slot hibrid, Honor 5X hadir dengan slot dwi-sim dan slot kad microSD secara berasingan tanpa perlu disatukan dalam slot yang sama. Ini bermakna, anda boleh menggunakan nano-SIM dan micro-SIM secara serentak sementara menggunakan kad microSD sebagai mekanisme storan tambahan.

Pro
  • Rekaan yang lebih menawan berbanding pesaing terdekat
  • Pengimbas cap jari padat dengan fungsi tambahan
  • Ketahanan bateri amat baik dan menyokong pengecas tablet 5V/2A yang mampu mengecas peranti dengan pantas
  • Prestasi kamera menawarkan hasil gambar dengan warna yang lebih tepat dan jitu
  • Slot dual-sim dan slot microSD didatangkan di dalam slot berasingan
  • Didatangkan dengan sokongan bootloader yang boleh diunlock secara rasmi
  • Bakal hadir dengan kemaskini Android 6.0 Marshmallow
Kontra
  • Harganya agak mahal jika dibandingkan dengan spesifikasi pesaing terdekat
  • Prestasi kurang lancar apabila meneroka keseluruhan antaramuka dan aplikasi
  • Penggambaran pada waktu malam dilihat lebih cendurung memberi hasil gambar yang soft dan dipenuhi noise digital
  • Tiada sokongan IR Blaster
  • Tiada sokongan NFC

Huawei juga bijak mengoptimasikan pengimbas cap jari terbina pada peranti ini dengan menampilkan fungsi-fungsi istimewa yang sukar didapati pada peranti jenama lain. Saya cukup suka dengan fungsi File Safe dan App Lock yang mampu meningkat privasi pengguna dengan sekuriti melalui penggunaan pengimbas cap jari. Huawei juga kreatif dalam mendatangkan fungsi-fungsi istimewa yang lain seperti kebolehan mengakses aplikasi dan senarai panggilan pantas hanya membuat gesture pada pengimbas cap jari ini.

Secara keseluruhannya, jika anda menilai Honor 5X dari segi penggunaan dan bukan dari segi spesifikasinya, ia masih sebuah pembelian yang berbaloi walaupun ia ditawarkan pada harga RM899. Dengan kehadiran rekaan yang menarik, prestasi kamera yang menyerlah, dan jangka hayat bateri yang amat baik, Honor 5X bukanlah suatu peranti yang sewenang-wenangnya untuk dipandang enteng dalam peranti kelasnya.

Skor Amanz 2015 - Honor 5X



Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/1SHzidN

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.