Pandang Pertama HTC 10 – Peranti Baru Dengan DNA Klasik
Di dalam pertarungan peranti utama tahun lalau HTC One M9 gagal mengalahkan iPhone 6 dan Samsung Galaxy S6. Di Malaysia peranti ini langsung tidak dijual dan sebaliknya HTC One M9+ dibawa masuk dengan beberapa pembaharuan tetapi pemproses Snapdragon 810 digantikan dengan Helio X10. Faktor utama kegagalan One M9 dan M9+ ialah kelemahan kamera yang tidak boleh dimaafkan. Sungguhpun menggunakan sensor lebih besar berbanding iPhone 6 dan Galaxy S6, kualiti gambar kamera 20 Megapixel One M9+ adalah amat mengecewakan.
Dengan HTC 10, HTC melakukan sesuatu yang baru. Peranti tidak dilancarkan di MWC sebaliknya beberapa bulan selepas peranti pesaing Galaxy S7 dan LG G5 diperlihatkan. Berdasarkan dua pesaing ini HTC 10 dihasilkan bagi memastikan peranti tahun ini tidak akan mempunyai spesifikasi yang lebih mampu bersaing.
Spesifikasi
HTC 10 | |
---|---|
Skrin | 5.2″ Super LCD5 QHD (565 ppi) |
Chipset | Qualcomm Snapdragon 820 |
CPU | 2.16 GHz Kryo Dua Teras
1.6 GHz Kryo Dua Teras |
GPU | Adreno 530 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 12 Ultrapixel OIS f/1.8, Laser |
Kamera Depan | 4 Ultrapixel OIS f/1.8 |
Bateri | 3000 mAh (Tidak boleh taggal) |
SIM/Telefoni | Nano SIM/4G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 2799 |
HTC 10 akhirnya tiba di pasaran Malaysia hari ini dengan harga jualan RM2799. Ini meletakannya lebih murah berbanding S7 Edge dan iPhone 6S yang boleh dikatakan peranti utama yang paling mendapat sambutan di pasaran sekarang.
Skrin masih lagi sebesar 5.2″ dan bukannya 5.5″ seperti kebanyakan peranti utama pesaing. Panel Super LCD5 digunakan dengan resolusi QHD. Tahun lalu M9 hanya dilengkapi skrin HD Penuh. Ia diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan dalaman 32 Gigabyte. Tiada model dengan saiz storan lebih besar akan dibawa masuk oleh HTC. Kepada yang mahu menambah storan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong. Ini bukannya sebuah typo tetapi HTC sejak dahulu lagi menyokong saiz MikroSD yang lebih besar dari pesaing bagi membuatkannya “kalis masa hadapan”.
Seterusnya kita bergerak ke kemampuan optik. Kamera 12 Ultrapixel digunakan denga lensa f/1.8, sokongan OIS dan sistem pemfokusan laser. Sistem Ultrapixel yang tidak digunakan sejak One M8 kembali lagi dengan beberapa pembaharuan. Kamera selfie hadapan pula sebesar 2 Ultrapixel dengan lensa f/1.8 dan buat pertama kali dalam sejarah peranti turut menyokong sistem OIS.
Seterusnya bateri sebesar 3000 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Ini dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian bawah peranti. Tidak seperti One M9+, tiada sokongan pemancar ifra merah disertakan kali ini. Sungguhpun begitu sokongan NFC masih lagi dikekalkan. Di atas kertas HTC 10 adalah setanding dengan peranti-peranti utama pesaing yang wujud di pasaran. Bagaimana pula dengan rekaannya?
Rekaan
Panel hadapan HTC 10 berkongsi banyak persamaan dengan One A9. Tiada lagi sistem pembesar suara stereo pada bahagian hadapan seperti pada model HTC One sebelum ini. Sebaliknya terdapat satu pembesar suara pada bahagian hadapan dan satu pembesar suara untuk saluran bass pada bahagian bawah. Sebagai peminat sistem audio stereo pada bahagian hadapan, pilihan HTC untuk menggunakan konfigurasi baru ini agak mengecewakan. Kami merasakan sistem audio stereo BoomSound yang diperlihatkan pada One M7 masih antara yang terbaik pernah kami dengari walaupun sudah berusia tiga tahun. Keperluan meletakkan pengimbas jari pada panel hadapan memaksa sistem stereo ini dimansuhkan.
Pengimbas cap jari terletak pada bahagian dagu. Ia turut mempunyai fungsi sekunder sebagai butang home fizikal. Di sini perbezaan dengan One A9 mula kelihatan. Butang navigasi back dan multitasking kini dalam bentuk fizikal menghimpit pengimbas jari. HTC tidak lagi menggunakan sistem butang di atas skrin seperti pada peranti mereka sebelum ini. Rekaan butang navigasi fizikal ini membuatkan HTC One menggunakan sistem yang kali terakhir dilihat pada HTC One M7. Kedua-dua butang navigasi kapasitif ini berlampu bagi memudahkan penggunaan di dalam gelap.
Kaca hadapan 2.5D yang melengkung memudahkan pergerakan jari ke bahagian sisi peranti. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Pada butang kuasa terdapat rekaan bergerigi bagi memudahkan pengguna membezakannya dari butang suara. Kedua-dua butang diperbuat daripada logam dan amat selesa digunakan. Talam satu SIM bersaiz nano turut terletak pada sisi kanan. Ya ini adalah antara sebilangan kecil peranti utama yang hanya menyokong penggunaan satu SIM.
Bergerak ke sisi kiri pula terdapat talam untuk kad MikroSD. Seperti talam SIM, talam ini adalah dari jenis yang memerlukan sebuah jarum untuk membukanya keluar. Sebuah bicu audio 3.5mm terletak pada bahagian atas dan pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C serta pembesar suara bass.
Dengan ketebalan 9 mm, HTC One adalah lebih “gemuk” jika dibandingkan dengan peranti lain. Sebagai perbandingan Samsung Galaxy S7 Edge mempunyai ketebalan 7.7mm dan iPhone 6S pula 7.1mm. Tetapi pengguna tidak perlu risau kerana panel belakang HTC 10 melengkung dan semakin nipis pada bahagian sisi. Rekaan melengkung ini membuatkannya amat selesa dipegang di dalam tangan. Secara peribadi kami merasakan ia lebih selesa dipegang dari S7 Edge dan iPhone 6S yang kami miliki.
Kami belum menyentuh tentang tubuh HTC 10 yang diperbuat sepenuhnya dari logam. DNA asal One M7 masih boleh dilihat kerana penggunaan garis antena yang sama pada bahagian atas peranti. Kemasan panel belakang ini tidak licin dan masalah memerangkap cap jari tidak wujud. Ini berbeza dengan One M7 yang memerangkap cap jari dengan mudah sekali. Rekaan sisi chamfered memberikan ilusi peranti kelihatan lebih kecil dari saiz sebenar. Tidak dapat dinafikan peranti ini adalah antara yang mempunyai rekaan menarik dan selesa di pasaran sekarang.
HTC Sense 8
Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar Sense8. Sekilas pandang perubahan yang dilakukan tidak begitu ketara pengguna set ikon yang sama. Perubahan banyak dilakukan dengan membuang aplikasi gendut berganda. Aplikasi Android Stock digunakan dan menggantikan aplikasi rekaan HTC. Tiada lagi aplikasi Gallery sebaliknya Google Photos digunakan. Penggunaan aplikasi stock ini diharap akan mengurangkan penggunaan ruang, aplikasi berganda yang membuatkan peranti berfungsi lebih pantas. Talam notifikasi dan skrin multitasking juga kini mengambil terus dari Android Stock.
Motion Launch – Dari skrin tertutup lima aksi dapat dilakukan
- Dwi-Tap – Menyankunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali
- Tatalan ke atas – Menyahkunci peranti walaupun skrin tertutup.
- Tatalan ke bawah dua kali dengan pantas – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas
- Tatalan ke kanan – Melancarkan skrin BlinkFeed
- Tatalan ke kiri – Menyakunci terus ke skrin home
BlinkFeed – Senarai lengkap berita dan status media sosial terkini dari satu hab khas.
Themes – Terdapat pelbagai pilihan tema dan setiap tema mempunyai dua rekaan berbeza iaiatu Classic Layout dan Freestyle Layout.
- Classic Layout – Ikon dan elemen antaramuka disusun rapi menggunakan sistem grid. Ikon aplikasi menggunakan ikon biasa yang anda lihat pada peranti Android lain.
- Freestyle Layout – Rekaan lebih bebas dan abstrak. Ikon aplikasi digantikan dengan pelekat pelbagai bentuk yang boleh diletakkan sesuka hati. Tiada sistem grid. Antaramuka kelihatan seperti gambar.
Kesimpulan
Dalam pasaran yang semakin sesak dengan peranti berkemampuan tinggi, HTC 10 mempunyai spesifikasi yang baik untuk bersaing. Tidak seperti tahun lalu HTC memastikan peranti terbaru mereka tidak lagi ketinggalan. Dari segi rekaan kami merasakan ia antara peranti yang cantik di pasaran. Tubuh logamnya tidak mengumpul cap jari dengan mudah dan kerana ianya logam pengguna tidak perlu risau ia mudah retak sekiranya terjatuh.
Antaramuka Sense 8 yang dikemaskini semakin hampir kelihatan seperti Android Stock. Aplikasi rekaan HTC digantikan dengan aplikasi buatan Google. Ketiadaan aplikasi gendut memastikan peranti berjalan lebih lancar dan lebih banyak ruang storan boleh digunakan. Kami baru menggunakan HTC 10 sehari dan kami menyukai apa yang kami lihat. Nantikan ulasan penuhnya dalam masa terdekat.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/29VlNYg
Post a Comment