Ayah yakin Chong Wei rangkul emas
PULAU PINANG: Ayah kepada Datuk Lee Chong Wei, Lee Ah Chai positif anaknya mampu meraih pingat emas setelah beliau berjaya menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam pusingan separuh akhir badminton perseorangan lelaki di Rio de Janeiro hari ini.
Beliau yang berbangga dengan pencapaian Chong Wei berharap pemain nombor satu negara itu terus fokus dan memastikan perhatiannya tidak terganggu untuk menghadapi perlawanan akhir itu.
“Beliau bermain dengan baik malam ini meskipun melakukan kesilapan di set pertama, namun beliau bangkit semula di set kedua. Sudah semestinya sebagai ayah, saya sangat berbangga dengan pencapaian beliau,” katanya ketika dihubungi
Bernama selepas tamat perlawanan itu.
Chong Wei berjaya memusnahkan impian Lin Dan untuk mara ke pusingan akhir badminton perseorangan lelaki apabila menewaskannya dalam rubber set 15-21, 21-11 dan 22-20.
Pusingan akhir badminton perseorangan lelaki yang akan berlangsung hari ini akan menyaksikan Chong Wei bertemu Cheng Long dari China.
Ah Chai turut berterima kasih atas sokongan berterusan seluruh rakyat Malaysia dan berharap anaknya dapat menggalas harapan tersebut dan membawa pulang pingat emas buat negara.
Terdahulu, seramai 500 orang hadir untuk menyaksikan secara langsung perlawanan separuh akhir tersebut di Gurney Paragon, di sini yang disediakan satu skrin besar oleh Hunza Properties.
Bagi Lim Lee Peng, 39, yang turut hadir berkata beliau sangat berbangga dengan corak permainan Chong Wei dan akui Lin Dan adalah pemain badminton yang sangat hebat.
“Lin Dan bukanlah pemain yang calang-calang dan Chong Wei telah berjaya menewaskannya, meskipun sukar. Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat berbangga dengan beliau. Selamat berjuang di final nanti,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, abang Chong Wei, Lee Chong Hoon yakin pemain nombor satu dunia itu mampu menyumbang pingat emas untuk kontinjen negara hari ini.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang ditampilkan adiknya yang berjaya menempah tiket ke final.
“Saya harap beliau dapat kekalkan momentum permainan dan fokus kepada persediaan diri sendiri. Usah terlalu fikir lawan yang bakal dihadapinya sebaliknya bijak mencuri peluang yang terhidang pada aksi final nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir melibatkan Chong Wei dan Lin Dan di sebuah restoran di ibunegara malam tadi.
Dalam pada itu, Chong Hoon mengakui beliau mengenepikan perasaan gemuruh ketika menonton perlawanan tersebut kerana ia merupakan medan terakhir Chong Wei di pentas Sukan Olimpik.
“Sebelum ini saya tidak melihat perlawanan melibatkan Chong Wei kerana perasaan gemuruh itu akan datang secara tiba-tiba, namun saya tabahkan juga untuk melawan perasaan gemuruh itu bagi memberi sokongan padu kepada adik saya dalam memburu pingat emas yang menjadi idamannya selama ini.”
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment