Chong Wei: Saya fikir hanya Tuhan yang akan menentukan apabila kedudukan 20-20
RIO DE JANEIRO: Datuk Lee Chong Wei meranapkan impian Lin Dan dalam mempertahankan gelaran Olimpik terakhirnya apabila mara ke pentas akhir selepas memenangi set penentuan penuh mendebarkan dalam aksi separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik Rio di sini, Jumaat.
Chong Wei akhirnya berjaya menamatkan statusnya selaku pemain kedua terbaik di dua temasya Olimpik lepas – 2008 Beijing dan 2012 London – selepas menewaskan jaguh China itu 15-21, 21-11, 22-20 dalam masa 71 minit perlawanan.
“Kini, saya tidak bimbang siapa lawan saya pada perlawanan akhir kerana saya semakin fokus.
Saya gembira dapat mengatasi detik-detik penentuan itu,” kata pemain berusia 33 tahun itu, yang belum merangkul gelaran pada penampilan keempat dan terakhirnya di temasya Olimpik.
Chong Wei akan berdepan seorang lagi pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir yang akan berlangung 9.20 pagi esok (8.20 malam waktu Malaysia). Chen Long mengalahkan Viktor Axelsen dari Denmark 21-14, 21-15 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Dalam set pertama, Lin Dan menampilkan permulaan yang baik untuk mendahului 10-5 dan mengekalkan kelebihan lima mata di keseluruhan permainan dengan kedudukan 13-8 dan 19-14, sebelum menamatkan aksi itu dengan 21-15 dalam masa 26 minit.
Bagaimanapun di set kedua, jaguh China itu seolah-olah seperti memberi kemenangan mudah kepada Chong Wei yang mempamerkan permainan cemerlang dengan pukulan yang baik untuk memenangi set berkenaan.
Chong Wei berjaya mengatasi permulaan yang kurang memberangsangkan pada set pertama, untuk menjarakkan 10 mata di dua kedudukan, 13-3, 18-8, dan mendahului 19-11 sebelum menamatkan set tersebut dengan kemenangan 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 19 minit.
Set penentuan penuh mendebarkan dengan Lin Dan, yang ketinggalan, terus mengejar mata demi mata untuk menyamakan kedudukan 11-11.
Perlawanan yang cukup mencemaskan berlarutan dengan kedudukan terikat 13-13, dan Lin Dan yang sememangnya memiliki pukulan yang kencang dan mengelirukan Chong Wei, menyaksikan kedua-dua pemain saling meraih mata sehingga 15-15.
Setiap mata diperoleh Chong Wei adalah penting sehinggalah pemain kidal dari China itu melakukan kesilapan dalam permainan di jaring bagi membolehkan Chong Wei mendahului 19-16 sebelum pukulan jaguh negara itu gagal melepasi jaring lawan.
Chong Wei memiliki kelebihan tiga mata pada set penentuan sebelum Lin Dan, pemenang pingat emas pada dua temasya Olimpik lepas, bangkit untuk menyamakan kedudukan 20-20 dan mengheret permainan ke mata dius.
Pada saat-saat genting itu, Chong Wei enggan gagal sepertimana situasi di London dua tahun lepas, apabila beliau tumpas selepas mendahului 19-16 pada set penentuan menentang musuh ketatnya itu.
“Saya melakukan banyak kesilapan pada set pertama dan Lin Dan di set kedua sebelum kedua-dua kami bermain bermati-matian pada set penentuan,” kata pemain nombor satu dunia itu.
Chong Wei berkata perbincangan bersama jurulatihnya, Hendrawan selama kira-kira 30 minit malam semalam, benar-benar meningkatkan semangatnya kerana beliau juga pernah tumpas semasa Sukan Olimpik 2000 di Sydney.
“Saya berfikir hanya Tuhan yang akan menentukan apabila kedudukan mata 20-20. Saya tidak sangka mampu berada di peringkat ini selepas dikenakan penggantungan selama lapan bulan tahun lepas akibat kes doping,” katanya.
Selepas perlawanan tersebut, kedua-dua pemain bertukar-tukar jersi dan memeluk antara satu sama lain kerana mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada temasya Olimpik selepas ini. – Bernama
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment