Isu Petronas: Rakyat Sarawak tidak bodoh
Langkah Kerajaan Negeri Sarawak membekukan sementara permit perkerja dari luar Sarawak untuk bekerja dengan Petronas bukanlah berkaitan isu penurunan kuasa yang banyak dilaung-laungkan rakyat Sarawak dan juga usahakan dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang sedang dirundingkan dengan Putrajaya. Sekurang-kurangnya inilah pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Namun inilah tindakan kali pertama dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Petronas selepas 1963 menggunakan kuasa autonomi negeri yang dilaksanakan atau melalui undang-undang imigresen.
Nancy Shukri dipetik sebagai berkata, “Adakah tindakan ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri mengenai isu-isu penurunan kuasa atau untuk menunjukkan kuasa autonomi mereka di bawah persekutuan?” Apa-apa pun kata beliau, tindakan Kerajaan Negeri Sarawak ini tidak lain kerana untuk memastikan Petronas bertindak adil dan telus khususnya dalam urusan operasi di Sarawak.
Beliau mengakui tindakan tersebut dilakukan apabila Kerajaan Negeri menerima aduan daripada Suarah Petroleum Group (SPG) dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya. Sebenarnya, isu ini mendapat liputan meluas kerana rakyat Sarawak semakin cerdik dan matang serta akan hak-hak mereka.
Rakyat Sarawak sedar setiap undi yang diberikan oleh kepada Barisan Nasional sangat berharga dan merupakan amanah yang perlu dipikul oleh pemerintah. Sekiranya, suara mereka tidak dihargai kemungkinan mereka menghayun undi ke parti pembangkang sebagai protes adalah tinggi. Lebih-lebih lagi dalam keadaan politik BN di Putrajaya dianggap bergolak dan hanya bergantung talian hayat politik dengan undi Sabah dan Sarawak.
Dampak Kecelikan Masyarakat
Ternyata, rakyat Sarawak kini semakin sedar, celik informasi dan semakin ramai berpendidikan tinggi. Tidak mudah lagi berdiam diri apabila mereka melihat sesuatu yang tidak kena mengenai dasar, hak dan kepentingan masyarakat Sarawak.
Era ini isu-isu integriti dan ketelusan merupakan isu perjuangan sejagat tanpa mengira negeri atau warna kulit mahupun latar belakang agama. Media sosial dan media alternatif semakin berleluasa dan rakyat sendiri dapat menilai apa-apa isu yang berlaku dalam masyarakat.
Kemajuan dalam dunia pendidikan di Sarawak dengan kewujudan universiti awam dan swasta, pendedahan pendidikan tinggi di luar Sarawak malah di luar negara membawa kesedaran bahawa Sarawak boleh maju dengan adanya modal insan. Aspek ini dapat diperoleh dengan pendidikan yang dapat mengubah status dan bertindak sebagai mobiliti sosial masyarakat.
Mereka terdedah kepada kota raya Kuala Lumpur dengan kemudahan LRT, Monorel, Komuter. Lebih ramai juga terdedah kepada kota-kota besar dunia. Justeru, mereka bertanya kepada sesama mereka mengapakah kemudahan seumpama ini tidak ada di Sarawak?
Mereka mulai bertanya, adakah lebar lebuh raya Pan Borneo sama lebar dengan lebur raya di Semenanjung Malaysia.? Rakyat Sarawak sudah tahu dan lebih peka akan hak mereka sebagai pengundi dan warganegara yang sewajarnya mempunyai suara yang perlu didengari. Mereka semakin sedar kepentingan istilah ‘wakil rakyat’ digunakan dan bukannya ‘wakil pemerintah’ yang menunjukkan kuasa dan suara rakyat lebih penting! – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment