Tidak usah gila dengan gelaran Datuk, Dr
Di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur semalam, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) didapati bersalah kerana menggunakan ijazah palsu untuk mendapatkan jawatan kanan itu tiga tahun lalu.
Perbuatan jahatnya itu hanya diketahui apabila audit dijalankan, dan beliau didapati menggunakan dokumen palsu kerana jelas beliau tidak pernah belajar di universiti yang dimaksudkan.
Untuk itu, bekas CEO itu telah didenda RM4,500.
Kes seperti ini tidak harus dibenarkan untuk berlaku secara berleluasa di negara ini.
Bukan asing di negara ini juga, orang ingin mendapat gelaran Dr di hadapan nama mereka.
Sedangkan mereka tidak pernah melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Bukan mudah hendak mendapatkan PhD dan kemudiannya menggunakan gelaran Dr.
Anda perlu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga tahun dan membaca bertan-tan buku dan artikel, serta menulis tesis yang berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan sebelum lulus. Segalanya menuntut komitmen dan disiplin tinggi.
Golongan ini hanya menipu diri sendiri, samalah dengan golongan yang menggunakan gelaran Datuk yang dibeli atau disyaki palsu.
Mereka yang menggunakan Dr atau Datuk palsu di pangkalan nama ialah individu yang mengalami penyakit jiwa.
Anehnya, dalam masyarakat kita orang terlalu mengejar Datuk seolah-olah gelaran itu adalah segala-galanya, sama juga dengan orang yang mahu gelaran Dr di hadapan nama.
Betulkah, dengan gelaran itu orang akan lebih hormat dan lebih mudah bersosial dan mendapat projek?
Seolah-olah dengan gelaran itu mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.
Hakikatnya, bukan gelaran berjela-jela yang menjadi ukuran. Apa gunanya mempunyai gelaran Datuk jika gelaran itu sebenarnya diperoleh kerana hubungan rapat dengan pemimpin tertinggi.
Jelasnya, rakyat tahu orang itu tidak akan dapat kalau dia bukan saudara-mara atau anak pemimpin terbabit.
Rakyat sering bertanya, apa sumbangan individu berkenaan untuk melayakkannya mendapat Datuk?
Jadi, tidak usahlah gila dengan gelaran itu kerana yang orang nilai ialah kredibiliti, integriti, sumbangan dan jasa sebenar.
Jangan kerana orang lain dapat Datuk, kita pun hendak dapat Datuk.
Tetapi mengapakah sesetengah orang sanggup berbelanja sampai ratusan ribu untuk dapat gelaran itu? Lebih dahsyat lagi, ia dianugerahkan oleh entah siapa-siapa dan untuk apa-apa. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment