Lagi rempuhan maut mangsa dari Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut semalam selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan, sebelum dia sendiri terhumban dan dirempuh oleh motosikal yang datang dari laluan bertentangan.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa Wan Mohammad Amir Wan Hoot, 25 tahun, dari Kampung Sindang Baru dekat sini sedang dalam perjalanan menghala ke Kota Samarahan dari Asajaya.
Apabila tiba di kilometer 2, Jalan Asajaya-Kota Samarahan, motosikal yang dinaikinya mengalami sedikit kemalangan yang mengakibatkan mangsa terhumban ke laluan bertentangan.
Keadaan ini menyebabkan seorang lelaki yang sedang menunggang motosikalnya menuju ke Kampung Tambirat gagal mengelak lalu merempuh mangsa.
Impak pelanggaran tersebut menyebabkan Wan Mohammad Amir maut serta-merta.
Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga mengesahkan kes maut tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment