Bersih pun samseng, Bung Moktar pertahan Jamal
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar hari ini mempertahankan Datuk Jamal Md Yunos daripada gesaan parti itu memecatnya, ekoran ketua Umno Sungai Besar itu menyerang konvoi Bersih di Teluk Intan baru-baru ini.
“Saya tidak salahkan Jamal kerana karenah baju kuning (Bersih) juga macam orang samseng. Bak kata pepatah, sudah bertemu buku dengan ruas. Saya juga melihat video tentang Bersih. Mereka bersifat terlalu biadap dan kurang ajar,” katanya kepada FMT.
Bung juga tidak bersetuju Umno mengambil tindakan ke atas Jamal, dengan alasan penglibatannya dalam insiden Sabtu lepas itu adalah atas kapasitinya sebagai pemimpin Gerakan Baju Merah dan bukan jawatannya dalam Umno.
Semalam, bekas ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Jamal mengganggu konvoi Bersih memalukan parti itu dan memupuk budaya samseng.
Katanya, Bersih mempunyai hak menjalankan program selagi tidak menyalahi undang-undang.
Bersih 2.0 mengadakan konvoi seluruh negara bagi menarik sokongan orang ramai dan memberi penerangan berhubung tuntutan mereka sempena himpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada 19 November, bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sabtu lalu, konvoi yang melalui Teluk Intan bergelut dengan peserta Gerakan Baju Merah selepas Jamal bertindak mengoyakkan kain rentang Bersih.
Kejadian itu turut dirakamkan dan klip video itu tersebar luas.
Sementara itu, seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi menyerahkan kepada polis menentukan siapa yang melanggar undang-undang.
“Kedua-dua baju kuning dan baju merah adalah badan NGO. Selagi kegiatan tidak melanggar undang-undang, ia dibenarkan,” katanya.
Aziz juga menuduh peserta Bersih turut terlibat dalam “budaya samseng”, dan menyebut beberapa insiden himpunan sebelum ini melibatkan keganasan dan kerosakan harta benda awam.
“Apabila Bersih anjurkan sebegitu pastinya akan ada yang mengikut rentak Bersih. Sekiranya Bersih tidak ke jalan raya, saya pasti baju merah juga tidak akan ke jalanraya,” katanya.
Sementara itu, polis dilaporkan sudah mengenal pasti beberapa individu yang memulakan provokasi dan tindakan akan diambil terhadap mereka.
Pautan:
Tindakan Jamal malukan Umno, pupuk budaya samseng, kata veteran
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today
Post a Comment