Penjenayah tembak MH17 diumum Disember ini ketika Rusia masih bantah penglibatannya
CANBERRA: Siasatan tragedi penembakan jatuhnya pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine memasuki fasa baharu apabila penyiasat mengenal pasti punca dan individu pelaku serangan.
Menteri Luar Australia Julie Bishop mengatakan nama pelaku yang terlibat bakal diumumkan pada Disember ini.
Pasukan Penyiasat Gabungan (JIT) terdiri daripada penyiasat pelbagai negara terdiri daripada anggota dari Belgium, Belanda, Australia, Ukraine dan Malaysia menyimpulkan pesawat Boeing 777-200ER ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro-Rusia semasa melalui ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan 298 penumpangnya.
JIT menjelaskan, lokasi peluncuran peluru berpandu dilepaskan dari bukit kawasan pertanian sebelah barat Pervomaiskyi, kawasan dikuasai pemberontak Ukraine pro-Rusia.
Julie memberitahu ABC, disiarkan Reuters pada Ahad bahawa, “akhir tahun ini, mungkin awal tahun depan, senarai (nama) orang yang bertanggungjawab akan disahkan dan setelah itu tuntutan diteruskan.”
Julie berkata penjenayah akan dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa seperti dalam peristiwa pengeboman pesawat PanAm di Lockerbie, Skotland 1988.
Pada 2001 pelaku pengeboman PanAm penerbangan 103 yang mengorbankan 259 jiwa didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara seumur hidup di Scotland.
Dalam perkembangan awal, Rusia membantah hasil siasatan JIT yang mengatakan pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatannya.
Moscow menuding siasatan JIT sebagai berat sebelah dan berbau motif politik.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, pegawai Rusia dihalang berhubung secara penuh dalam JIT.
Independent pada Khamis melaporkan Rusia menuduh bekas sekutunya Ukraine tidak jujur dalam siasatan dan terlibat memalsukan barang bukti.
Hasil siasatan terbaru ini berbeza dengan siasatan awal yang lain yang dijalankan oleh pengeluar peluru berpandu BUK, Almaz Antey.
Almaz Antey mendakwa peluru berpandu tersebut ditembak dari Zaroschenskoye yang dikawal oleh pasukan kerajaan Ukraine. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment