Cincin, patung sihir antara barangan hilang di KLIA
PETALING JAYA: Jika anda pernah tertinggal atau kehilangan barang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia mungkin disimpan selamat di bilik Hilang dan Jumpa (Lost and Found) di lapangan terbang tersebut.
Daripada purata kira-kira 1,700 barangan yang ditinggalkan setahun, hanya 26% yang dituntut.
Menurut laporan akhbar The Star hari ini, antara barangan yang ditinggalkan termasuk patung mainan, barang kemas, durian, basikal, ikan masin, dron dan peralatan elektrik.
“Ia hanya sebahagian daripada 819 barangan yang disimpan,” kata kakitangan di bilik Hilang dan Jumpa, Nur Afidah Zahari merujuk kepada barangan yang ditinggalkan penumpang pelupa di lapangan terbang itu.
“Pernah sekali, seorang lelaki warga Bangladesh datang mencari rakannya yang hilang,” katanya berjenaka.
Dia juga berkongsi pengalaman menemui beg plastik yang disumbat dengan anak patung sihir.
Barangan berharga yang ditemui ialah seperti MacBooks, pasport, dompet, set televisyen, topi Airways juruterbang British dan juga pakaian. Turut ditemui sepasang cincin tunang Cartier disimpan dalam kotak, jam tangan Rolex, rantai dan juga wang tunai.
Menurut Nur Afidah, bilik di tingkat 3 lapangan terbang itu menerima purata 10 panggilan sehari daripada penumpang yang panik mencari barangan hilang mereka.
Ramai yang datang menuntut barangan hilang, tetapi ada juga orang yang gagal menyediakan resit pembelian atau menjelaskan secara tepat mengenai barangan mereka.
Akhbar itu juga dipetik menghubungi Pengurus Besar Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) Mohd Arif Jaafar yang berkata prosedur operasi standard adalah menyimpan mana-mana barangan yang dibiarkan tanpa pemilik selama 20 minit di premis lapangan terbang itu.
“Kami akan imbas untuk memeriksa jika kandungan itu berbahaya, kemudian katalog dan menanda namanya.”
Barangan itu kemudian disimpan di lapangan terbang selama sebulan dan jika tiada tuntutan dibuat selepas tempoh itu, ia akan diserahkan kepada Jabatan Kastam atau Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.
Mohd Arif berkata, walaupun kelihatan membazir untuk berbuat demikian berbanding menggunakannya semula atau diberikan kepada badan amal, lapangan terbang itu tegas dengan peraturannya.
Bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan langkah kumpulan tertentu yang mencadangkan agar peraturan tersebut diubah.
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today
Post a Comment