Zahid tak kecil hati dikritik tak fasih BI, tapi sinis dengan warga M’sia yang gagal kuasai BM
KUALA LUMPUR: Viral di media sosial kerana tidak fasih berucap dalam bahasa Inggeris pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-71 di New York baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak berkecil hati dengan kritikan berkenaan.
Sebaliknya dengan sinis beliau menyindir, lebih memalukan bagi warga negara Malaysia yang sudah lama lahir dan membesar di negara ini, tetapi masih tidak fasih dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik.
Memetik laporan Bernama, Naib Presiden Umno itu berkata, “Sebagai orang Malaysia (kita) perlu faham bahawa di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.”
Zahid memberi contoh terdapat segelintir warga asing yang baru tinggal di Malaysia tetapi sudah menguasai bahasa Malaysia dengan baik.
“(Ia lebih baik) berbanding rakyat Malaysia yang 25 tahun tinggal di negara ini, tapi masih tidak fasih berbahasa Melayu,” kata Zahid lagi ketika menutup Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di Ipoh.
Selepas Zahid menyampaikan ucapan pada Perbahasan Umum PBB, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mesej yang disampaikan Zahid diterima baik oleh negara anggota PBB.
Anifah kecewa kerana segelintir rakyat lebih memilih untuk mengkritik cara penyampaian ucapan oleh Zahid berbanding memfokuskan kepada mesej yang disampaikan. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment