‘Nilai Kepimpinan UMNO Sudah Rosak’
Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan keputusannya keluar daripada Umno sebagai tepat.
Katanya, keadaan semasa dalam Umno yang didakwa kini dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi mengukuhkan lagi keputusannya keluar parti,
“Alhamdulillah respons amat positif (keputusan keluar Umno). Keadaan semasa dalam Umno memperkukuhkan keyakinan saya bahawa memang benarlah saya meninggalkan sebuah parti yang sudah rosak nilai kepimpinannya.
“Lihatlah reaksi awal mereka, di benak pemikiran mereka hanya soal ganjaran dan habuan peribadi. Isu pokoknya adalah OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan rasuah, tapi mereka tidak bincangkan soal itu. Jadi, tidak hairanlah Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tinggalkan Umno,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut keputusannya keluar Umno.
Dalam pada itu, beliau belum memikirkan lagi hala tuju politiknya selepas ini dan sebarang keputusan susulan bergantung kepada reaksi sahabat dan keluarga
Ketika ditanya sejauh mana kebenaran ada usaha beberapa pemimpin membawanya masuk semula ke dalam PKR, Mohamad Ezam tidak mengulas.
Pada perkembangan sama, Mohamad Ezam memberitahu, tindakan menggunakan OSA untuk menghalang akses publik terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menambah lagi kemarahan dan kecewanya kepada kerajaan.
“Saya memang menunggu laporan penuh PAC untuk perhalusi kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Ini kes besar, kita harus dan berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Kedua, kedua kerana saya pernah didakwa, dibicara dan dipenjarakan di bawah OSA, sehingga hari ini saya satu-satunya rakyat yang pernah dibicara di bawah akta itu, tentunya saya merasa bertanggungjawab untuk pastikan OSA tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi perasuah sepertimana dalam kes saya,” katanya.
Justeru, beliau membuat teguran terbuka bagi mendesak tindakan salah itu diperbetulkan, namun tidak diendahkan.
“Kita perlu faham betapa besarnya impak salah guna OSA dalam kes 1MDB yang menjadi perhatian dunia. Apabila kita guna OSA untuk tutup laporan PAC, ia memberi signal paling buruk dalam prinsip transparensi urus tadbir.
“Kita mesti perbetulkan persepsi ini dan bangkit mendesak kerajaan perbetulkan tindakan salah itu,” katanya.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2doHUFx
Post a Comment