Kerja keras Atmosfera bermula
Sejak lagu Berakhirlah Sudah popular, jadual seni kumpulan duo adik-beradik, Atmosfera semakin padat.
Tiada lagi istilah bersenang-lenang buat mereka kerana apa yang penting sekarang ialah untuk terus meraih perhatian ramai.
Disebabkan itu, Hezron, 25, dan Hazrenol Rayner, 23, tidak kisah untuk berulang-alik dari Keningau, Sabah ke Kuala Lumpur.
Sejak bernaung di bawah label Rusa Music, aktiviti promosi mereka tidak pernah berhenti.
Bagaimanapun, siapa tahu gejolak hati dua beradik ini yang terpaksa meninggalkan keluarga di kampung demi mengejar cita-cita dalam bidang muzik.
Bagaimanapun, bagi mereka situasi itu tidaklah menyukarkan.
“Itulah cabaran yang perlu ditempuh sekarang. Lagipun, ini semua untuk kelangsungan karier seni kami dalam arus muzik perdana dan peluang yang terbentang tidak harus dilepaskan.
“Kami pun sudah terfikir untuk membawa keluarga menetap ke sini jika sudah stabil nanti. Kami sedia untuk memberikan sepenuh fokus kepada kerjaya seni di Kuala Lumpur,” kata Hezron.
Mereka bersyukur apabila lagu Berakhirlah Sudah diminati ramai termasuk ditonton lebih tiga juta pelayar Internet sejak dimuat naik di YouTube kira-kira lima bulan lalu.
Jadi, mereka perlu menggandakan usaha apatah lagi peluang itu sudah ditunggu lama sejak Atmosfera ditubuhkan pada 2012.
“Dapat memasuki arus muzik perdana membawa makna yang sangat besar buat kami. Ia satu petanda perjuangan muzik kami selama ini tidak sia-sia dan berbaloi.
“Permulaan kerjaya kami pun bukannya terus indah. Kami perlu menapak perlahan-lahan tapi pada masa sama mencari pelbagai ruang untuk mempromosikan muzik kami walaupun banyak yang berakhir dengan kekecewaan.
“Pada 2014, kami pernah menghantar lagu ke stesen radio di Kuala Lumpur. Lama menunggu, tiada maklum balas langsung daripada mereka dan kami reda sajalah. Tidak rugi pun kalau mencuba, kan?” katanya.
Tugas makin berat
Jika sebelum ini Atmosfera hanya menghasilkan lagu secara suka-suka, namun kini mereka sedar perlu lebih serius.
Lagu Berakhirlah Sudah menjadi penanda aras kepada karya mereka selepas ini.
Bercerita mengenai perancangan terbaru, duo itu ada strategi sendiri bagaimana untuk terus menjaga momentum karier mereka.
“Lagu sememangnya sangat memainkan peranan penting buat penyanyi. Walaupun single pertama Demi Si Kici tidak kurang sambutannya, ternyata ramai lebih terkesan dengan lagu Berakhirlah Sudah yang berentak balada.
“Kami sebenarnya bukan penyanyi balada tetapi lebih ke arah muzik pop rock. Bagaimanapun, pasaran sekarang jelas lebih berpihak kepada lagu balada dan ramai pendengar muda sukakan muzik sebegitu.
“Jadi, kami sendiri mahu terus menghasilkan karya sebegitu. Hakikatnya, kami sudah ada enam lagu dalam simpanan.
“Kami akan perhatikan bagaimana corak pasaran pula selepas ini. Barulah kami pilih single mana yang paling sesuai untuk diketengahkan pula sebagai single ketiga nanti,” kata mereka.
The post Kerja keras Atmosfera bermula appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2onKUJL✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment