Solekan khas bantu Hollywood
Solekan memainkan peranan penting dalam menghidupkan watak dalam sesebuah filem dan pencapaian itu memerlukan pakar berpengalaman.
Antara jurusolek hebat yang pernah memberi hasil kerja hebat dalam industri perfileman Hollywood adalah Rick Baker yang memenangi tujuh trofi Oscars, Greg Cannom dan Ve Neill.
Berikut 10 filem terkenal Hollywood yang memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk untuk kategori solekan dan dandanan rambut.
Suicide Squad (2016)
Watak paling mencabar untuk dihasilkan jurusolek dan dandanan rambut, Alessandro Bertolazzi adalah Joker kerana mahu mencipta wajah lebih unik.
Bertolazzi dibantu Giorgio Gregorini untuk dandan rambut dan juga Marta Roggero untuk menyiapkan semua pelakon dalam tempoh tiga jam.
Walaupun menghasilkan setiap watak bukan serumit filem lain, Harley Quinn dan Joker memakai rambut palsu serta solekan.
Bertolazzi dan pasukannya memenangi trofi Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik Academy Awards Ke-89.
Mad Max: Fury Road (2015)
Bagi watak Furiosa, aktres jelita Charlize Theron tampil botak manakala mata dan dahinya ditutup solekan hitam yang dicampurkan bahan khas.
Selain aksesori, kumpulan pejuang lelaki turut diberikan kesan parut serta solekan kontour dan tatu palsu.
Jusursolek Lesley Vanderwalt turut menghidupkan watak People Eater dengan kaki palsu dan penutup hidung besi.
Star Trek (2009)
Bagi filem fiksyen sains ini, sejumlah besar bahan silikon diperlukan jurusolek Barney Burman, Mindy Hall dan Joel Harlow untuk menghasilkan setiap karakter yang mempunyai ciri unik tersendiri.
Disebabkan sebahagian besar watak adalah makhluk asing, kulit pelakon perlu dinampakkan berbeza daripada manusia dengan menggunakan konsep pencorakan.
Jurusolek dikehendaki melakukan pelbagai ujian selain memilih pelakon sesuai untuk karakter.
Ada watak dikehendaki memakai sehingga lapan lapisan silikon dan anggota badan palsu diikuti solekan serta cat.
Tempoh paling singkat untuk melengkapkan setiap watak unik adalah dua jam dan paling lama karakter Natalia yang terpaksa duduk di kerusi untuk solekan tujuh jam!
The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring (2001)
Menerima 13 pencalonan dalam Academy Awards Ke-74, siri filem fantasi yang mengetengahkan makhluk mistik ini dihasilkan menggunakan kesan khas membabitkan platform digital dan solekan.
Untuk filem ini saja, sebanyak 48,000 ‘material’ dihasilkan untuk penggambaran yang antaranya merangkumi 68 model mini, 2,000 senjata api, 1,000 sut perisai, 10,000 anggota muka palsu dan 1,800 kaki Hobbit untuk lima pelakon Hobbit terbabit.
Sekuel The Lord of the Rings: The Return of the King pada 2003 turut memenangi kategori sama untuk Oscars ke-76.
The Grinch Who Stole Christmas (2000)
Selepas berlakon dalam The Mask, pelakon Jim Carey sekali lagi membintangi filem The Grinch Who Stole Christmas yang memerlukan dia memakai solekan kesan khas.
Bagi wataknya sebagai makhluk hijau Grinch, Carrey terpaksa melalui lima bulan penyeksaan memakai sut lycra spandex yang dijahit dengan bulu Yak.
Rick Baker mengambil tempoh empat bulan untuk menyiapkan sut itu.
Bagi menghasilkan wajah Grinch pula, Carrey dikehendaki menggunakan solekan tebal yang bercampur dengan getah serta memakai kanta sentuh mata bersaiz besar.
X-Men (2000)
Dalam filem ini, solekan mutan berwarna biru, Mystique lakonan Rebecca Romijn dikatakan paling sukar dihasilkan.
Watak itu memerlukan empat jurusolek dan Romijn perlu melalui proses solekan selama sembilan jam untuk berubah menjadi Mystique.
Badan model Victoria’s Secret itu disaluti cat biru dan ratusan prostetik silikon kecil.
Menurut Romijn, proses solekan yang dilaluinya dalam sekuel X-2 dipendekkan kepada enam jam.
Terminator 2: Judgement Day (1991)
Selain bergantung kepada CGI untuk menghasilkan Terminator, kejayaan filem ini turut bergantung pada kesan khas solekan untuk menghidupkan watak robot pemusnah itu dan beberapa babak mencemaskan.
Menurut jurusolek Jeff Dawn, proses mengubah Arnold Schwarzenegger menjadi Terminator T-800 memerlukan lima jam untuk selesai dan sejam membersihkan solekan itu.
Dalam sekuel ini, robot T-800 mengalami kemushanan teruk yang menghancurkan separuh wajahnya sehingga menampakkan tulang besi dan bola mata serta kesan tembakan pada leher dan kepala.
Hasil kerja Dawn dan Stan Winston melayakkan filem ini memenangi kategori Solekan Terbaik Academy Awards Ke-64.
Beetlejuice (1988)
Filem arahan Tim Burton ini memenangi beberapa anugerah berprestij termasuk Oscars Ke-61 bagi kategori solekan terbaik atas hasil kerja sempurna jurusolek Ve Neil dan Steve La Porte.
Dua jurusolek ini menggunakan sarung getah untuk menampakkan kepada Michael Keaton botak dan meletakkan dua ‘foam’ kecil pada hidung pelakon itu.
Wajah hantu bernama Betelgeuse itu disempurnakan dengan ‘foundation’ serta beberapa ‘shading’ warna seperti perang, kelabu dan hijau.
Proses solekan itu bukan mudah dan Keaton turut dikehendaki memakai pendakap gigi khas dan kuku palsu akrilik.
An American Werewolf in London (1981)
Perubahan sempurna David Naughton menjadi serigala jadian dan wajah seram Griffin Dunne melayakkan Rick Baker menerima trofi pertama Oscars 1982 bagi kategori Solekan dan Dandanan Terbaik.
Bagi babak perubahan saja, Naughton terpaksa melalui proses solekan selama enam hingga 10 jam sepanjang penggambaran untuk memakai anggota badan palsu.
Rupa menakutkan Jack Goodman akibat dirobek serigala sehingga mati dikatakan membuat Dunne tertekan ketika kali pertama melihat wajahnya di cermin.
Exorcist (1973)
Babak seram mengetengahkan kanak-kanak berusia 12 tahun, lakonan Linda Blair dirasuk syaitan dijayakan dengan menggunakan kesan khas rekaan jurusolek hebat Dick Smith.
Bukan saja mengubah wajah pelakon menjadi hantu, Smith turut menemui cara menampakkan kesan gigitan pada perut Blair bengkak dan membuat kepala aktres itu berpusing 360 darjah menggunakan patung mekanikal ciptaan sendiri.
Bagi babak Blair muntah cecair hijau, jurusolek itu menggunakan sup kacang kuda yang dicampurkan bijirin dan dipancut melalui tiub yang dilekatkan pada pipi pelakon terbabit.
Malah hasil solekan luar biasa Smith turut membuatkan penonton menyangka Max Von Sydow berusia 74 tahun, namun sebenarnya pelakon terbabit pada ketika itu 44 tahun.
The post Solekan khas bantu Hollywood appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2oXoii3✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment