Raja Ema dikenali atas usaha sendiri
RAJA Ema Raja Ibrahim bukanlah satu nama yang asing dalam industri seni tanah air, terutama pada era 1980-an di mana popularitinya sebaris artis-artis terkenal ketika itu.
Biarpun dia kini lebih aktif dan dikenali dalam bidang lakonan setelah lama berehat dari dunia seni, mungkin ada yang terlupa, anak pelawak Yusni Jaafar ini sebenarnya bermula sebagai penyanyi.
Raja Ema yang terkenal dengan perwatakan manja cukup popular dengan lagu-lagu seperti Jejaka Idaman, Di Pertemuan Ini, Angan-Angan, Mentari Korea, Kebebasan dan lain-lain sehinggakan wajahnya kerap menghiasi muka depan majalah hiburan utama ketika itu.
“Dulu saya hanya menyanyi secara suka-suka sahaja kerana minat, apatah lagi ketika itu saya bekerja sebagai kerani di Studio Booty Boys milik sepupu saya sebelum didatangi wakil syarikat rakaman EMI yang memberi tawaran untuk buat album.
“Masa itu, umur saya baru 15 tahun dan agak teruja dengan tawaran yang diberikan kerana tidak sangka ada orang nampak bakat yang saya sendiri tidak sedar,” katanya jujur.
Album pertama penyanyi bersuara manja ini, Raja Ema, Volume 1 dirakamkan sekitar 1985 dan mendapat sambutan luar biasa dengan jualan mencecah 100,000 unit apabila lagu Jejaka Idaman menjadi siulan ramai.
“Jejaka Idaman sangat bermakna buat saya kerana lagu itulah menaikkan nama saya di persada dunia hiburan apabila ia kerap menjadi pilihan stesen radio dan TV untuk diputarkan ketika itu.
“Lebih manis juga, album pertama itu memuatkan lagu Di Pertemuan Ini, di mana menerusi lagu itu saya diberi peluang merakamkan video klip dan sekali gus menjadi artis pertama Malaysia mempunyai video klip untuk lagu pada ketika itu,” imbasnya yang juga artis pertama muncul dalam rancangan hiburan Muzik Muzik (1986).
Selepas album pertama mendapat sambutan, ia disusuli album Raja Ema Volume 2 (1986), Titik Bermula (1986) dan Tidakkah Aku Menyintaimu (1989).
Seiring populariti yang mendampinginya, Raja Ema mendapat peluang melebarkan bakat dalam bidang lakonan apabila ditawarkan membintangi filem Sayang yang menjadi percubaan pertamanya.
Antara filem lakonannya yang lain Mawar Merah (1987), Antara Dua Hati (1989), Sejati (1990), Boss (1991) dan lain-lain.
“Ketika itu, saya sekadar mahu cuba pengalaman baru kerana kebanyakan artis lain juga berbuat demikian misalnya penyanyi mahu cuba bidang lakonan dan pelakon pula cuba untuk menyanyi.
“Menerusi filem Sayang, saya digandingkan dengan Amy Search dan jujurnya saya seronok belajar benda baru ketika mula menceburi bidang lakonan.
“Biarpun sudah mula berlakon, namun saya tidak meninggalkan nyanyian kerana saya fikir tidak salah pun kalau memberi tumpuan kepada kedua-duanya asalkan kita dapat menguruskannya dengan sebaiknya,” ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Harapan dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 dan ke-8.
Kenangan Manis
Sesuatu yang menarik juga, Raja Ema menjadi antara pelakon yang paling kerap terlibat dalam filem usaha sama Malaysia dan Indonesia yang cukup popular ketika itu.
“Memang saya banyak berlakon dalam filem usaha sama Malaysia-Indonesia ketika itu, malah pernah membintangi filem Indonesia sepenuhnya, Kipas Kipas Cari Angin (1989).
“Ia merupakan suatu pengamalan yang berharga buat saya kerana peluang seperti itu bukan diperoleh semua orang,” katanya yang merupakan pelakon utama filem usaha sama Malaysia-Indonesia Cinta Berdarah, Omong Besar dan lain-lain.
Berkongsi tentang cabaran utama yang dilalui sebagai artis ketika itu, kata Raja Ema, dia sentiasa cuba untuk memastikan dirinya memberikan yang terbaik dalam kerjaya.
“Ketika itu memang ramai artis hebat-hebat baik dalam bidang nyanyian mahupun lakonan, namun masing-masing mempunyai identiti dan kelebihan mereka yang tersendiri.
“Persaingan semestinya ada, namun ia berlaku dengan cara yang sihat kerana masing-masing mempunyai tempat dalam industri menerusi kelebihan sendiri.
“Apa yang boleh saya katakan, ketika itu industri kita meriah dengan kepelbagaian bakat dan identiti tersendiri yang dimiliki oleh artis membuatkan mereka mudah dilihat peminat,” katanya.
Sepanjang bergelar anak seni, Raja Ema mengakui menyimpan banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.
“Selain berlakon sebagai watak utama dalam filem Indonesia, pengalaman yang paling berharga buat saya adalah peluang membuat persembahan di Korea Selatan sempena perasmian Sukan Olimpik pertama di Asia (1988).
“Saya menyanyikan lagu Mentari Korea yang dipetik dari album ketiga, Titik Bermula dan ia merupakan satu pengalaman berharga yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,” imbasnya.
Selepas mendirikan rumah tangga sekitar tahun 1993, Raja Ema membuat keputusan untuk berehat daripada dunia seni untuk memberikan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.
Namun kembali membuat kemunculan semula beberapa tahun lalu dan kini aktif berlakon pelbagai drama popular. Antaranya Bukan Untuk Aku, Keluarga Karaoke, Meh Sandar Pada Aku dan lain-lain.
The post Raja Ema dikenali atas usaha sendiri appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2nRt01X✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment