Meneliti Adabadab Puasa
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam ruang ini, marilah kita memerhatikan beberapa adab-adab berpuasa , semuga kita menjalani ibadah puasa dengan betul sebagaimana generasi awal dahulu berpuasa. Semuga kita melihat dan memahami ibadah puasa ini sebagai satu institusi pendidikan dan latihan.
1. Makan sahur.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkah” (Hadis Riwayat Bukhari)
Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit bahawa kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat subuh lalu beliau bertanya, “Berapa saat jarak antara kedua (waktu sahur dan waktu subuh)?” Nabi bersabda maksudnya, “Selama orang membaca 50 ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Amru bin Maimun bahawa para sahabat Muhammad SAW adalah orang yang menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur. (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
2. Menyegerakan berbuka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Selalulah manusia dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW apabila selesai berbuka baginda berdoa. “Telah pergi rasa haus dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap ada insya Allah.”
(Hadis Riwayat ad-Daaruqthni dan Abu Daud)
3. Berdoa ketika berpuasa dan waktu berbuka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada waktu berbuka, tersedia doa yang makbul.”
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, Imam (ketua) yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara yang bertentangan dengan puasa.
Puasa adalah ibadah yang utama untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendidik jiwa dan melatihnya berbuat kebaikan.
Sesungguhnya puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah SWT, disamping mengikhlaskan niat kerana Allah SWT semata-mata.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah puasa itu dari makan dan minum, tetapi puasa itu adalah dari perbuatan yang sia-sia dan dari perbuatan keji.”
Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud, “Berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar dan dahaga sahaja; dan berapa banyak orang yang bangun bersolat, tetapi yang diterimanya tiada lebih dari letih dan penat sahaja.”
5. Menggosok gigi (bersugi)
Disunatkan menurut riwayat bahawa Rasulullah SAW biasa bersugi ketika berpuasa.
6. Lebih bersifat dermawan. (banyak bersedekah dan menolong orang lain) dan membaca al-Quran.
Kedua perkara ini adalah disunatkan pada setiap ketika, dan lebih utama dalam bulan Ramadan, dimana ganjaran pahalanya digandakan oleh Allah SWT.
Diriwayatkan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah orang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadan. Jibril menemui Nabi SAW setiap malam pada bulan Ramadan untuk mentadaruskan al-Quran kepada baginda dan benar-benar Rasulullah lebih dermawan dan cepat melakukan kebajikan (lebih cepat daripada angin yang dikirim)
(Hadis Riwayat Bukhari)
7. Menghidupkan malam dengan solat Tarawih secara berjemaah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala dari Allah maka diampuni dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Jama’ah)
8. Giat beribadat pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan.
Saidatina Aisyah r.h meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bila telah masuk puluhan terakhir dari bulan Ramadan, diramaikan waktu malam, dibangunkan keluarganya dan diikat eratkan kain sarungnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Baginda amat giat (beribadat) pada puluhan terakhir, melebihi kegiatannya pada saat-saat lainnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Diriwayatkan dari Aisyah r.h bahawa saya berkata kepada Rasulullah SAW, ” Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan bila saya mengetahui Lailatul qadar, apa yang harus saya baca pada malam itu?’ Baginda bersabda, “Bacalah, ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampun, Engkau suka kepada keampunan maka ampunilah daku”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
9. Menjauhi perkara keji dan pertengkaran.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahala dengannya. Dan sesungguhnya puasa itu adalah benteng pertahanan, pada hari ketika kamu berpuasa janganlah berbuat keji, jangan berteriak-teriak (pertengkaran), apabila seorang memakinya sedang ia berpuasa maka hendaklah ia katakan : ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa.’Demi jiwa Muhammad yang ada di tangan-Nya sungguh bau busuk mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah pada hari kiamat daripada kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, apabila ia berbuka ia bergembira dengan bukanya dan apabila ia berjumpa dengan Rabbnya ia gembira kerana puasanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sumber:http://ift.tt/2qvQGoY
Sumber: islamituindah.info
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2r7Z55t
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment