Sampai Bila Nak Hidup Susah
Salam IIUM. Tujuan aku menulis di sini adalah untuk memberi semangat kepada confessor Rendah Diri. Sesungguhnya aku pernah berada di tempat beliau. Betul, rasa hinanya diri bila tidak berduit. Terfikir setiap malam kenapa tidak dilahirkan dalam keluarga lain yang mewah harta benda. Dari kecil sekolah rendah lagi aku sudah berfikiran sebegini. Sungguh, aku malu berbaju sekolah lusuh dan kasut koyak ke sekolah.
Hidup aku lebih kurang macam confessor. Bezanya ayah tidak bekerja dan ibu terpaksa menyara kami tujuh beranak dengan gaji kecil seorang kerani. Jujur aku kagum dengan ibu dan benci dengan ayah yang makan hasil kudrat seorang isteri. Tapi itu biar kusimpan dalam hati sahaja. Ingin aku fokus ceritakan pengalaman aku sebagai anak orang miskin, tinggal di rumah kayu atap zink setinggan yang tak punya bekalan air bersih pun. Kalau hujan terpaksa tadah air pakai baldi. Kalau ada jamuan atau open house saudara mara, kami tidak dijemput kerana kata mereka kami ni menyusahkan. Mak anak ramai berderet, kecil-kecil lagi pula tu. Habis sepah rumah nanti katanya. Ya. Aku ingat kata-kata ini sampai sekarang biarpun mungkin mereka sendiri sudah lupa. Benar, kami orang susah. Hanya ada motor cabuk. Balik raya pun naik bas ekspress 6 beradik.
Aku mula bekerja dari tingkatan tiga, selepas habis PMR. Merayu dengan tokey cina sebab tiada siapa mahu ambil budak sekolah bekerja. Akhirnya beliau ambil aku bekerja walaupun berat hati pada mulanya. Sebulan gaji aku hanya RM400, kerja 12 jam sehari. Lepas cuti sekolah habis, aku masih berkerja. Balik sekolah masuk kerja petang, dan malam tokey hantar aku balik rumah. (Terima kasih apek :)) Dengan duit gaji ni lah aku tolong ibu beli baju sekolah aku dan adik-adik. Seronok sungguh dapat pegang duit sendiri waktu ni. Merasalah adik-adik bag sekolah baru dan baju dua pasang seorang.
Bermula dari situ aku dah tiada rasa malu. Semua kawan-kawan sekolah tahu aku bekerja lepas habis sekolah. Sehinggalah ke zaman universiti, aku sentiasa bekerja part time bila ada cuti. Cakap je kerja apa, semua aku dah rasa. Kerja kedai mamak, pam minyak, cleaner dan sebagainya. Dan aku bercerita pada semua dengan bangga yang aku cari duit sendiri, bukan mengharap ibu bapa. Confessor, jangan rendah diri. Positifkan diri anda. Bila kita positif, orang sekeliling pun akan rasa aura positif tu.
Sebab aku miskin, aku belajar rajin-rajin. Target aku untuk dapat biasiswa. Dan aku dapat alhamdulillah. Aku pendekkan cerita, sekarang umur aku 27 tahun, punya anak seorang. Bekerja makan gaji RM7 ribu sebulan dan sudah beli 3 buah rumah. Tidaklah kaya cuma tidak sesusah dahulu. Confessor, bertabahlah dan bertindaklah untuk ubah nasib kita. Tak salah rendah diri cuma jangan jadikan ia sebagai penghalang. Tanya diri kita sampai bila nak hidup susah?
Mrs A
Sumber & Kredit: iiumc
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sX3aJ3
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment