ASWAJA Kesal Dengan Keputusan Mahkamah Rayuan Membenarkan Anak Luar Nikah ‘Di Bin’kan Kepada Bapa Penzina..
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak luar nikah ‘di bin’kan kepada bapa penzina.
Presidennya, Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata, keputusan itu mencemarkan imej negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
“Keputusan berkenaan merupakan pandangan syadz (ganjil) dalam agama dan ia jelas bertentangan dengan al-Quran, Hadis dan Ijmak ulama. Kesan daripada keputusan ini menyebabkan anak tak sah taraf dinasabkan sebagai anak yang sah.
“Keputusan Mahkamah Rayuan jelas sekali merosakkan nasab seseorang dan ia akan menjejaskan reputasi ‘kewalian’ nikah kahwin bagi anak perempuan, merosakkan keturunan, hak pewarisan harta pusaka selain menggalakkan amalan zina semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamihan berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu dibuat secara simplistik dan tanpa penelitian menyeluruh dengan memilih untuk mentafsirkan istilah “nama keluarga” atau “surname” dalam seksyen 13A(2) sebagai bersamaan dengan konsep ‘bin’ dan ‘binti’ dalam kalangan orang-orang Islam.
Kata beliau, ‘Tafsiran mudah’ itu membolehkan hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seseorang anak tak sah taraf boleh dibin atau dibintikan dengan nama ayahnya kerana seksyen 13A membenarkan seseorang anak tak sah taraf memakai “nama keluarga” ayahnya jika ayahnya bersetuju.”
Jelas beliau, sepatutnya penelitian yang lebih rapi perlu dilakukan kerana konsep nama keluarga atau “surname” tidak semestinya sama dengan bin dan binti terhadap nama seseorang bapa dalam Islam.
Tambah beliau, isu itu juga akan menyebabkan kecelaruan dalam isu perwalian nikah dan pewarisan atau pembahagian harta orang Islam.
“Isu pokok hukum Islam adalah lebih utama dari menutup aib kanak-kanak kerana mudarat yang lebih besar akan timbul kelak apabila anak itu dewasa. Penghujahan berdasarkan isu psikologi atau keaiban anak luar nikah dilihat terlalu simplistik dan dangkal,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu jelas tidak melambangkan Malaysia sebuah negara Islam, malah menghina serta memalukan umat Islam.
“Maka usaha Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pencelahan dari Majlis Agama Islam, badan bukan kerajaan (NGO) wajib disokong bagi membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan sebeberapa segera demi survival umat ini,” katanya.
Mynewshub baru-baru ini melaporkan bayi pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah sama ada akibat zina atau rogol kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan kepada nama bapanya sendiri.
Panel hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mencapai keputusan penting tersebut ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun dan ibu bapanya.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.
Media tempatan melaporkan bahawa ibu dan bapa kepada kanak-kanak tersebut masing-masing bertindak sebagai perayu kedua dan perayu ketiga, serya kedua-duanya beragama Islam telah bernikah pada 24 Oktober 2009.
Keputusan terbaharu oleh panel hakim Mahkamah Rayuan itu dilihat bertentangan dengan pandangan dikeluarkan pihak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
Selain Aswaja, ramai tokoh agama Islam yang lain dan NGO berkaitan Islam di negara ini turut membantah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan itu disokong oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Kata Mohd. Asri, keputusan mahkamah rayuan itu dapat menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘islam agama hukuman’.
“Islam merupakan rahmat untuk sekalian alam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
VIDEO:
✍ Sumber Pautan : ☕ PenmerahPress
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2waw3lk
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment