Muahciked: Rumah bahagia rakyat ceria
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Masih lagi sibuk melakukan aktiviti kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri ini?
Adik doakan anda semua sihat dan selamat dalam perjalanan pergi beraya dan balik ke rumah.
Dalam coretan minggu ini, adik berasa terkesan untuk berkongsi pandangan mengenai kejadian tidak bermoral seperti kes buli.
Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan kejadian kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan akademi badan beruniform.
Mengapakah sekarang banyak kes buli berlaku sehingga paling menyayat hati apabila ada yang meragut nyawa?
Adik terpanggil untuk berkongsi masalah ini selepas negara kita digemparkan dengan berita kematian seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera kejam hingga meninggal dunia.
Allahyarham Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu kerana dipercayai didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik seorang rakan pada 22 Mei lalu.
Arwah dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki akibat ditekap dengan seterika wap. Pilu hati membaca berita dilaporkan.
Hanya disebabkan kesalahan yang belum pasti kebenarannya, nyawa orang melayang begitu saja. Macam sudah tiada ‘harga’ nyawa dalam zaman sekarang ini.
Luluh hati adik apabila membaca laporan berita kecederaan yang dialami arwah Zulfarhan. Bayangkan bagaimana keadaannya yang terpaksa tempuhi seorang diri ketika itu apabila diseksa sebegitu kejam.
Selepas dibuli, arwah dibelasah teruk pula. Bahkan tidak dibawa ke hospital walaupun sudah cedera teruk dan akhirnya meninggal dunia. Sungguh tidak berperikemanusiaan.
Dalam hal ini, adik menyeru supaya semua pihak berganding bahu dalam membanteras isu buli kerana ia boleh berlaku di mana-mana saja.
Sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja, rumah dan sebagainya. Sudah tiba masanya untuk mengenakan penalti yang sangat berat kepada pembuli.
Sampai bila hendak beri muka kepada pembuli? Bukan apa, adik nampak dalam masa sebulan dua ini gejala buli makin berleluasa.
Mahukah kita melihat negara Malaysia dicemari dengan kes buli? Bukankah kita terkenal dengan negara yang maju, aman damai dan sejahtera? Di mana nilai kemanusiaan kita?
Sebenarnya golongan yang paling penting untuk mengatasi masalah ini adalah ibu bapa kerana didikan awal bermula di rumah yang menjadi asas utama pembentukan anak.
Adik harap ibu bapa sentiasa pantau anak dan pastikan mereka tidak terdedah kepada pengaruh rakan kerana dibimbangi turut terjebak sama. Selain itu, adik memandang isu ini terjadi dalam beberapa faktor.
Pernah dengar pepatah melentur buluh biar dari rebung? Anak akan buat perkara yang sama daripada apa yang mereka lihat, dengar dan alami. Semuanya bermula dari rumah.
Anak-anak yang membuli orang berkemungkinan besar mereka pernah dibuli ketika berada di rumah. Kes buli oleh ibu bapa biasanya berlaku secara tidak disedari. Sebagai contoh, kes buli secara emosi apabila ibu bapa tidak memuji dan tidak menghargai.
Lebih hebat lagi apabila ada ibu bapa yang membanding-bandingkan antara adik-beradik atau dengan anak orang lain. Kalau anak berbuat baik tidak puji tetapi kalau anak buat salah, pasti dimarah dengan teruk, dipukul dan dihukum sehingga lebam.
Kesudahannya, perkara itu akan menyebabkan anak menjadi malu dan berasa diri mereka diaibkan ibu bapa sendiri.
Hal ini akan menyebabkan anak berasa dirinya tidak dihargai, sekali gus menjadikan dia orang yang kuat memberontak, berdendam dan suka bertindak ganas.
Pada pendapat adik, orang yang membuli ini dalam kategori orang yang terganggu dari segi emosi, kurang kasih sayang, kurang didikan agama dan tiada nilai sivik dalam diri. Mereka juga mungkin senang dipengaruh rakan sebaya, drama dan banyak lagi faktor.
Adik menyeru supaya semua pihak memainkan peranan dalam menangani kes buli yang makin berleluasa ini.
Manusia diciptakan bukan sebagai boneka yang boleh dihenyak atau didera sesuka hati, tetapi manusia adalah anugerah kurniaan Ilahi untuk kita saling kasih mengasihi.
Sayangilah setiap individu yang berada di sekeliling kita. Carilah jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi setiap masalah yang berlaku.
Tidak perlu menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan keganasan. Adik harap semoga masalah ini segera diatasi. Ayuh, sama-sama kita tangani masalah ini.
#PembuliTakCool.
The post Muahciked: Rumah bahagia rakyat ceria appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2svij7i
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment