Missionari Evangelis Berselindung di Sebalik DAP – Dr Kamarul
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) perlu mengkaji semula pengesahan pendaftaran DAP kerana telah melakukan aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan perlembagaan parti itu sendiri.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata DAP berdaftar sebagai sebuah parti politik, namun aktiviti-aktiviti parti itu seumpama sebuah pertubuhan Evangelis.
“Pada pendapat saya ini adalah satu trend yang sangat merbahaya yang boleh mengganggugugatkan keharmonian negara.
“Maksudnya DAP memang mempunyai cita-cita untuk menguasai negara dan menggunakan politik untuk mengembangkan agama Kristian.
“Oleh itu, satu kajian semula perlu dilakukan terhadap pendaftaran DAP kerana parti itu telah menjalankan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan perlembagaan mereka sendiri dan bertentangan dengan akta pertubuhan (ROS)”.
Ikutilah wawancara AIDC dengan Dr Kamarul selengkapnya.
Dr. mula terkenal apabila mendedahkan buku Hannah Yeoh bertajuk ‘Becoming Hannah’, boleh ceritakan sedikit berkenaan isu ini?
Pada peringkat awalnya, saya tidaklah terlalu membangkitkan buku Hannah Yeoh itu, saya hanya gunakan ia sebagai satu contoh hipokrasi DAP kerana DAP melaungkan bahawa mereka berpegang kepada konsep sekularisme, sedangkan aktiviti-aktiviti yang didedahkan oleh Hannah Yeoh menyatakan beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk menyebarkan agama Kristian, ataupun menggunakan golongan agama Kristian untuk kepentingan politik beliau.
Maksudnya kemenangan beliau dalam PRU 2008 adalah dibantu oleh golongan gereja. Saya bangkitkan juga petikan-petikan di dalam buku tersebut yang menyebut impian beliau adalah untuk melihat supaya negara ditadbirkan mengikut acuan Kristian.
Jadi, apabila benda-benda begini saya bangkitkan, sekadar dalam Facebook saya sahaja, namun di-‘viral’-kan oleh banyak pihak, keluar di dalam portal berita, Harakah Daily, malah dikeluarkan juga dalam Utusan Malaysia, secara tiba-tiba, Hannah Yeoh membuat laporan polis terhadap diri saya mendakwa tulisan saya itu menggugat keselamatan diri beliau dan keselamatan diri ahli-ahli DAP yang lain.
Jadi, saya pun mempersoalkanlah tindakan beliau itu. Saya kata kalau tidak betul benda ini, berhujah sahajalah, kenapa perlu buat laporan polis.
Ini menunjukkan bahawa apa yang saya nyatakan adalah betul, dan memang saya ikut satu per satu, petikan muka surat dalam buku itu. Sehingga sekarang beliau tidak menafikan, tidak berani menghujahkan dengan apa yang saya sebutkan itu adalah tidak benar.
Selepas memikirkan kepentingan agama kita, jadi saya juga membuat laporan polis balas terhadap beliau kerana pada saya kandungan buku beliau itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara.
Malah, enakmen pentadbiran agama Islam di peringkat negeri-negeri menghalang mana-mana pihak bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka kepada penganut Islam. Atas asas itu maka saya membuat laporan polis kerana buku ini bahaya.
Beliau bercerita hebatnya tuhan Kristian, pada pandangan saya bagi mereka yang tak kuat agama Islam dan pegangan agama, mereka boleh tergugat.
Soal sama ada mereka benar-benar masuk Kristian atau tidak, itu adalah satu perkara lain. Dalam enakmen larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam ini disebutkan bahawa sama ada orang yang disebarkan itu terima atau tidak terima ajaran Kristian itu tidak menjadi masalah, janji ada penyebaran, itu sudah menjadi satu kesalahan.
Buku ini boleh didapati secara terbuka dan dijual secara terbuka.
Maksud Dr. buku Hannah Yeoh di atas kapasiti ADUN Subang Jaya dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor boleh mempengaruhi masyarakat ?
Ya betul. Memang ada bukti-bukti bahawa beliau menggunakan jawatan sebagai speaker dewan undangan negeri Selangor untuk berceramah di gereja-gereja termasuk di luar negara sekalipun.
“Hannah Yeoh preaching at this church!”, dan khutbahnya berkaitan dengan politik, isu-isu berkait politik dan yang lebih menjadi masalah lagi ialah buku beliau ini didukung DAP.
Buku itu dilancarkan dua kali oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjadi Setiausaha Agung DAP iaitu Lim Guang Eng di Subang Jaya dan di Pulau Pinang, malah diwacanakan oleh jentera parti, wanita DAP.
Maka, bagi saya buku ini melambangkan perjuangan sebenar DAP yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Satu fenomena yang di luar jangkaan kita, di Selangor misalnya, seorang wanita telah dinobatkan speaker DUN, dan wanita itu adalah daripada DAP, seorang Evangelis ?
Ya, sebab itulah sekarang ini beliau dilihat sebagai idola kepada DAP dan ikon kepada golongan muda. Hannah Yeoh dianggap sebagai diva dan diberi peranan yang sangat meluas di dalam DAP.
Malah kalau kita lihat di dalam perhimpunan DAP baru-baru ini pun, Hannah Yeoh diberikan peranan yang besar termasuk juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa DAP Pusat.
Apabila saya menghebohkan perkara itu barulah beliau kononnya menolak perlantikan itu. Apabila perkara-perkara seperti ini kita highlight-kan dalam media sosial bahawa DAP memang mempunyai agenda Kristian, sebab itu dilantik ramai penganut Kristian Evangelist ke dalam parti itu, maka ditarik balik perlantikan itu dan diganti orang lain.
Yang digantikan itu juga bukan orang Islam. Pada saya jika DAP benar-benar serius membersihkan imejnya dilabelkan sebagai anti Islam dan anti Melayu ini, senang sahaja, lantiklah lebih ramai pemimpin Melayu. Dengan itu DAP akan dapat membaiki imej partinya itu.
Tetapi hanya seorang sahaja yang dilantik.
Masyarakat Melayu-Islam di Selangor khususnya, nampaknya tidak kisah Speaker DUN mereka diterajui oleh Evangelis ?
Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan kepentingan dan peranan besar yang dimainkan oleh seorang speaker.
Speaker DUN sama seperti Speaker Dewan Rakyat yang berperanan sangat besar di dalam menentukan sama ada sesuatu usul itu diterima ataupun ditolak.
Seperti yang berlaku di dalam DUN Selangor sebelum ini, apabila ada ADUN UMNO membangkitkan usul yang menyentuh dengan kepentingan Islam, speaker DUN akan tolak.
Perkara-perkara ini yang agak menyedihkan apabila masyarakat kita khususnya yang pro PH tidak memandang berat dan tidak menyedari.
Ini menjadi tugas kita sebagai umat Islam untuk menyedarkan masyarakat Melayu Islam kemungkinan seperti ini boleh berlaku di Malaysia.
Maksud Dr. Speaker Dewan Rakyat juga boleh dilantik dari DAP, jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya ?
Ya, itu strategi mereka untuk mengawal agenda di parlimen dan agenda di DUN.
Dalam buku Karpal Singh yang saya baca, beliau sebut beliau akan menjadi Menteri Undang-Undang jika Pakatan menang.
Bayangkan jika orang-orang yang anti-Islam seperti Karpal Singh menjadi Menteri Undang-Undang. Implikasinya habislah undang-undang akan disekularisasikan bersesuaian dengan matlamat DAP untuk mensekularkan Malaysia.
Ia berkemungkinan termasuk mengkaji semula kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Memang mereka (DAP) menyebut bahawa Perlembagaan Malaysia yang asal adalah perlembagaan sekular. Perlembagaan sekarang dikatakan perlembagaan yang sakit dan perlu dipulihkan dan perlu dikembalikan kepada yang asal.
Jadi mereka mahu sekularkan balik Malaysia. Jika orang-orang DAP menjadi Menteri Undang-Undang sudah tentulah agenda mereka adalah untuk mensekularisasikan undang-undang di Malaysia.
Berdasarkan penghujahan Dr. tadi menunjukkan DAP sebenarnya hampir sama dengan PAS. Jika PAS bawa agenda Islam, DAP pula bawa agenda Kristian. Benarkah telahan saya ini ?
Ya betul. Paling terbaru tindakan DAP melantik 7 orang Kristian sebagai ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan (CEC). Sedangkan bilangan penganut Kristian di negara ini secara rasminya tidak ramai. Tetapi dalam DAP, 70 peratus daripada pemimpin yang dilantik adalah dari kalangan penganut agama Kristian yang dikuasai oleh golongan Evangelis.
Pada pendapat saya ini adalah satu trend yang sangat merbahaya yang boleh mengganggugugatkan keharmonian negara.
Maksudnya DAP memang mempunyai cita-cita untuk menguasai negara dan menggunakan politik untuk mengembangkan agama Kristian.
Oleh itu, satu kajian semula perlu dilakukan terhadap pendaftaran DAP kerana parti itu telah menjalankan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan perlembagaan mereka sendiri dan bertentangan dengan akta pertubuhan (ROS).
Kita akan membawa perkara ini kepada ROS dalam waktu terdekat yang melibatkan 100 orang pensyarah IPT.
Bagi saya tuntutan begini perlu diambil berat oleh ROS dan pihak kerajaan kerana ia melambangkan kehendak sebahagian besar oleh golongan-golongan cendekiawan di negara ini.
Boleh jelaskan lanjut asas tuntutan cendekiawan kepada ROS tersebut ?
Asasnya adalah di dalam akta pertubuhan ada satu klausa yang menyatakan bahawa, jika mana-mana aktiviti yang dibuat oleh sesebuah parti politik itu bertentangan dengan perkara-perkara yang digariskan maka ROS hendaklah mengkaji semula pendaftaran parti tersebut.
Dua perkara spesifik yang telah dilanggar parti itu iaitu agama Islam sebagai agama Persekutuan yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan keduanya berkenaan kedudukan istimewa Bumiputera.
Di dalam perlembagaan DAP, memang kedua perkara itu tiada. Yang ketiga berkenaan pengiktirafan terhadap kedudukan raja-raja Melayu juga tiada.
Ini bukan setakat dalam perlembagaan bertulis atau perlembagaan DAP sahaja, malah dalam perbuatan pemimpin-pemimpin parti mereka juga.
Sebagai contohnya, penentangan terhadap percubaan untuk melaksanakan syariat Islam seperti RUU355 ataupun cubaan pemimpin untuk menghapuskan JAKIM.
Banyaklah contoh-contoh yang telah kita kumpulkan yang menunjukkan perlakuan pemimpin DAP ini melanggar perkara tersebut.
Dr. sebut tadi tentang trend Evangelis, bagi sesetengah masyarakat mungkin ia dianggap satu perkara baharu. Boleh jelaskan lanjut
Evangelisme ini adalah cubaan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama Kristian dengan cara yang sangat agresif termasuk cubaan untuk mewujudkan negara Kristian di Malaysia.
Golongan Evangelis di negara kita ini bukan sahaja melibatkan orang dalam negeri malah orang-orang luar negara.
Saya sendiri pun telah membuat laporan polis, mengenai perkara ini, kemasukan tokoh-tokoh luar negara iaitu golongan Evangelis yang masuk ke Malaysia mengadakan program-program, mendesak rakyat Malaysia penganut Kristian supaya mengambil alih negara.
Berdasarkan kajian yang saya buat, memang perancangan ke arah itu telah ada. Salah satunya menubuhkan satu ‘tower Kristian’ di Bentong.
Sebelum ini mereka tubuhkan ‘tower’ di Sarawak. Mereka kata apabila sudah mempunyai dua ‘tower’ ini akan mendatangkan keajaiban kepada penganut agama Kristian di negara Malaysia.
Mereka memang mempunyai rancangan untuk menguasai negara melalui saluran politik.
Seperti mengesahkan kenyataan daripada bekas aktivis DAP Mohamad Razali Abdul Rahman pada tahun 2011, iaitu terdapat satu majlis ‘doa’ untuk mewujudkan negara Kristian di Malaysia ?
Ya, memang menuju ke arah itu. Melalui kajian saya ada seorang pemimpin muda DAP, pernah menjadi setiausaha politik kepada Steven Sim Chee Keong yang bernama Joshua Woo Sze Zeng.
Joshua pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran di Pulau Pinang yang dahulunya telah dilatih khusus di Singapura untuk mendalami ajaran Kristian.
Beliau mengakui memang terdapat golongan Kristian di Malaysia yang ingin mewujudkan sebuah negara Kristian di negara ini. Beliau juga mengakui penglibatan penuh golongan gereja dalam politik di negara ini sejak pilihan raya 2008.
Cuma apabila kita bangkitkan isu ini secara terbuka, maka golongan Evangelis ini mula menafikan dan melakukan aktiviti-aktiviti secara senyap dan lebih berhati-hati.
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2weo4IP
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment