NGO buat laporan polis terhadap Ramasamy
KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof P Ramasamy yang menggelar pendakwah dari India, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menyifatkan catatan Ramasamy di Facebooknya itu sebagai biadap dan tidak sensitif.
“Amat biadap dan kasar untuk menggelar ulama bertaraf dunia sebagai syaitan,” katanya kepada wartawan di luar Balai Polis Daerah Sentul, hari ini.
Abdul Rani berkata, pemimpin berpangkat tinggi tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan ramai.
Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkongsi pendapat sama dan menegaskan kenyataan biadap sedemikian tidak boleh diterima rakyat.
“Kami tidak boleh terima (tindakan itu), sebab itu kami membuat laporan polis hari ini,” katanya.
Pengerusi IRIMM Pulau Pinang, Zainol Abidin Ahmad turut menggesa polis supaya menyiasat tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP itu.
“Dia menghina Islam. Kami gesa polis bertindak terhadap sikap biadap (Ramasamy),” ujarnya.
Terdahulu, Ramasamy melalui satu kenyataan media memohon maaf dan telah memadamkan perkataan ‘syaitan’ yang ditujukan kepada Dr Zakir.
“Saya menyesal sekiranya penggunaan perkataan ‘syaitan’ telah menimbulkan ketidakselesaan dan kemarahan di kalangan umat Islam di Malaysia. Ini sama sekali bukan niat saya, kerana saya menghormati semua agama di negara ini,” katanya.
Kali terakhir Dr Zakir mengunjungi Malaysia pada 2012 yang turut mendapat bantahan masyarakat beragama Hindu.
Semalam, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah bagi program ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ yang dijadual disampaikan Dr Zakir, Ahad ini.
Keputusan itu dibuat bagi mematuhi arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar demi menjaga ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/23zVYyb
Post a Comment