Kemenangan di Sarawak pembakar semangat untuk PRU 14
PETALING JAYA: Kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak disifatkan sebagai pembakar semangat untuk BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kegagalan parti pembangkang untuk bersatu dalam isu calon membuktikan mereka tidak boleh dipercayai.
“Mandat besar yang diberikan kepada BN adalah isyarat dari rakyat Sarawak kepada parti dan juga Tan Sri Adenan Satem yang mendapat kepercayaan untuk menjamin kelangsungan masa depan rakyat Sarawak.
“Kegagalan parti-parti pembangkang untuk bersepakat dalam isu calon membuktikan mereka tidak boleh dipercayai apatah lagi untuk mentadbir negeri sehingga membuatkan rakyat Sarawak menolak mereka dengan kekalahan besar pembangkang ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, perpecahan Pakatan Harapan pada pilihanraya kali ini antara faktor pembangkang gagal memperolehi kejayaan sehingga memberi ruang kepada BN memperolehi kemenangan besar.
“Pakatan Harapan dilihat tidak turun sebagai satu pasukan dalam menghadapi BN di Sarawak. Semoga keputusan pilihan raya ini menjadi iktibar kepada Pakatan Harapan untuk PRU akan datang.
“Bagaimanapun saya berpuas hati dengan kerja yang dibuat oleh petugas-petugas AMANAH yang diketuai oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub. Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh petugas yang bertungkus-lumus sepanjang PRN Sarawak berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula menyatakan PRN kali ini menunjukkan bahawa pengundi tidak lagi mahu mengundi mana-mana parti berdasarkan kebencian.
Katanya, pengundi mahu melihat agenda yang lebih nyata seperti pembangunan, keharmonian, keamanan dan keselamatan seperti yang dilakukan BN sedangkan pembangkang pula hanya meniupkan sentimen kebencian.
“Biarlah ini menjadi pengajaran kepada pembangkang bahawa politik kebencian kadang-kala tidak memberi apa-apa manfaat,” kata beliau di blog, sskeruak.blogspot.com, malam ini.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1ZqEvVU
Post a Comment