Rakyat Sarawak yakin hanya BN mampu bangunkan Bumi Kenyalang
PETALING JAYA: Kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 memberi isyarat jelas rakyat Bumi Kenyalang tidak mahu hubungan dengan Kerajaan Persekutuan terjejas, kata penganalisis politik.
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, rakyat Sarawak juga masih memerlukan bantuan BN pusat untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri itu.
“Salah satu faktor kemenangan BN ialah Tan Sri Adenan Satem. Malah faktor utama sebenarnya ialah isu pembangunan masih penting di Sarawak. Hanya BN sahaja mampu bawa pembangunan di Sarawak.
“Malah rakyat Sarawak juga melihat pembangkang yang lemah dan berpecah belah tidak mampu membawa pembangunan kepada mereka.
“Rakyat Sarawak juga tidak mahu hubungan dengan persekutuan terjejas kerana hakikatnya Sarawak masih memerlukan bantuan persekutuan untuk membangun,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, perpecahan parti pembangkang juga antara faktor mereka kalah teruk dan ditolak rakyat pada PRN kali ini.
“Pembangkang kalah sebab tidak bersatu untuk menjadi alternatif kepada BN. Keduanya, parti nasional kurang mendapat tempat di Sarawak. Ketiganya faktor 3M: Media, money and machinery yang terbatas dimiliki pembangkang,” katanya.
Bagaimanapun, kemenangan bergaya BN di Sarawak kali ini tidak memberi gambaran sebenar rakyat di Semenanjung kembali menyokong parti pemerintah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Politik Sarawak berlainan dengan Semenanjung. Jadi kemenangan BN Sarawak tidak boleh jadi petunjuk kepada BN pusat kerana isu tempatan lebih dominan. Poster Perdana Menteri pun tidak digantung, rakyat berbicara faktor Adenan bukan faktor Najib,” katanya.
Jumlah keluar mengundi rendah hanya 52 peratus setakat jam 4 petang tadi?
Pensyarah sains politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara itu sudah diduga berdasarkan kajian sebelum ini.
“Ada ramai penyokong BN tidak berpuas hati pemilihan wakil rakyat yang dipersepsikan mereka sebagai kurang mempunyai ciri-ciri yang mereka mahu.
“Mereka sangat sayang dengan parti mereka khususnya BN tetapi mereka tidak mahu memangkah pembangkang kerana mereka tahu pembangkang di Sarawak belum ada rekod yang teruji.
“Mereka juga tidak mahu berpaling tadah menyokong pembangkang. Jadi langkah tidak keluar mengundi dianggap sebagai langkah neutral mereka. Langkah ini juga sebagai langkah selamat dan terbaik mereka terhadap parti mereka.
“Faktor Adenan sudah popular juga menyebabkan ada penyokong Adenan berasa sudah berada dalam zon selamat dan mereka mengambil mudah soal mengundi kerana menjangka faktor Adenan akan pasti memenangkan BN,” katanya.
Sementara itu, bagi pengundi Iban khususnya yang bekerja di luar kampung halaman, mereka menganggap kurang praktikal untuk pulang dua kali dalam masa terdekat semata-mata untuk mengundi memandangkan mereka akan meraikan Hari Gawai pada 1 Jun ini.
“Jadi dengan ekonomi yang tak stabil dan kos balik mahal, lebih baik balik untuk meraikan gawai dayak 1 Jun berbanding mengundi selama satu hari.
“Lagipun tak banyak usaha untuk membawa mereka balik mengundi kerana undi adalah rahsia dan tidak pasti mereka akan mengundi parti yang membawa mereka balik itu,” katanya.
Keputusan rasmi PRN Sarawak ke-11 menyaksikan BN meraih kemenangan besar dengan memperolehi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, manakala DAP memenangi tujuh kerusi dan PKR berjaya mempertahankan tiga kerusi mereka.
PAS dan AMANAH pula tewas dalam semua kerusi yang ditandingi mereka hari ini.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1T5Chg3
Post a Comment